Oleh Sakinah Sahwati
13 Januari 2023, 17:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kopi dan teh merupakan minuman yang paling berkuasa di dunia! Kedua-dua jenis minuman ini menjadi pilihan minuman yang digilai oleh penghuni planet bumi. Tiada sesiapa yang mampu mengetepikan kewujudan kopi dan teh di atas meja yang sama kerana sesiapa sahaja bebas memilih kopi atau teh kerana kedua-duanya boleh dinikmati serentak.

Bukanlah sesuatu yang pelik sekiranya peminum kopi, minum teh pada masa yang sama dan percayalah, hampir setiap kediaman pasti memiliki kedua-duanya, sama ada kopi atau teh yang menjadi pilihan utama, hal itu tidak sesekali diperdebatkan kerana kopi akan terus menjadi kopi dan teh kekal dengan kelasnya yang pelbagai.

Kopi tidak sukar diramal. Sama ada anda memilih versi panas atau sejuk, kopi hitam, kopi segera atau kopi tanpa kafein, semua variasi ini datang daripada tumbuhan yang sama – kopi. Namun begitu, tidak bagi teh. Dalam bahasa sehari-hari, di Amerika Syarikat, “teh” pada dasarnya boleh membawa maksud sebarang koleksi daun, kulit kayu, ranting, akar dan biji yang direndam dalam air panas. Kesemuanya digelar teh. Walau bagaimanapun, dari segi botani, teh sebenarnya merujuk tumbuhan tertentu yang dikenali sebagai camellia sinensis dan daripada tumbuhan ini terhasillah ribuan jenis teh yang semuanya boleh disusun dalam enam kategori, iaitu;

  • Teh hijau
  • Teh putih
  • Teh kuning
  • Teh hitam
  • Teh gelap (teh yang ditapai)

Berbeza daripada kopi – berasal daripada buah kopi, manakala teh pula berasal daripada daun. Walau bagaimanapun, kedua-duanya berasal daripada pokok renek malar hijau. Kopi diperbuat daripada biji kopi ceri yang dikisar halus. Kopi juga merupakan buah tropika yang hanya berbuah sekali untuk tempoh setahun. Kopi hanya tumbuh di kawasan tropika, terutamanya di jalur khatulistiwa di sekitar Amerika Tengah dan Selatan, Afrika, dan Asia Tenggara. Hal ini berbeza daripada teh yang tumbuh hampir di semua tempat dan negara. Teh terhasil daripada daun, khususnya pucuk baharu pada dahan dan batang tumbuhan. Di sesetengah iklim, pokok teh akan terus mengeluarkan daun baharu sepanjang tahun. Hal ini bermaksud banyak ladang teh dapat menuai hasil mereka beberapa kali dalam tempoh setahun.

KOPI DAN TEH SEBAGAI UBAT

Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa kopi dan teh pernah digunakan sebagai ubat-ubatan sebelum menjadi minuman pilihan di dunia. Menurut catatan sejarah, asal-usul kopi bermula di Ethiopia, di mana ratusan jenis kopi liar – bilangan yang tidak terhitung jumlahnya masih tidak dikatalogkan – masih tumbuh pada hari ini. Dipercayai bahawa kopi tiba di negara jiran, Yaman antara abad keenam dengan abad ke-15. Sementara itu, sejarah teh bermula di Asia Tenggara, iaitu China, Myanmar, Vietnam, dan Laos. Negara ini juga dipenuhi dengan pelbagai jenis teh liar.

Hubungan pertama teh dengan manusia terjalin melalui perubatan dan makanan. Pada ketika itu, daun teh yang dituai direbus menjadi sup dan dihidangkan bersama-sama dengan nasi. Teh juga digunakan sebagai tonik kesihatan. Hanya pada pertengahan abad ketujuh, apabila penyair Cina prolifik, Lu Yu menerbitkan risalahnya, “The Classic of Tea,” barulah budaya teh yang ditapis secara unik mula digunakan di China. Budaya ini berasaskan seni, puisi, dan penghormatan kepada alam semula jadi, dan pada akhirnya merebak ke seluruh Asia selama berabad-abad lamanya.

Pelbagai koleksi daun, kulit kayu, ranting, akar dan biji yang direndam  di dalam air panas juga dikenali sebagai teh.

Dalam perdagangan kopi, terdapat dua spesies pokok kopi, iaitu arabica dan robusta. Robusta ditanam untuk pasaran komoditi, iaitu hasil yang lebih tinggi dan tidak digredkan untuk pelanggan yang gemar akan kualiti yang sama seperti arabica. Bagi teh pula, dapat dibahagikan kepada dua jenis utama, iaitu camellia sinensis dan camellia sinensis var. assamica, atau ringkasnya dikenali sebagai assamica. Dalam teh, walaupun, sinensis dan assamica dianggap hampir sama, namun kedua-duanya masih menawarkan perisa yang berbeza dalam setiap cawan. Sinensis sangat sesuai untuk iklim utara yang lebih sejuk, manakala assamica tumbuh subur di iklim tropika yang lebih panas. Walau bagaimanapun, kedua-duanya tetap digilai oleh penggemar teh yang pastinya boleh menikmati kedua-dua jenis teh ini.

Menurut catatan sejarah, asal-usul kopi bermula di Ethiopia.

Apa-apa pun tujuan kita meminum kopi atau teh – sebagai Gaya hidup, menghilangkan mengantuk, atau sudah menjadi sebahagian daripada budaya hidup, kopi dan teh merupakan dua jenis pilihan minuman yang memberikan rasa yang istimewa kepada pencintanya.

Di kebanyakan negara di Barat, minum kopi menjadi sebahagian daripada rutin harian mereka – pagi mereka akan dimulakan dengan “ritual” membaca berita ketika bersarapan pagi dan pastinya akan ditemani dengan secawan kopi. Begitu juga halnya dengan teh.

Pada hari ini, cara kopi dan teh dinikmati pastinya mempunyai banyak perbezaan. Rasa kedua-dua minuman ini juga sudah dipelbagaikan sesuai dengan peredaran zaman dan keinginan pencintanya. Jika generasi terdahulu suka akan kopi atau teh kosong, generasi hari ini mempelbagaikan rasanya dengan pelbagai campuran seperti kayu manis, cengkih, garam gunung,  bijirin, booba, susu, dan pelbagai jenis manisan. Meskipun pelbagai perisa diadun bersama kopi dan teh, rasa kedua-duanya tidak akan mati dalam apa-apa pun jenis minuman dan hidangan kerana kopi tetap kopi dan teh kekal sebagai teh.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.