Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangMenjelang tahun 2050, World Economic Forum menjangkakan bahawa bumi akan dihuni oleh 10 bilion orang berbanding dengan 7.7 bilion orang pada hari ini. Sebagai akibatnya, bilangan warga emas bagi setiap 100 orang akan meningkat hampir tiga kali ganda, iaitu daripada 20 orang pada tahun 1980, kepada 58 orang pada tahun 2050.
Hal ini turut bermaksud populasi tua akan meningkat di semua negara Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD). Walau bagaimanapun, terdapat perbezaan yang jelas dalam kadar penuaan. Sebagai contoh, Jepun memegang gelaran sebagai negara yang mempunyai penduduk tertua, dengan ⅓ daripada warganya sudah berumur lebih daripada 65 tahun. Menjelang tahun 2030, tenaga kerja negara itu dijangka berkurangan sebanyak 8 juta orang mengakibatkan potensi kekurangan tenaga kerja yang besar akan melanda negara tersebut.
Berbeza daripada Korea Selatan yang pada masa ini mempunyai penduduk yang lebih muda daripada purata rakyatnya. Hal ini bakal menyaksikan nisbah tua kepada muda negara itu adalah yang tertinggi dalam kalangan negara maju.
Pada peringkat global, populasi umur bekerja (18 hingga 60 tahun) akan menyaksikan penurunan sebanyak 10 peratus menjelang tahun 2060. Jumlah penduduk yang bekerja akan jatuh paling drastik, iaitu sebanyak 35 peratus atau lebih di Greece, Jepun, Korea, Latvia, Lithuania dan Poland. Pada hujung skala yang lain, jumlah tersebut akan meningkat melebihi 20 peratus di Australia, Mexico dan Israel.
Kekurangan tenaga kerja hanyalah satu daripada kesan peningkatan populasi tua. Terdapat banyak lagi risiko sosial dan ekonomi lain yang boleh dijangkakan apabila populasi global terus meningkat:
Persoalannya apakah persediaan dunia untuk berhadapan dengan peningkatan penduduk tua?
Agenda penduduk tua banyak diperkenalkan di kebanyakan negara maju. Hal ini bertujuan untuk membantu kelompok ini untuk merebut peluang kehidupan yang lebih baik dan terjamin. Agenda itu merangkumi semua aspek kehidupan, iaitu pekerjaan, pendidikan dan kesihatan.
Maka itu, apakah wujud mekanisma yang benar-benar terbaik untuk menyokong pekerja yang lebih tua? Amat penting adalah untuk mencari cara yang terbaik untuk membantu pekerja yang lebih tua agar kelompok ini kekal produktif. Bermula tahun 2008 hingga tahun 2018, orang yang berumur lebih daripada 55 tahun menyumbang sebanyak 79 peratus pertumbuhan pekerjaan di seluruh negara OECD dan sebanyak 103 peratus di negara G7. Dalam hal ini, banyak penganalisis percaya pemacu yang paling penting dalam bidang pekerjaan pekerja yang lebih tua bukanlah perubahan dalam saiz populasi yang lebih tua, tetapi perubahan dalam kemungkinan adakah mereka mampu untuk terus bekerja atau sebaliknya.
Dasar untuk menggalakkan penyertaan tenaga buruh yang lebih tinggi dalam kalangan pekerja yang lebih tua selalunya bergantung pada pelan pencen, kesihatan dan sokongan yang tersedia untuk mereka, serta struktur industri dan jenis pekerjaan yang ditawarkan. Penggunaan robotik dan kecerdasan buatan juga harus membantu menyokong pekerjaan dalam kalangan kumpulan ini. Pekerja yang lebih tua lebih cenderung terhadap kerja yang fleksibel dan sambilan, walaupun gaji yang ditawarkan adalah lebih rendah seperti yang ditawarkan di Jepun dan Singapura.
Menyokong pekerja yang lebih tua juga perlu mengambil kira polisi yang menyukarkan mereka mendapatkan pekerjaan dan pelbagai kemungkinan yang boleh menyebabkan mereka dipecat. Dalam hal ini banyak negara perlu proaktif dalam memperluaskan hak orang kurang upaya serta bersedia untuk menggubal undang-undang untuk menyokong dan melindungi pekerja yang lebih tua.
Apabila populasi meningkat, beban penyakit beralih kepada penyakit tidak berjangkit, seperti penyakit jantung, kanser, diabetes dan demensia. Pada tahun 2016, penyakit ini menyumbang sebanyak 71 peratus kematian di seluruh dunia, dengan sebanyak 78 peratus berlaku di negara berpendapatan rendah dan sederhana. Umum mengetahui bahawa penyakit tidak berjangkit memerlukan kos yang mahal dan memerlukan rawatan dalam tempoh yang panjang. Maka itu, untuk mengurangkan kesannya, negara berpenduduk tua harus menitikberatkan penjagaan kesihatan menerusi pencegahan. Tumpuan harus diberikan terhadap pendidikan awam yang bertujuan untuk mengubah tingkah laku berkaitan dengan aktiviti dan diet yang diamalkan oleh kelompok berusia. Mereka perlu didedahkan dengan implikasi kesihatan yang terkait dengan gaya hidup yang tidak sihat yang mereka masih amalkan pada usia tua, misalnya kelompok yang berusia yang masih minum arak dan merokok.
Memandangkan berjuta-juta lagi penduduk yang dijangka akan hidup melebihi umur 65 tahun, hal ini sudah tentu akan memaksa banyak negara melihat semula dasar pentadbiran berkaitan dengan pengurusan penduduk tua. Misalnya usaha untuk menaikkan umur pencen. Dalam hal ini, kerajaan pastinya memerlukan dasar yang memberikan sokongan kepada mereka yang tidak lagi mampu bekerja dengan menyediakan insentif untuk mereka yang masih mampu bekerja. Misalnya, pekerja A yang berusia 55 tahun tidak lagi mampu bekerja, sementara pekerja B yang berusia 56 tahun masih berkebolehan untuk terus bekerja. Maka itu, perlu ada polisi yang berbeza dalam menangani perbezaan ini.
Memandangkan peningkatan dalam jangka hayat sihat bukan sahaja bergantung pada pendapatan dan jaminan pekerjaan, tetapi juga untuk tujuan sosial yang lebih luas. Misalnya pertubuhan seperti Japan’s Council for Designing 100-Year Life akan terus membantu dan memantau kemajuan ke arah sasaran kehidupan 100 tahun dengan meningkatkan penyelarasan merentas jabatan kerajaan di negara itu.
Ahli falsafah Perancis, Auguste Comte menyatakan bahawa “demografi adalah takdir.” Maka itu, individu yang hidup lebih lama seharusnya lebih sihat dan hal itu sepatutnya mengembirakan dan dapat meningkatkan pulangan ekonomi kepada negara yang terlibat. Maka itu, merancang dasar untuk memaksimumkan bilangan orang dari semua peringkat umur yang mendapat manfaat daripada kesan jangka hayat ini sambil berusaha untuk meningkatkan produktiviti sepanjang hayat yang lebih panjang seharusnya menjadi pertimbangan semua negara, tidak terkecuali Malaysia.