3 Januari 2023, 15:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek mengadakan lawatan kerja ke dua buah sekolah di Seksyen 32, Shah Alam pada pagi tadi.

Shah Alam – Sempena pembukaan hari pertama persekolahan bagi penggal 3 sesi 2021/2022, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengadakan lawatan kerja ke sekolah sebagai satu daripada langkah proaktif bagi memantau kebajikan dan keperluan warga sekolah, seterusnya dapat meningkatkan kemudahan infrastruktur institusi pendidikan di seluruh negara.

YB Fadhlina Sidek ketika berbincang dengan guru SMK Jalan Kebun.

Menurut Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek, lawatan ini turut diadakan agar perbincangan dua hala antara KPM dengan pihak sekolah dapat dilaksanakan untuk kepentingan bersama, khususnya dalam isu bebanan guru dan kekurangan kelas prasekolah dan tadika kerajaan.

Susulan daripada itu, YB Fadhlina Sidek menegaskan bahawa KPM akan berusaha untuk mengaktifkan kembali peranan Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan dalam mengkaji perkara yang berbangkit, khususnya berkaitan dengan isu bebanan guru.

Pada masa yang sama, beliau berkata,

Kita sedang melihat keutamaan untuk menambah kelas prasekolah ini dan hal ini sudah dibincangkan dengan Kementerian Setiausaha (KSU) dan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPM) bahawa ada keperluan ketika ini untuk melihat dan menambah. Selain itu, dasar yang berkait rapat dengan prasekolah ini juga perlu dipercepat.

KPM juga sedang meneliti keperluan dan kewajaran untuk menambah kelas prasekolah dan tadika kerajaan di bandar.

Mengulas mengenai penularan varian baharu COVID-19 dari China baru-baru ini, beliau mengatakan bahawa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di sekolah adalah berdasarkan garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Setakat hari ini, KKM belum mengeluarkan pekeliling kepada KPM.” “KPM akan akur dengan nasihat KKM yang akan dikeluarkan dari semasa ke semasa demi keselamatan murid.

Demikian penjelasan yang diberikan oleh YB Fadhlina Sidek ketika sidang media pada pagi tadi selepas lawatan kerja ke Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Kebun dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Kebun, Seksyen 32, Shah Alam.

Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Ketua Setiausaha KPM, YBhg. Datuk Yusran Shah Mohd Yusof dan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, YBhg. Dato’ Haji Pkharrudin Haji Ghazali.

Sesi bergambar YB Menteri Pendidikan bersama-sama guru SMK Jalan Kebun seusai lawatan kerja dilakukan.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.