30 Disember 2022, 23:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kementerian Pendidikan (KPM) tidak bercadang untuk melaksanakan dasar baharu pada masa ini, sebaliknya mahu memberikan tumpuan dalam soal untuk menangani perkara yang berbangkit berkaitan dengan isu pendidikan.

Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek, menjelaskan bahawa amat penting bagi kementerian pimpinan beliau meneruskan dasar sedia ada dan pada masa yang sama turut memberikan tumpuan kepada beberapa isu teras yang menjadi tumpuan masyarakat.

“Setiap kali pertukaran kerajaan berlaku, pertanyaan yang paling besar ialah berkaitan dengan arah tuju KPM selepas ini dan semestinya tumpuan kita seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengenai isu ekonomi serta kos sara hidup,” jelas beliau. Tambah beliau, pada ketika ini, KPM tidak berhasrat untuk melaksanakan apa-apa dasar baharu, namun akan memberikan tumpuan kepada hal ehwal ekonomi dan kos sara hidup yang sebenarnya turut memberikan kesan kepada KPM dan seluruh warga dalam bidang Pendidikan.

Beliau menjelaskan hal tersebut dalam program Ruang Bicara yang disiarkan secara langsung di Bernama TV pada malam ini. Mengulas dengan lebih lanjut, YB Fadhlina Sidek berkata, keutamaan KPM pada ketika ini adalah untuk memberikan tumpuan kepada tujuh teras utama yang perlu diterjemahkan dalam gerak kerja KPM selepas ini.

Jelas beliau, tujuh teras utama itu amat penting untuk dijadikan landasan dan peluncuran kepada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang akan berakhir pada tahun 2025.

“Sistem penyampaian yang dilaksanakan mestilah efektif, selain beban guru yang menjadi perbincangan hangat dalam kalangan warga pendidik. Sebenarnya dalam tempoh 23 hari saya memegang jawatan sebagai menteri, kita banyak mendengar dan mendapatkan input daripada pihak yang berkaitan,” jelas beliau.

Tambah beliau, sistem penyampaian sedia ada sememangnya menjadi isu utama dalam tujuh teras yang akan dilaksanakan oleh KPM kelak. Selain itu, beliau akan mempopularkan konsep “karamah insaniah, murid ceria, guru bahagia, sekolah bitara dan negara sejahtera”.

“Untuk sampai kepada konsep ini, sistem penyampaian perlulah berada pada landasan yang betul, selain beban guru yang perlu ditangani, sekali gus dapat memberikan tumpuan terhadap keupayaan dasar pendigitalan dalam pembelajaran. Oleh itu, kita perlu mempersiapkan prasarana dan infrastrukturnya,” jelas beliau.

Dalam program bual bicara tersebut, beliau turut menyentuh isu pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS). Jelas beliau, Ibu bapa perlu memberikan ruang kepada PBS sebelum meneliti keperluan untuk mengembalikan sistem peperiksaan seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).

YB Fadhlina Sidek berkata, beliau antara individu yang gembira apabila PBS dilaksanakan kerana sistem pendidikan negara sebelum ini terlalu berorientasikan peperiksaan.

“Kita perlu memberikan ruang kepada PBS dan akan melihat proses anak-anak ini dalam tempoh sehingga tamat kitaran PBS. Selepas itu, kita akan melihat keperluan atau sebaliknya untuk mengembalikan peperiksaan ini,” jelas beliau. Menurut beliau, PBS sedia ada masih terdapat ujian akhir akademik, namun bukan seperti UPSR atau PT3, tetapi turut menilai aspek lain termasuklah kemahiran sosial dan bakat murid.

YB Fadhlina Sidek turut menjelaskan bahawa, PBS merupakan pentaksiran bersifat holistik yang bukan sahaja berkisar tentang soal akademik semata-mata, sebaliknya turut membabitkan aspek sosial, kesihatan serta tahap penguasaan murid.

“Saya fikir kita sudah menuju kepada satu dimensi baharu, iaitu apabila kita memperkenalkan PBS, aspek tersebut sebenarnya memberikan banyak manfaat. Oleh itu, apabila kita beralih kepada pentaksiran ini, antara kelebihannya termasuklah dapat memberikan autonomi kepada sekolah dan guru kerana pentaksiran ini berlangsung antara guru dengan murid serta guru dengan bilik darjah. Maka, autonomi itu perlu ada,” jelas beliau.

Dalam sesi tersebut yang menampilkan Encik Sherkawi Jirim sebagai moderator, YB Fadhlina berpandangan bahawa sebarang pelaksanaan atau perubahan kurikulum perlu melalui proses rundingan dengan pembabitan pemegang taruh seperti pakar pendidikan sebelum hal tersebut diputuskan.

“Landasan penting untuk kita melihat kejayaan atau keberkesanan dan impak adalah dengan merujuk laporan Pelan Pembangunan Pendidikan yang akan berakhir pada tahun 2025. Yang paling penting kini,KPM akan memastikan apa-apa sahaja dasar yang hendak diperkenalkan selepas ini perlu diteliti dengan sebaik-baiknya termasuklah soal infrastruktur yang lengkap dan ekosistem pembelajaran yang sistematik,” jelas beliau semasa mengakhiri program bual bicara tersebut.

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.