16 Januari 2023, 17:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kewarganegaraan global merupakan konsep yang semakin popular terutamanya dalam kalangan golongan milenium. Kewarganegaraan global memberikan seseorang itu suatu identiti yang melangkaui sempadan geografi dan politik dalam perspektif yang lebih meluas. Namun demikian, hal ini tidak bermakna mereka akan melupakan identiti bangsa dan kewarganegaraan asal mereka, tetapi kepuasan menjadi warganegara global memberikan satu pengalaman yang unik terutamanya bagi individu yang mencari suatu kelainan dan cabaran dalam kehidupan masing-masing.

Proses globalisasi telah bermula seawal tahun 1800-an dan kini semakin berkembang sehingga Globalisasi 4.0 telah dijadikan sebagai tema persidangan World Economic Forum 2019 di Davos Switzerland. Terdapat lima ciri utama globalisasi, iaitu integrasi dalam aspek ekonomi, liberalisasi, penswastaan, perdagangan bebas dan kesalinghubungan.

Pendekatan globalisasi dalam aspek ekonomi, liberalisasi dan perdagangan bebas merupakan konsep yang tidak asing lagi di Malaysia. Namun begitu, konsep kesalinghubungan terutamanya kebebasan pergerakan dari sesebuah negara ke negara yang lain merupakan konsep baharu yang semakin diterima dalam kalangan masyarakat moden Malaysia.

Keputusan kerajaan membenarkan syarikat penerbangan tambang rendah beroperasi dengan menyediakan kemudahan lapangan terbang untuk syarikat-syarikat ini telah merubah gaya hidup rakyat Malaysia secara keseluruhan. Rakyat kini berpeluang untuk menikmati suatu pengalaman baharu dengan melancong ke negara luar dan menikmati satu budaya dan gaya hidup yang berbeza. Hal ini merupakan suatu pengalaman yang baik dan membantu mematangkan masyarakat Malaysia dalam menerima perubahan, ditambah pula dengan kekuatan media sosial dalam menyebarluaskan sesuatu maklumat dan isu melalui perkongsian tanpa had memberikan impak positif dalam mempopularkan sesuatu destinasi. Destinasi pelancongan seperti Cappadocia di Turkiye, Pulau Jeju di Korea Selatan, Desa Isetwald di Switzerland dan banyak lagi menjadi popular kerana kesan tular di media sosial.

Fenomena ini bukan hanya berlaku di Malaysia, malahan turut berlaku pada peringkat global. Negara yang mengamalkan dasar tertutup sebelum ini telah membuka sempadan mereka untuk membenarkan rakyat keluar negara dan bersedia menerima kehadiran warga negara asing dengan peraturan tertentu. Sebagai contoh, lebih kurang 160 juta orang rakyat China dan 26 juta orang rakyat India keluar melancong pada setiap tahun semasa tahun-tahun sebelum COVID-19. Hal ini disifatkan sebagai satu daripada segmen sasaran pelancong yang besar bagi Malaysia sekiranya dikaji dengan menyeluruh.

Selain pelancong konvensional, terdapat golongan baharu yang dikenali sebagai nomad digital, iaitu satu kumpulan anak muda yang menetap dari sesebuah negara ke sebuah negara yang lain untuk tempoh yang singkat antara tiga hingga enam bulan. Menurut laporan, sebanyak 45 juta orang nomad digital berada di seluruh dunia. Golongan ini bekerja tanpa memerlukan pejabat yang tetap dan hanya bergantung pada teknologi dan Internet dengan penggunaan peralatan yang minimum seperti komputer riba, kamera, telefon pintar dan bekerja di tempat terbuka seperti kafe dan perpustakaan yang kini merupakan identiti golongan nomad digital. Pada kebiasaannya, mereka bekerja sebagai pengatur cara, pencipta kandungan, pereka bentuk dan pemberita bebas yang bekerja mengikut kesesuaian masa tanpa sekatan.

Golongan nomad digital ini mempunyai pengikut mereka tersendiri dan ada antara mereka mempunyai pengikut sehingga 25 juta orang di media sosial. Bayangkan impak yang mereka hasilkan bagi setiap kandungan yang dikongsi dalam akaun media sosial mereka. Malaysia mempunyai kelebihan dari segi kepelbagaian budaya, makanan dan destinasi pelancongan yang menjadi tarikan kepada nomad digital. Kandungan yang berkaitan dengan keunikan makanan dan destinasi pelancongan sentiasa menjadi bahan berita yang popular dalam media sosial dan Malaysia seharusnya menggunakan peluang ini untuk menggalakkan semula aktiviti pelancongan. Kumpulan nomad digital ini perlu diberikan kemudahan untuk berada di negara ini agar Malaysia turut mendapat manfaat dari segi ekonomi.

Visa khas untuk kumpulan digital nomad ini semakin popular dan dilaporkan lebih dari 50 buah negara telah mula menawarkan pelbagai pakej untuk mereka. Persaingan antara negara kian wujud dan pelbagai ranking dikeluarkan untuk menyenaraikan negara-negara terbaik sebagai pilihan utama antaranya negara paling selamat dan negara dengan kos sara hidup termurah untuk nomad digital. Antara lima buah negara yang menjadi pilihan golongan ini termasuklah Jerman, Australia, Sepanyol, Norway dan Portugal.

Trend terkini dalam kalangan golongan muda membuktikan bahawa mobilisasi masyarakat telah menjadi suatu kebiasaan baharu pada peringkat global. Mobilisasi ini bukan hanya terhad pada aktiviti pelancongan, malahan penghijrahan golongan elit dan profesional ke negara lain juga menjadi satu trend dan diterima baik pada peringkat antarabangsa. Kebanyakan negara penerima menyediakan pelbagai kemudahan bagi membolehkan golongan ini kekal berada di negara penerima sehingga ada yang menawarkan kerakyatan kepada mereka.

Negara maju terutamanya negara Eropah sedar akan potensi ekonomi yang boleh dimanfaatkan melalui trend ini dan telah melaksanakan pelbagai program dalam menarik minat golongan elit dan profesional ini untuk terus kekal di negara mereka.

Antara program yang semakin popular untuk menarik golongan ini termasuklah program Golden Visa, iaitu satu program yang membenarkan pemegang visa tinggal bersama keluarga mereka dalam sesebuah negara tanpa sekatan untuk suatu tempoh yang ditetapkan. Mereka bebas untuk menjalankan perniagaan, pelaburan hartanah, pembelian aset, mendapat pendidikan bertaraf dunia untuk anak-anak, melancong di dalam dan luar negara serta bebas keluar masuk negara sehingga tempoh visa tamat. Di negara luar, Golden Visa ini juga dikenali sebagai satu daripada program untuk mendapat kerakyatan melalui pelaburan.

Firma Henly & Partners, iaitu sebuah firma yang menyediakan perkhidmatan untuk memilih destinasi terbaik bagi golongan elit yang ingin berhijrah telah menyenaraikan lima buah negara terbaik untuk program Golden Visa ini. Negara pertama pilihan mereka ialah negara UAE dengan nilai pelaburan minimum sebanyak AED2 juta (RM2 juta), tempat kedua ialah negara Sepanyol dengan pelaburan minimum €500 000 (RM2.3 juta), Montenegro dengan pelaburan €450 000 (RM2.1 juta), Turkiye dengan pelaburan A.S.$250 000 (RM 1.1 juta) dan yang terakhir ialah Thai dengan pelaburan minimum 600 000 bath (RM75 000).

Antara negara yang telah berjaya melaksanakan program ini secara sistematik ialah negara Portugal. Program ini telah mula diperkenalkan sejak tahun 2012 dan sehingga kini negara tersebut telah melaporkan beberapa kejayaan antaranya termasuklah 11 384 orang pemegang Golden Visa dan 18 617 ahli keluarga telah menyertai program ini. Portugal juga telah berjaya mengumpul pelaburan sebanyak €6.6 bilion (RM31 bilion) dengan 90 peratus daripada jumlah tersebut adalah melalui pelaburan hartanah.

Negara UAE melaporkan telah mengeluarkan lebih 100 000 Golden Visa sejak diperkenalkan pada tahun 2019. Bagi meningkatkan keuntungan dalam sektor hartanah, syarikat hartanah juga diberi kebenaran sebagai orang tengah yang membantu pelanggan mereka dalam membuat permohonan mendapatkan Golden Visa. Selain itu, pengumuman kerajaan dalam menurunkan kelayakan gaji minimum juga telah mempertingkatkan permohonan.

Pemerhatian kepada keadaan semasa, jelas menunjukkan bahawa penghijrahan manusia merupakan sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Globalisasi dan penghijrahan sedang berlaku pada kadar yang pantas dan akan terus berlaku dari semasa ke semasa. Hal tersebut tidak dapat ditahan atau dielakkan. Negara yang telah bersedia dalam merancang pembangunan negara akan mendapat manfaat berlipat ganda terutamanya dalam aspek limpahan ekonomi. Negara yang masih berkira-kira dan tidak cakna kepada perubahan ini akan ketinggalan dan kerugian.

tahun 2022 telah melabuhkan tirainya dan tahun 2023 merupakan suatu tahun yang dikatakan amat mencabar dari segi ekonomi, kestabilan politik, perubahan cuaca dan kecukupan bekalan makanan. Negara yang terkesan dengan COVID-19 telah mula bangkit dengan pelbagai inisiatif dan suntikan modal untuk menggerakkan semula ekonomi. Keputusan negara China untuk tidak lagi memantau kes COVID-19 di negara tersebut dan mula membuka pintu sempadan memberikan bayangan bahawa China bersedia mempertingkatkan semula aktiviti ekonomi mereka. Hal ini akan memberikan kebangkitan ekonomi kepada negara tersebut dan juga negara serantau. Dalam hal ini, Malaysia juga harus bersedia agar tidak ketinggalan terlibat sama demi kemakmuran dan kesejahteraan negara tercinta.


Penulis, Pengarah Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik, Jabatan Imigresen Malaysia

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.