2 Januari 2023, 13:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur –  Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyantuni sukarelawan dan petugas pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Dapur Jalanan Kuala Lumpur (DJKL) dan juga Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) Kuala Lumpur di Jalan Panggong, Kuala Lumpur yang telah membuatkan para sukarelawan berasa teruja dan gembira.

Keberangkatan tersebut adalah bersempena dengan Kayuhan Berbasikal Santai DiRaja anjuran Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk melihat dengan lebih dekat suasana rakyat jelata yang meraikan tahun baharu 2023 di sekitar Kuala Lumpur. Selain berkenan berangkat menyantuni dan beramah mesra bersama-sama para sukarelawan DJKL, baginda turut berkenan mengurniakan kek kepada petugas berkenaan sempena meraikan ulang tahun hari keputeraan baginda ke-55 pada 30 Disember, baru-baru ini.

Pada kesempatan tersebut, Quratulain Atiqah Norzahirul Anuar yang merupakan koordinator dan setiausaha DJKL menyampaikan taklimat tentang fungsi dan peranan DJKL dalam menghimpunkan sukarelawan khususnya dalam kalangan anak muda untuk menjalankan tugas sukarelawan seperti perkongsian makanan dan aktiviti amal yang lain kepada golongan gelandangan dan miskin bandar di kawasan sekitar termasuklah membantu golongan ini untuk mendapat maklumat dan prosedur yang betul tentang bantuan kerajaan yang layak diperoleh.

Beliau yang juga merupakan peguam dari firma Tetuan Shahrizan & Co. turut menjelaskan bahawa DJKL bukan hanya tertumpu pada aktiviti perkongsian makanan sahaja, malah turut menghantar pasukan sukarelawan ke kawasan yang dilanda bencana.

Aktiviti rutin DJKL diadakan pada setiap hari Ahad dari pukul 4.30 petang hingga 6.30 petang yang melibatkan antara 15 hingga 20 orang sukarelawan yang memberikan fokus untuk membantu antara 120 hingga 150 individu yang tidak berkemampuan.

Selain Quratulain, wakil PBSM pula, iaitu Dr. Chatichai Chong Jian Wei yang merupakan Ahli Lembaga Pengelola Kebangsaan PBSM turut berkongsi maklumat kepada DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra berkaitan dengan peranan PBSM Kuala Lumpur yang bekerjasama dan membantu DJKL dalam menjalankan aktiviti amal terutama dalam membuat pemeriksaan saringan kesihatan yang asas secara percuma dan memberikan nasihat serta kesedaran tentang aspek kesihatan.

Dr. Chatichai Chong Jian Wei yang merupakan Ahli Lembaga Pengelola Kebangsaan PBSM turut berkongsi maklumat berkenaan dengan peranan PBSM Kuala Lumpur dalam DJKL.

Dr. Chatichai yang juga merupakan Ketua Eksekutif Pemasaran syarikat Arus Oil turut menjelaskan bahawa kumpulan profesional seperti pegawai perubatan, pegawai pergigian, pegawai farmasi dan jururawat turut terlibat sebagai sukarelawan dan turut membekalkan ubat-ubatan asas kepada golongan yang tidak berkemampuan.

Ketika lawatan tersebut, Tuanku Raja Muda berharap agar lebih banyak pihak yang membantu usaha murni pihak DJKL dan PBSM dan tampil ke hadapan untuk menjalankan aktiviti amal sebegini serta masyarakat lebih membuka mata untuk turut serta membantu pihak NGO.

Turut hadir mengiringi baginda ialah Ketua Pengarah MARA, Datuk Seri Azhar Abdul Manaf dan Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) MARA, Datuk Zulfikri Osman.

Bagi pihak yang berminat untuk menghulurkan sumbangan dan membantu pihak DJKL bolehlah menghubungi Quratulain di talian 019-2734 090, e-mel [email protected] atau boleh terus memberikan sumbangan ke akaun CIMB 8008984696 (Kelab Dapur Jalanan Kuala Lumpur).

Pihak DJKL sedang giat mengumpulkan sumbangan bagi membaiki atau mendapatkan sebuah van yang lebih baik untuk membawa barangan bantuan memandangkan van sedia ada tidak sesuai untuk digunakan lagi.

Maklumat lanjut tentang DJKL boleh dilihat melalui pautan ini.

Sumber foto: TTG Kuala Lumpur.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.