Oleh Aisyah A.
19 Januari 2023, 17:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada hari ini menyampaikan ucapan dalam wacana Membangun Malaysia Madani bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada pukul 11.30 pagi. Turut hadir dalam majlis ini ialah Menteri Kabinet, Timbalan Menteri dan Menteri daripada setiap kementerian berserta sebahagian besar penjawat awam.

Wacana ini bertujuan untuk mendengar amanat khas daripada Perdana Menteri ke arah membangun Malaysia Madani yang menjadi satu tonggak dan kerangka penting untuk membawa hala tuju negara. MADANI adalah singkatan kepada kemampuan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.

Memulai ucapan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengucapkan terima kasih kepada para hadirin kerana hadir memberikan semangat dan dorongan untuk terus meningkatkan usaha dan kerja yang dijalankan. Menurut beliau, amanat ini bukanlah suatu wawasan baharu, namun lebih menumpukan hasrat untuk mengajak semua pimpinan dan rakyat menyedari akan amanah yang dipikul.

YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika mewacanakan agenda hala tuju negara.

Rakyat Malaysia perlu sedar bahawa ada nilai murni yang perlu dikembangkan dan dihidupkan semula. Dalam usaha memacu pertumbuhan bidang ekonomi, teknologi dan digital, nilai dan kemanusiaan tidak boleh ditinggalkan kerana tindakan tersebut menjadikan kita mula mengalah dan mudah berkompromi dengan penyelewengan dan penindasan. Kita perlu sedar bahawa ada nilai murni yang perlu dikembangkan dan dihidupkan semula.

Menurut Dato’ Seri Anwar, Madani ini adalah sekadar menginsafi bahawa tanggungjawab untuk mengangkat martabat insan sebagai karamah insaniah yang berpaksi kepada keyakinan, nilai dan akhlak, serta tata kelola yang adil dan berkesan dalam sejarah. Masyarakat Madani, ditekankan pemerkasaan ekonomi dan budaya, tetapi terasnya adalah nilai, etika dan akhlak, serta keyakinan dan kemanusiaan.

Beliau menegaskan dalam memacu negara untuk terus maju, kita tidak dapat lari daripada salah laku dan rasuah yang boleh menyebabkan runtuhnya nilai kemanusiaan, namun kesedaran bersama perlu ada bagi menghidupkan semula kekuatan leluhur bangsa daripada semua kaum dan agama dalam negara.

Dalam membincangkan soal pertumbuhan pascapandemik COVID-19, beliau menegaskan semua pimpinan di persekutuan, negeri, daerah dan penjawat awam dari peringkat tertinggi hingga rendah untuk belajar dari pengalaman dan bertindak sesuai dengan tuntutan baharu.

Beliau menyebut beberapa isu yang berkait rapat dengan belia dan wanita untuk menunjukkan bahawa kaedah dan cara lama yang diguna pakai tidak dapat menyelesaikan masalah negara. Oleh itu, beliau mencadangkan untuk menamatkan satu daripada ukuran kemajuan, iaitu melalui pertumbuhan ekonomi semata-mata kerana hal ini merupakan satu keghairahan untuk menunjukkan angka pelaburan asing tanpa menekankan kesan dan akibat kepada manusia seluruhnya.

Asas ekonomi manusiawi yang perlu difahami dalam konteks Madani sekarang adalah falsafah pembangunan yang holistik dan menyeluruh berpandukan keprihatinan etika dan sosial berasaskan prinsip keadilan dan kebajikan. Mengurus ekonomi, manusiawi perlu mengambil kira faktor dimensi manusiawi dan dimensi insan.

“Kemanusiaan insan tidak dapat dicapai jika rakyat memilih untuk mencemuh sesama manusia kerana madani menuntut manusia untuk mempunyai nilai dan etika dan memuliakan, serta mengangkat martabat insan sepertimana yang disebut dalam al-Quran.

Bagi mendepani 2023, Perdana Menteri ke-10 ini percaya bahawa tema ini dapat kekal relevan dan diwacanakan sebagai satu iltizam dan pendekatan untuk menyelamatkan negara. Tambah beliau, “Semua kelemahan dahulu mesti dihentikan supaya kemelut ekonomi yang mendatang dapat diatasi dengan jauh lebih baik. Pengurusan yang baik dan cekap mampu menyelamatkan berbilion-bilion dana negara tanpa perlu mewujudkan projek atau inisiatif baharu. Ternyata, inilah cabaran yang perlu dihadapi oleh pemimpin dan rakyat Malaysia.”

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.