18 Januari 2023, 10:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Raja Muda Perlis Brigedier, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menerima sembah mengadap perpisahan oleh Panglima Briged ke-30 Infantri Tentera Darat Malaysia, Brigedier Jeneral Mohd Zaki Abu yang diadakan di Wang Kelian.

Brigedier Jeneral Mohd Zaki Abu (kiri) menerima plak penghargaan dari DYTM Tuanku Raja Muda Perlis.

Mohd Zaki menyembah maklum kepada baginda yang beliau bertukar ke Markas Tentera Darat, Jabatan Arah Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) untuk mengambil alih jawatan sebagai Ketua Pengarah.

Tampuk pemerintahan Briged ke-30 Infantri yang berpangkalan di Kem Bukit Cowder Mata Ayer Perlis yang memegang slogan “Teguh Perisai” itu diserahkan melalui Majlis Serah Terima Tugas kepada Panglima yang baharu, iaitu Brigedier Jeneral Yazid Yusuf pada 16 Januari 2023.

Dalam majlis mengadap tersebut juga, Mohd Zaki melahirkan rasa bangga dan bertuah kerana dapat berkhidmat di negeri ini dan turut menyembah ucapan menjunjung setinggi kasih kepada DYTM Tuanku Raja Muda atas segala sokongan dan perkenan yang diberikan oleh baginda sepanjang perkhidmatan beliau di negeri Perlis.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Komander Rejimen 504 Askar Wataniah Pasukan Simpanan Tentera Darat turut merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Mohd Zaki yang telah berkhidmat di negeri Perlis sejak 11 November 2020 dan berharap beliau akan terus mencurahkan bakti kepada agama, bangsa dan negara serta bertitah selamat maju jaya di tempat perkhidmatan yang baharu kelak.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.