30 Januari 2023, 08:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Raja Muda Perlis dan delegasi Wilayah Samarkand dari Uzbekistan saling bertukar mengayakan pakaian tradisional negara masing-masing.

Arau ­– Pada 29 Januari 2023, Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menerima mengadap delegasi daripada Pejabat Pentadbiran Wilayah Samarkand dari Uzbekistan di Galeri DiRaja Arau.

Delegasi seramai tujuh orang tersebut diketuai oleh Timbalan Gabenor Wilayah Samarkand, Kobilov Rustam Rajabboyevich.

Dalam pertemuan tersebut, Raja Muda Perlis mengalu-alukan kedatangan pelajar dari Uzbekistan untuk melanjutkan pelajaran di negeri Perlis.

Pelajar dari Wilayah Samarkand boleh membuat permohonan untuk mendaftarkan masuk ke Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs).

Titah baginda dengan yakin, institusi tersebut telah berjaya melahirkan puluhan graduan pada setiap tahun, termasuklah pelajar dari Uzbekistan sebelum era pandemik yang lalu.

Turut serta dalam rombongan berkenaan ialah Ketua Mufti dan Imam, Eshonkulov Zayniddin dan Ketua Jabatan Pelancongan dan Warisan Kebudayaan, Akhmedov Makhmud Mukhamadovich.

Hadir sama, Rektor Sekolah Tinggi Sains Hadith Yusupov Olimxon dan Pegawai di Kedutaan Besar Uzbekistan di Kuala Lumpur, Elbek Saidov.

Dalam perkembangan yang lain, Kobilov Rustam yang ketika berada di Perlis selama dua hari dan satu malam memuji inisiatif mampan yang dilaksanakan oleh Tuanku Raja Muda melalui Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang pada hemat beliau telah mengubah landskap dan gaya hidup masyarakat setempat di dalam kawasan Projek Transformasi DiRaja Kampung Nelayan Warna Warni Seberang Ramai Kuala Perlis dengan jayanya.

Tambah beliau, “lokasi menarik Kampung Nelayan Warna Warni boleh diketengahkan sebagai satu produk pelancongan baharu yang menarik di negara ini. Namun, usaha ini memerlukan sokongan padu daripada semua pihak, terutamanya masyarakat setempat untuk memastikan kawasan masing-masing kekal bersih, ceria dan mesra pengunjung pada setiap masa.”

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.