30 Januari 2023, 17:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sejak akhir-akhir ini, terdapat banyak kes mengenai pemerdagangan manusia tular di media sosial. Umum mengetahui bahawa pemerdagangan manusia bermaksud perbuatan yang melibatkan pemerolehan atau pengekalan tenaga kerja atau perkhidmatan seseorang melalui paksaan seperti merekrut, mengangkut, memindahkan, melindungi, menyediakan atau menerima seseorang (Undang-undang Malaysia, 2016). Dalam erti kata lain, pemerdagangan manusia boleh disifatkan sebagai salah satu aktiviti perdagangan manusia yang melibatkan pergerakan manusia secara haram seperti membawa masuk atau keluar buruh secara tidak sah atau secara paksa, pengambilan manusia bagi tujuan pelacuran, pekerjaan, atau perhambaan dan lebih tragis untuk tujuan penjualan organ manusia. Bukan itu sahaja, malah terdapat juga aktiviti pemerdagangan manusia bagi kanak-kanak untuk tujuan pelacuran, mengemis, pengambilan anak angkat dan lain-lain.

Aktiviti pemerdagangan merupakan masalah global yang berlaku dalam kalangan semua peringkat umur tidak mengira lelaki atau wanita. Pada kebiasaannya, aktiviti pemerdagangan manusia berlaku antara negara, iaitu dari sebuah negara ke negara yang lain melalui jalan darat, laut atau udara. Malaysia turut menjadi destinasi tumpuan bagi aktiviti pemerdagangan manusia khususnya pekerja asing dari negara jiran seperti Indonesia, Filipina, Bangladesh, Thailand dan India. Pada April 2020 hingga Mac 2021, pihak penguat kuasa undang-undang telah melakukan sebanyak 118 buah penyiasatan bagi aktiviti pemerdagangan manusia dan Jabatan Peguam Negara memulakan pendakwaan terhadap 79 orang yang disyaki memperdagangkan manusia dan telah mensabitkan sebanyak 25 orang dan penyeludup migran (Kedutaan Amerika Syarikat, Malaysia, 2021). Sehubungan dengan itu, kebanyakan orang yang tidak bersalah telah diperdagangkan bagi tujuan yang tidak berperikemanusiaan ini. Oleh itu, umum harus mengetahui bahawa isu pemerdagangan manusia ini harus diambil tindakan oleh pelbagai pihak bagi mengelakkan semakin banyak orang menjadi mangsa. Berikut merupakan tindakan yang boleh diambil oleh semua pihak bagi mengelakkan sebarang aktiviti pemerdagangan manusia berlaku:

1. Memperkasakan Undang-undang Sedia Ada

Peranan pihak kerajaan dalam memperkasakan undang-undang sangat penting bagi membanteras aktiviti pemerdagangan manusia di dalam negara. Saadiah Ismail (2021), menyatakan bahawa Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan memperkasakan penguatkuasaan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSON) 2007 bagi meningkatkan jumlah sabitan kesalahan kepada golongan yang melakukan kesalahan yang berkaitan dengan pemerdagangan manusia. Hal ini demikian kerana, undang-undang sedia ada masih dipandang enteng oleh segelintir golongan yang melakukan kesalahan ini kerana hukuman sedia ada dilihat tidak setimpal dan kompaun dikenakan kepada pesalah juga masih di tahap yang sederhana. Golongan pesalah ini sudah semestinya mendapat pulangan yang tinggi hasil daripada melakukan aktiviti pemerdagangan manusia ini. Sebagai contoh, pihak berwajib boleh memperkasakan undang-undang sedia ada seperti mempertimbangkan untuk meningkatkan hukuman seperti penjara seumur hidup kepada pesalah jenayah pemerdagangan manusia dan kadar bayaran kompaun yang lebih tinggi. Oleh itu, undang-undang sedia ada perlu diperketat supaya pihak yang tidak bertanggungjawab lebih takut untuk melakukan aktiviti tidak bermoral ini.

2.   Peranan Pihak Kerajaan

Usaha perlu ditingkatkan lagi oleh pihak kerajaan dengan kerjasama pelbagai pihak seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO), masyarakat, dan agensi lain bagi membanteras aktiviti pemerdagangan manusia ini berlaku. Peranan pihak kerajaan pada masa ini dilihat komited dalam menangani isu ini. Walau bagaimanapun, penjenayah kini selangkah lebih licik dalam melakukan aktiviti jenayah ini. Penjenayah sudah semestinya akan mempelbagaikan cara untuk membawa masuk atau keluar golongan manusia yang tidak bersalah demi kepentingan diri mereka sendiri. Misalnya, kerajaan perlu meningkatkan operasi dengan bantuan pihak yang berwajib dalam mengesan aktiviti pemerdagangan manusia di bahagian sempadan negara sama ada di laut, udara atau darat. Usaha kerajaan sebelum ini dalam menangani isu pemerdagangan manusia termasuklah seperti serbuan polis secara besar-besaran terhadap premis yang dikenal pasti menjadi pusat seks komersial, kilang-kilang yang disyaki mempunyai tenaga kerja paksa dan majikan yang dikenal pasti tidak membayar gaji (Kedutaan Amerika Syarikat, Malaysia, 2021). Dengan itu, kerajaan perlu lebih proaktif dan komited dalam mengesan aktiviti pemerdagangan manusia ini kerana banyak lagi golongan yang tidak bernasib baik tidak dapat dikenal pasti sebagai mangsa dan tidak menerima perlindungan.

3.   Peranan Media Massa

Peranan media massa kini dilihat sangat penting dalam membanteras kes pemerdagangan manusia. Pada era globalisasi ini, peranan media massa dilihat sangat penting untuk menyalurkan maklumat kepada masyarakat tanpa mengira di mana mereka berada dengan hanya menggunakan hujung jari sahaja. Media massa merupakan lambang kemajuan teknologi informasi dan komunikasi serta mempunyai peranan penting dalam menentukan penyampaian informasi dan saluran dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat (Sohana Abdul Hamid, 2016). Media massa dilihat dapat menyebarkan maklumat mengenai kes pemerdagangan manusia dengan cepat dan menyalurkan maklumat tentang tindakan yang boleh dilakukan oleh masyarakat sekiranya berlaku aktiviti pemerdagangan di kawasan mereka. Dengan itu, masyarakat akan lebih peka dan mengambil berat tentang isu pemerdagangan manusia. Sebagai contoh,media massa boleh menyalurkan maklumat kepada orang ramai mengenai cara melaporkan jenayah pemerdagangan manusia sama ada secara bersemuka atau melalui dalam talian. Oleh itu, pihak kerajaan perlu menggunakan media massa sebagai saluran informasi untuk menghebahkan hukuman dan denda kepada pesalah pemerdagangan manusia agar golongan yang tidak bertanggungjawab ini takut untuk melakukan kesalahan. Laman sesawang khusus juga boleh diwujudkan untuk melaporkan kes jenayah ini.

4.   Meningkatkan Keselamatan Sempadan dan Pemantauan

Aktiviti pemerdagangan manusia kebiasaannya berlaku dari sebuah negara ke negara yang lain melalui jalan darat, laut atau udara. Oleh sebab itu, tahap kawalan keselamatan di kawasan sempadan dan tahap pemantauan yang lebih kerap perlu ditingkatkan lagi bagi menangani aktiviti ini. Sebagai contoh,aktiviti pemerdagangan manusia menurun sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa pandemik COVID-19 yang lalu berikutan kawalan ketat dilakukan oleh pihak berkuasa melalui kawalan di semua sempadan serta sekatan jalan raya lebih kerap di seluruh Malaysia. Kesannya, aktiviti penyeludupan manusia yang masuk ke negara kita secara haram dapat dikurangkan. Bukan itu sahaja, pihak berkuasa juga perlu mengesan “jalan tikus” yang digunakan oleh pihak yang melakukan aktiviti pemerdagangan manusia ini. Oleh itu, pihak berkuasa seharusnya meningkatkan lagi pemantauan keselamatan sempadan.

5.   Peranan Masyarakat

Masyarakat juga memainkan peranan penting bagi menangani isu pemerdagangan manusia kerana masyarakat setempat merupakan tulang belakang kepada kerajaan dalam mendapatkan informasi yang berkaitan dengan aktiviti pemerdagangan yang berlaku di kawasan mereka. Kerjasama dalam kalangan pihak berkuasa, badan bukan kerajaan, syarikat perniagaan dan masyarakat setempat mampu dalam menyelesaikan kes jenayah (Farah Suhaidah Othman, 2017). Sebagai contoh, masyarakat setempat perlu peka terhadap kawasan sekeliling seperti kawasan ladang, kilang dan di mana-mana sahaja jika mengesyaki berlaku sebarang aktiviti pemerdagangan manusia serta segera melaporkannya kepada pihak berkuasa. Hal ini sudah semestinya serba sedikit dapat membantu pihak berkuasa untuk mendapatkan maklumat awal mengenai aktiviti pemerdagangan manusia.

Tegasnya, isu pemerdagangan manusia ini seharusnya diberi perhatian kerana membabitkan penganiayaan terhadap golongan yang tidak bersalah. Pelbagai tindakan boleh dilakukan serta dipertingkatkan lagi bagi membanteras aktiviti pemerdagangan manusia di dalam dan luar negara. Oleh itu, semua pihak diharap dapat berganding bahu dalam usaha membanteras aktiviti pemerdagangan manusia daripada terus berlaku agar tidak memberikan kesan buruk kepada negara dan masyarakat pada masa hadapan.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.