4 Januari 2023, 15:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sudah menjadi suatu fitrah bagi setiap manusia mendambakan wajah yang cantik terutamanya bagi golongan wanita. Istilah cantik itu luas dan membawa banyak maksud dan bukan hanya diukur berdasarkan fizikal seseorang itu semata-mata, tetapi keupayaan atau rasa percaya pada diri untuk berhadapan dengan orang ramai. Keyakinan dalam diri merupakan elemen yang sangat penting kerana secara tidak langsung menampakkan seseorang itu kelihatan lebih cantik dan mempunyai aura yang tersendiri. Menurut Wirasari (2016), latar belakang sosiobudaya bagi sesuatu masyarakat mempengaruhi trend dalam aspek kecantikan. Majoriti masyarakat kini menganggap bahawa berkulit putih itu adalah cantik. Ada yang sanggup merosakkan diri demi mendapatkan kulit yang putih dengan cara yang tidak selamat.

Dalam era globalisasi ini, pelbagai produk untuk memutihkan kulit kian bertambah bagai cendawan tumbuh selepas hujan di pasaran. Keghairahan kaum wanita untuk memiliki kulit yang putih dalam tempoh yang singkat semakin meningkat. Hal ini membuka peluang kepada pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan untuk menghasilkan pelbagai produk yang didakwa untuk memutihkan kulit. Sesetengah penjual tidak mengambil kira keselamatan produk yang mengandungi bahan yang boleh memberikan kesan yang buruk kepada pengguna. Mereka hanya memikirkan keuntungan yang bakal diperoleh dan hanya memikirkan kaedah untuk menarik ramai lagi pengguna yang taasub untuk memutihkan kulit supaya mendapatkan produk keluaran mereka.

Sebagai contoh, bahan-bahan yang boleh memudaratkan kulit ialah merkuri. Merkuri atau raksa merupakan satu daripada jenis logam yang dijumpai secara semula jadi dalam alam sekitar. Merkuri mula menjadi bahan terkenal yang digunakan dalam industri kosmetik dan kecantikan. Merkuri yang terdapat dalam produk pemutih kulit dapat menghalang pembentukan melanin dan mampu menjadikan kulit kelihatan lebih cerah dalam jangka masa yang singkat. Namun begitu, merkuri boleh memberikan kesan yang buruk terhadap organ dalam badan. Menurut Darmono (2001), merkuri mengakibatkan fungsi hati dan ginjal terjejas serta sistem enzim dan mekanisme sintetik terganggu. Terdapat sesetengah pengguna yang tidak mengambil endah mengenai kesan merkuri terhadap diri selagi mereka tidak merasai sendiri kesannya kerana merkuri mengambil tempoh yang panjang sebelum pengguna menyedari kesannya.

Suplemen seperti pemutih kulit merupakan antara  agen pencerah untuk memutihkan kulit secara cepat. Seperti yang dapat dilihat, terdapat banyak iklan yang memaparkan pelbagai jenis makanan tambahan seperti kolagen dalam bentuk pil dan minuman pemutih kulit sehingga dapat mempengaruhi pemikiran masyarakat kerana bukan sahaja produk tersebut digembar-gemburkan dapat mencantikkan dan memutihkan kulit, malah makanan tambahan seperti kolagen atau pil pemutih itu sendiri didakwa mempunyai khasiat yang baik untuk menganjalkan tekstur kulit.  Produk seperti ini acap kali dipromosikan secara meluas terutamanya melalui media sosial yang didapati sebagai medium yang paling mudah untuk mempengaruhi masyarakat dengan iklan-iklan yang menarik. Dengan adanya promosi yang menarik, kebanyakan pengguna terjebak dan membeli produk pemutih tersebut tanpa memeriksa terlebih dahulu kandungan yang terdapat dalam produk tersebut.

Masyarakat telah dimomokkan dengan kelebihan kolagen tanpa mereka sedar bahawa kolagen dan makanan tambahan sebenarnya merupakan pembunuh senyap. Ayat-ayat yang sering digunakan oleh penjual produk pemutih seperti “Sekiranya anda mahu cantik, putih dan gebu seperti artis terkenal, ambillah pil ini. Pil ini dapat memutihkan kulit sepantas tiga hari sahaja dan kulit anda akan kekal putih dan gebu”. Mereka yang terpancing dengan ayat jurujual atau slogan ini akan membeli dan sanggup melabur untuk kecantikan diri. Golongan ini juga sanggup mengambil jalan pintas dan mudah tanpa memikirkan kesan pada jangka masa panjang. Menurut Dr. Darren Lee yang merupakan Pakar Nefrologi, Hospital Pantai Pulau Pinang berkata, produk pemutih dan kolagen yang diambil secara berlebihan dapat memberikan kesan sampingan terhadap fungsi hati dan buah pinggang.

Kesan sampingan penggunaan merkuri.

Antara kesan sampingan lain yang boleh berlaku disebabkan oleh produk kolagen dan pemutih kulit termasuklah simptom seperti alergi. Alergi berlaku kepada segelintir individu yang berkulit sensitif dan tidak berlaku kepada semua orang. Keradangan pada permukaan kulit atau kemunculan bintik merah merupakan reaksi alergi yang berlaku disebabkan oleh pengambilan produk pemutih. Pengguna harus peka terhadap perubahan yang dialami dan segera berhenti daripada terus menggunakannya. Pengguna disarankan untuk berjumpa dengan doktor yang berkaitan untuk mendapatkan penjelasan yang lebih lanjut dan membawa produk tersebut untuk memeriksa kandungan bahan yang terkandung di dalamnya.

Selain itu, suntikan vitamin C juga sangat popular sebagai satu daripada agen pencerah yang dapat memutihkan kulit dalam waktu yang singkat. Penjualan produk suntikan ini semakin banyak dipromosikan terutamanya dalam media sosial. Suntikan vitamin C kian berleluasa dan menjadi trend pada masa ini. Memang tidak dapat dinafikan bahawa setiap orang pasti akan “tergugat” melihat hasil dan testimoni daripada suntikan yang dapat memutihkan kuit dalam waktu yang singkat. Pengiklanan terhadap keberhasilan suntikan ini mendorong lebih ramai pelanggan ingin mencuba produk tersebut. Tambah membimbangkan, terdapat segelintir individu yang mengambil peluang dengan menjadikan suntikan vitamin C sebagai satu perniagaan dan antara mereka ada yang menjalankan prosedur suntikan ini hanya di rumah sahaja. Malangnya, masih ada yang mempercayainya bahkan menjadi pelanggan tetap dengan mengambil suntikan tersebut. Dari segi kebersihan, sudah pasti peralatan yang digunakan tidak disanitasi dengan sempurna terlebih dahulu dan pastinya tidak mendapat kelulusan daripada pihak Kementerian Kesihatan.

Platform Tik Tok merupakan antara platform yang semakin popular kini dan mudah untuk mendapatkan pelanggan. Gelaran “Doktor TikTok” digunakan bagi menarik lagi minat orang ramai untuk mencuba suntikan ini dengan menggunakan slogan atau kata-kata yang dapat memancing pelanggan untuk mencuba produk suntikan tersebut. Ada sesetengah penjual menawarkan perkhidmatan ke rumah pelanggan bagi memudahkan pelanggan untuk tidak keluar rumah dan boleh mendapatkan suntikan hanya di rumah sahaja. Mereka hanya menerangkan kelebihan dan kebaikan suntikan vitamin C dengan menyatakan bahawa suntikan ini selamat dan cuba menutup keburukan yang akan ditanggung oleh pengguna pada masa akan datang.

Walaupun telah banyak kempen kesedaran dijalankan oleh media mengenai kesan sampingan suntikan pemutih kulit atau vitamin C ini, tetapi masih ramai lagi yang terpengaruh untuk mencuba produk tersebut demi mendapatkan kulit idaman. Bagi mereka, kulit yang putih dan gebu merupakan cerminan kecantikan sebenar, walhal kualiti kulit diukur melalui tahap kesihatannya, bukannya dari segi warnanya. Tedapat juga gologan selebriti yang mengambil suntikan vitamin C untuk mendapatkan kulit yang putih dan gebu supaya mereka tampil cantik dan berkeyakinan di khalayak. Mereka seolah-olah tidak takut dengan pengalaman orang sekeliling sehinggalah mereka merasai pengalaman buruk akibat sikap mereka itu sendiri.

Dalam sebuah wawancara akhbar Harian Metro (17 April 2022) bersama-sama seorang bekas pesakit yang dikenali sebagai Ladyvin, beliau merupakan salah seorang pesakit kanser yang disebabkan oleh suntikan cecair pemutih kulit. Beliau pernah menjalankan lebih daripada 50 kali suntikan termasuklah di negara jiran. Demi kelihatan putih dan cantik, beliau sanggup menghabiskan sebanyak RM500 hingga RM1000 sebulan untuk membuat rawatan suntikan pemutih selama dua tahun. Kemudian beliau telah menjalani kemotrapi selama dua tahun setelah disahkan menghidap penyakit barah. Beliau kini telah bebas daripada barah dan menasihati orang ramai terutamanya kaum wanita supaya tidak terjebak dalam mana-mana promosi drip pemutih kulit walaupun dapat memberikan kesan putih dengan cepat, namun memberikan kesan buruk dalam jangka masa yang panjang . Seperti slogan yang sering kali kita dengar, “Lebih baik mencegah daripada mengubati”.

Seterusnya, sesetengah produk kosmetik turut menjadi salah satu agen pencerah yang dapat memutihkan kulit kerana mempunyai bahan kimia, iaitu logam berat yang merbahaya dan dapat merosakkan kulit. Antara contoh logam berat yang terdapat dalam produk kosmetik adalah Kadmium (Cd), Plumbum (Pb), Merkuri (Hg) dan Arsenik (As). Menurut Duruibe (2007), sesetengah kandungan bahan kimia telah terbukti berbahaya jika dicampurkan ke dalam produk kosmetik. Akan tetapi, masih terdapat pengeluar kosmetik yang tetap mengeluarkan produk yang mengandungi logam berat ini. Oleh itu, pengguna haruslah mempunyai kesedaran diri mengenai kandungan merbahaya dalam produk kosmetik sebelum menggunakannya. Hal ini untuk menghindari diri daripada pelbagai masalah kesihatan yang tidak diingini disebabkan oleh penggunaan produk kosmetik.

Meneydari pelbagai kisah yang dikongsi oleh pengguna yang begitu obses dengan kecantikan yang bersifat sementara sebelum ini, maka jelaslah bahawa produk pemutih kulit yang mempunyai bahan yang merbahaya dapat memudaratkan kesihatan kita untuk tempoh jangka masa yang panjang. Sebagai pengguna yang bijak, kita mestilah membuat penelitian terlebih dahulu terhadap apa-apa produk yang ingin diambil supaya terhindar daripada pelbagai jenis penyakit yang tidak diundang. Kesihatan diri amatlah penting kerana nikmat kesihatan tidak dapat dijual beli dengan wang ringgit. Oleh hal yang demikian, hargai dan lindungilah diri daripada melakukan perkara yang dapat memudaratkan kesihatan kita. Setiap tindakan mestilah mengambil kira kebaikan atau keburukan yang akan berlaku supaya kita lebih berhati-hati untuk membuat keputusan pada masa akan datang. Memperoleh kulit yang putih dalam jangka masa yang pendek hanyalah nikmat sementara kerana akibat yang akan ditanggung pada kemudian hari akan lebih menyiksakan.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.