Oleh Marlina Yusmani
5 Januari 2023, 10:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Fenomena “haruan makan anak” atau sumbang mahram dilihat sebagai gambaran kepincangan institusi kekeluargaan pada masa ini. Sumbang mahram merujuk kepada perlakuan zina yang berlaku antara dua orang anggota terdekat dalam sesebuah keluarga, misalnya antara abang dengan adik perempuan atau ayah dengan anak perempuannya. Perbuatan sumbang mahram antara orang dewasa dengan anak mereka kebiasaannya dianggap sebagai satu bentuk penderaan seksual dan boleh membawa kepada perkembangan “disfungsi” seksual (kepuasan seks yang tidak dapat dicapai), kemurungan, kecelaruan keresahan, penyalahgunaan bahan, kecelaruan personaliti pinggiran dan gangguan tekanan pascatrauma dalam kehidupan. Isu yang telah lama meniti di bibir masyarakat ini ibarat satu penyakit yang semakin merebak dalam kalangan masyarakat setempat. Sehubungan dengan itu, terdapat beberapa punca yang menyebabkan berlakunya fenomena ini.

Tahap iman yang lemah sememangnya menjadi penyumbang utama kepada perbuatan sumbang mahram dalam kalangan masyarakat. Meskipun menyedari bahawa perbuatan sumbang mahram itu berdosa besar, namun kelemahan iman seseorang itulah yang menyebabkan timbulnya hawa nafsu yang mengatasi kewarasannya. Ketagihan menonton video lucah yang boleh didapati di hujung jari dipercayai menjadi antara punca lemahnya iman seseorang itu. Adegan seks yang terkandung dalam video lucah yang ditonton merangsang individu tersebut melakukan sumbang mahram untuk memenuhi desakan naluri seksualnya. Apabila nafsu syahwat tidak lagi dapat dikawal, maka si bapa sebagai pelaku tidak lagi melihat anak daripada kaca mata seorang bapa, malah lebih melihatnya sebagai objek pemuas nafsu. Pada hakikatnya, anak perempuan sebagai mangsa yang tinggal serumah dengan pelaku, iaitu bapa kandungnya sendiri memudahkan perbuatan ini terus diulangi.

Jenayah sumbang mahram dalam kalangan masyarakat juga disebabkan oleh batas aurat dan pergaulan dalam keluarga yang tidak dijaga. Sebagaimana yang ditetapkan dalam agama, ulama mazhab Syafie menyatakan bahawa aurat wanita di hadapan mahramnya adalah antara pusat dan lutut sama ada mahramnya yang lelaki atau perempuan dan begitu jugalah sebaliknya. Namun begitu, kegagalan ibu bapa dalam menitikberatkan didikan ini dalam diri anak-anak khususnya perempuan, menyebabkan mereka terbiasa dan tidak berasa janggal untuk mengenakan pakaian yang mendedahkan sehingga boleh menaikkan syahwat di hadapan mahramnya. Pada masa yang sama, hubungan yang terlalu rapat antara anak perempuan dengan bapanya menyebabkan anak itu beranggapan bahawa perlakuan bapanya yang suka memberikan ciuman mesra di bahagian yang tidak wajar (selain dahi) merupakan perkara biasa yang pada akhirnya mendorong kepada perlakuan sumbang mahram.

Mangsa yang gagal melaporkan kes sumbang mahram turut menyebabkan gejala ini semakin menjadi-jadi. Hal ini dikatakan demikian kerana, anak yang sedaya upaya mendedahkan perbuatan jijik si ayah terhadapnya “laksana layang-layang melawan angin” apabila ibunya hanya membisu tanpa menzahirkan kebimbangan. Sikap ahli keluarga yang memandang enteng tentang isu ini menyebabkan seseorang anak itu tidak berani untuk melaporkan perbuatan sumbang mahram tersebut kepada pihak berkuasa dengan anggapan bahawa tindakan tersebut juga mungkin tidak akan mendapat sokongan dan pembelaan. Di samping itu, kepatuhan mangsa terhadap desakan seksual bapanya kadang kala menjadi cara untuk kelangsungan hidup dan melindungi diri sendiri daripada kemungkinan terus menjadi mangsa penderaan atau mendapat kecederaan yang lebih teruk. Keadaan sebegini menyebabkan perbuatan sumbang mahram itu terus berlanjutan sehingga bertahun-tahun lamanya.

Perbuatan sumbang mahram yang berleluasa dalam kalangan masyarakat juga dipengaruhi oleh faktor sosioekonomi. Meskipun sumbang mahram boleh berlaku dalam semua lapisan masyarakat, namun secara khususnya kemiskinan merupakan suatu situasi yang berpotensi untuk mendorong berlakunya sumbang mahram. Mereka terpaksa tinggal sebumbung di dalam rumah yang kecil dengan bilangan ahli keluarga yang banyak. Keadaan rumah yang sempit dan ketiadaan ruang bilik yang mencukupi tidak memungkinkan tempat tidur antara ibu bapa dengan anak, dan tempat tidur antara anak lelaki dengan anak perempuan itu dipisahkan. Anak-anak yang terdedah dengan kegiatan seksual ibu bapa yang mungkin dilakukan di hadapan mereka sejak kecil, menimbulkan rasa ingin tahu lantas mendorong mereka untuk meniru perbuatan tersebut sehingga  terjadinya perbuatan sumbang mahram. Tambahan pula, kedudukan rumah yang terpencil dengan jarak rumah yang jauh dari kawasan kejiranan menyebabkan kegiatan sumbang mahram yang terjadi sukar dikesan.

Kegagalan isteri memenuhi kehendak suami juga dipercayai mendorong kepada fenomena sumbang mahram ini. Kebiasaannya, waktu kerja yang berbeza bagi suami dan isteri menyebabkan mereka kurang mempunyai waktu berkualiti untuk bersama. Apabila  isteri keluar bekerja pada siang hari, suami pula berangkat kerja pada waktu malam dan begitulah sebaliknya. Keinginan batin yang jarang-jarang sekali dapat dipenuhi menyebabkan suami tersebut melampiaskan nafsunya kepada anak yang berada di rumah. Banyak laporan media menyatakan bahawa akibat takut dipersalahkan kerana tidak mampu menjadi isteri yang baik, si ibu lebih rela membiarkan suami dan anaknya terus berhubungan. Si ibu juga takut sekiranya suaminya itu mencari kepuasan seksual di luar apabila merasakan dirinya tidak lagi menarik perhatian. Terdapat juga satu kes yang memperlihatkan “kependekan” akal seorang ibu yang tergamak mengorbankan darah dagingnya dengan membantu suami mengikat tangan dan melondehkan seluar anaknya, hanya kerana takut dijatuhkan talak.

Faktor lain yang turut menyumbang kepada gejala sumbang mahram dalam kalangan masyarakat termasuklah isteri yang terlalu bergantung kepada suami. Hal ini sering menjadi tanda tanya, iaitu di manakah hilangnya sifat perikemanusiaan segelintir ibu yang sanggup mengunci mulut meskipun mengetahui bahawa anaknya sudah sekian lama menjadi korban nafsu serakah suaminya sendiri? Salah satu alasan yang menyebabkan keadaan ini terus berlaku ialah seorang isteri itu tidak memiliki sebarang pekerjaan yang membolehkannya untuk memperoleh sumber pendapatan. Oleh sebab itu,  si isteri mengambil keputusan untuk tidak melaporkan perbuatan sumbang mahram yang berlaku dalam keluarganya kerana tidak mahu suaminya dipenjarakan sehingga menyebabkan mereka sekeluarga terus hidup melarat. Sikap suami yang panas baran dan sering kali bertindak ganas juga menyebabkan si ibu tidak berani untuk membela nasib anak kandungnya yang menjadi mangsa keadaan.

Menyedari hakikat di atas, maka jelaslah bahawa gejala sumbang mahram bukanlah satu fenomena baharu, malah telah menjadi “duri dalam daging” dalam masyarakat sejak sekian lama. Banyak faktor yang sebenarnya mendorong kepada berlakunya masalah sumbang mahram yang masih membelenggu masyarakat tanpa mengira bangsa, budaya dan agama. Sekiranya ibu bapa atau keluarga terdekat tidak lagi mampu menunaikan tanggungjawab sebagai pelindung, maka peranan pelbagai pihak lain termasuklah jiran tetangga, kaunselor, Kementerian Pendidikan dan pihak berwajib amat diperlukan bagi membendung situasi ini daripada terus berleluasa. Sehubungan dengan itu, istilah “menjaga tepi kain” tidak boleh lagi diguna pakai dalam hal ini. Sebaliknya, masyarakat sekeliling haruslah menjadi “mata” dan “telinga” dalam memberi maklumat berkenaan kejadian sumbang mahram demi membantu anak-anak yang menjadi mangsa kerakusan nafsu manusia yang sepatutnya menjadi pelindung buat mereka demi mendapatkan keadilan dan masa depan yang lebih baik.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.