9 Januari 2023, 14:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Raja Muda Perlis berkenan berangkat menyampaikan agihan zakat bernilai RM400 secara tunai setiap seorang kepada 19 orang asnaf terpilih.

Beseri – Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyampaikan agihan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bernilai RM400 secara tunai setiap seorang kepada 19 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah Masjid As Sakinah, Padang Melangit, Beseri dengan jumlah penuh RM7600 pada kali ini.

Raja Muda Perlis menyerahkan kunci rumah baharu kepada golongan asnaf.

Pada majlis tersebut, Saad Jaya yang diwakili isteri beliau telah menerima mock kunci sebuah rumah baharu yang dihuni mereka bermula 23 Disember 2022 baru-baru ini atas sumbangan MAIPs daripada Tuanku Syed Faizuddin Putra.

Pada masa yang sama, Raja Muda Perlis turut bertitah dalam majlis tersebut untuk seseorang menjadi pemerhati yang baik jika dipilih bekerja dalam mana-mana organisasi seperti kenali karakter rakan sekerja dan pegawai tertinggi sama ada mereka dalam golongan positif atau negatif.

Selain itu, walaupun mereka mempunyai aura positif, pasti akan ada juga perbezaan yang wujud dalam perhubungan.

“Oleh itu, warga kerja haruslah saling berkompromi dan empati dengan menerima persamaan dan meraikan perbezaan,” titah baginda.

Berangkat sama ke Program Hijrah Minda MAIPs tersebut ialah anakanda baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail dan diiringi Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd. Nazim  Mohd. Noor, serta amil kariah, Asnan Senawi.

Selepas program tersebut, Tuanku Raja Muda selaku Yang DiPertua MAIPs bersama-sama Syed Sirajuddin Areeb  Putra turut berkenan menyantuni rumah asnaf Kalsum Mohamad berusia 71  tahun yang tinggal di Jalan Padang Melangit bersama-sama keluarga bagi menyampaikan sumbangan. Beliau merupakan salah seorang penerima Bantuan Sara Hidup Berkala MAIPs, Bantuan Sebuah Rumah MAIPs dan juga Bantuan Fitrah MAIPs.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.