5 Januari 2023, 15:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Program motivasi Titian Kasih diadakan kembali di sekolah menengah seluruh negeri Perlis dengan kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) dan Jabatan Pendidikan Negeri pada tahun 2023.

Berikutan penularan wabak pandemik COVID-19, program yang telah dilaksanakan hampir sedekad lebih yang lalu terpaksa ditangguhkan. Namun begitu, pada tahun 2022 yang lalu, program itu dilaksanakan kembali secara digital.

Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah,

Program Titian Kasih bukan sahaja sekadar memberi ilmu pelajaran, malah memberikan pengalaman kepada pelajar di Perlis dalam menimba ilmu kehidupan.

“Bagi membentuk modal insan kelas pertama, pelajar perlu menguasai pengetahuan am yang merangkumi ilmu tentang negeri sendiri, isu semasa, budaya dan kearifan tempatan, mengetahui bahasa asing dan juga menerapkan sikap suka membaca,” titahnya lagi.

Menurut beliau, perkara ini perlu diberikan penekanan dan dididik kepada segenap masyarakat. Bahkan, ilmu pengetahuan yang dikongsi oleh panel yang berpengalaman perlu disemai dalam pemikiran pelajar.

Hasrat itu dinyatakan oleh DYTM Tuanku Raja Muda Perlis selepas berkenan berangkat menyaksikan simbolik penyerahan sumbangan keperluan barangan COVID-19 daripada MyUS Venture Partners Sdn. Bhd. melalui YTSP untuk kegunaan Jabatan Kesihatan Negeri Perlis di ibu negara.

Antara peralatan kendiri yang disumbangkan termasuklah pelitup muka, kelengkapan perlindungan diri (PPE)-CE ISO dan pensanitasi tangan, yakni kesemuanya berjumlah 200 unit untuk setiap satu.

Penyerahan peralatan kendiri kepada Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Hisham Abdullah sebagai simbolik sumbangan keperluan barangan COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Nellsen Young mewakili MyUS Venture Partners Sdn. Bhd. menyerahkan set PPE sebagai simbolik kepada Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Hisham Abdullah.

Turut berangkat dalam program tersebut ialah anakanda baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Untuk rekod, Program Titian Kasih ini merangkumi pelbagai aspek contoh seperti bersukan dalam kehidupan, pengurusan bencana alam, bahaya najis dadah, pencegahan jenayah, menjaga kesihatan, merapikan sahsiah yang cemerlang, menguruskan sisa pepejal dan menetapkan masa depan dalam membuat hala tuju selepas tamat persekolahan nanti.

Kesemua topik ini wajar diberi perhatian sepenuhnya dalam melatih dan menyemai diri seseorang pelajar agar menjadi rakyat bermentaliti kelas pertama dalam segala tindakan mereka.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.