6 Januari 2023, 19:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Isu yang berkaitan dengan kes rogol, ragut, gangguan seksual dan pembunuhan dilihat memberikan impak yang mendalam kepada semua masyarakat terutamanya dalam kalangan wanita. Disebabkan sering kali terdengar berita yang berkaitan dengan isu jenayah di negara ini, perasaan takut pasti akan timbul dalam kalangan wanita untuk melangkah keluar dari rumah. Menyedari situasi tersebut, usaha untuk mempelajari seni mempertahankan diri amatlah digalakkan untuk semua lapisan masyarakat khususnya bagi golongan wanita.

Seni mempertahankan diri merupakan satu kaedah yang wujud bagi seseorang itu untuk mempertahankan diri daripada serangan musuh dan merupakan kaedah berlawan secara tradisi dengan atau tanpa menggunakan senjata. Apabila berbicara tentang seni mempertahankan diri, pasti akan terlintas dalam fikiran masyarakat mengenai silat, Tekwando dan silambam sahaja. Namun begitu, sebenarnya terdapat banyak seni mempertahankan diri yang lain seperti Muay Thai, Karate, Wushu, Aikido dan lain-lain. Walaupun terdapat banyak jenis seni mempertahankan diri, namun tetap mempunyai matlamat yang sama, iaitu menjadi medium untuk setiap individu dalam melindungi diri daripada sebarang ancaman.

Pada kebiasaannya, golongan lelaki merupakan golongan yang banyak melibatkan diri dalam mempelajari seni mempertahankan diri dan hanya segelintir wanita sahaja yang terlibat. Hal ini dikatakan demikian kerana terdapat beberapa faktor tertentu yang mempengaruhi corak penglibatan ini seperti kekangan waktu, selain tiada keizinan daripada ibu bapa khususnya bagi golongan remaja wanita. Namun kini, pendedahan terhadap kepentingan untuk mempelajari seni mempertahankan diri dalam kalangan wanita semakin mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat. Oleh sebab itu, terdapat beberapa kepentingan atau faedah yang diperoleh khususnya bagi golongan wanita sekiranya mereka mempelajari seni mempertahankan diri.

Kepentingan untuk mempelajari seni mempertahankan diri bagi wanita ialah pertamanya, dapat melindungi keselamatan diri daripada mara bahaya. Melalui pembelajaran seni mempertahankan diri, golongan wanita dapat memelihara diri daripada sebarang bentuk ancaman jenayah kerana sejak kebelakangan ini, kes jenayah seperti amang seksual, ragut dan penculikan didapati semakin berleluasa. Keadaan ini menyebabkan wujudnya perasaan bimbang dalam kalangan masyarakat kerana ancaman jenayah ini boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja.

Maka, dengan mempelajari seni mempertahankan diri, masyarakat khususnya golongan wanita dapat mengetahui langkah yang perlu diambil sekiranya terlibat dengan sebarang ancaman jenayah kerana menerusi latihan daripada pelajaran seni bela diri, mentaliti individu terbabit akan bersiap sedia dalam membuat keputusan yang terbaik dan bertindak dengan lebih efisien dalam menghadapi situasi tersebut. Bak kata peribahasa Melayu, “sediakan payung sebelum hujan”. Oleh itu, dengan bekalan ilmu seni mempertahankan diri, golongan wanita mampu meningkatkan keselamatan diri dan orang sekeliling daripada sebarang bentuk ancaman jenayah.

Selain itu, penglibatan dalam seni mempertahankan diri juga dapat meningkatkan aspek kecergasan fizikal. Mempelajari seni mempertahankan diri turut mampu menjadi medium untuk masyarakat khususnya golongan wanita sebagai kegiatan sukan. Pelbagai latihan dan program intensif dalam kelas seni mempertahankan diri dapat membantu meningkatkan perkembangan kadar kardiovaskular dalam badan, memperkuat otot dan menyihatkan tubuh badan individu tersebut. Gerakan yang dilakukan sepanjang mempelajari seni bela diri juga boleh dianggap sebagai suatu senaman yang dapat membantu memperkuat otot-otot anggota badan. Gerakan tersebut juga membantu badan menjadi cergas dan secara tidak langsung menjadikan otak cerdas bak kata peribahasa Melayu “badan sihat otak cerdas”. Tubuh badan yang sihat mampu mengurangkan risiko daripada penyakit kronik seperti sakit jantung dan darah tinggi. Latihan dan senaman berkala juga akan meningkatkan kadar denyutan nadi dan dapat mengawal kadar tekanan darah tinggi.

Di samping itu, keterlibatan dalam seni mempertahankan diri turut mendisiplinkan diri mereka. Takrifan disiplin dalam konteks seni mempertahankan diri membawa maksud melakukan apa-apa yang perlu dilakukan walaupun tiada kemahuan dalam melakukannya. Hal ini dapat membantu individu terbabit untuk lebih berdisiplin, mengawal diri dan meningkatkan tahap konsentrasi. Banyak aliran seni mempertahankan diri mengajar teknik-teknik khusus di bawah kelolaan pelatih profesional yang menekankan penguasaan teknik-teknik dan seni pergerakan.

Seni mempertahankan diri turut menekankan kawalan emosi sebelum melakukan sebarang tindakan. Nilai ini amat penting untuk dikuasai oleh setiap individu terutamanya golongan wanita kerana setiap keputusan yang melibatkan tindakan emosi yang kurang stabil perlu dielakkan kerana setiap individu perlu bersikap rasional dan realistik demi menghasilkan keputusan yang tepat dalam kehidupan.

Pada masa yang sama, seni mempertahankan diri berpotensi untuk menjadi sebuah karier dalam kehidupan kerana terdapat sebilangan seni bela diri yang diiktiraf dalam bidang sukan. Hal ini terbukti menerusi seni mempertahankan diri seperti silat, Karate dan Tekwando yang dipertandingkan sebagai sukan pada peringkat antarabangsa. Antara atlet seni bela diri yang boleh dijadikan sebagai idola termasuklah Siti Shazwana Ajak yang merupakan atlet silat perempuan negara. Oleh itu, jika bakat yang ada diasah dan dilatih dengan baik dan betul, maka tidak mustahil seseorang itu mampu menjadi atlet dan menyertai kejohanan pada peringkat dunia serta mampu mengharumkan nama negara dan keluarga masing-masing.

Melalui pembelajaran seni bela diri, masyarakat khususnya golongan wanita dapat membentuk dan menerapkan nilai-nilai murni dalam kehidupan kerana kebanyakan aliran seni mempertahankan diri mendidik individu untuk menghormati setiap orang dari pelbagai peringkat usia. Sikap hormat-menghormati serta rendah diri menjadi perkara asas yang perlu dibentuk dalam diri pelajar seni bela diri. Selain itu, individu yang mengikuti kelas seni bela diri juga diingatkan supaya sentiasa mentaati agama, ibu bapa dan guru yang merupakan tonggak utama dalam mempelajari sesebuah ilmu pengetahuan.

Seni bela diri jelas memberikan banyak faedah sekiranya masyarakat khususnya golongan wanita mempelajari seni tersebut khususnya dalam menempuhi senario dunia yang semakin mencabar pada ketika ini. Oleh hal yang demikian, semua pihak perlu cakna akan kepentingan untuk mempelajarinya agar dapat melahirkan generasi wanita yang memiliki sekurang-kurangnya ilmu asas dalam seni mempertahankan diri sekiranya menghadapi sebarang ancaman kelak.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.