31 Januari 2023, 15:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Lahirnya sebuah pendidikan di sesebuah negara bersandarkan falsafah yang ditetapkan. Meneliti, memahami dan menjiwai Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) menyatakan bahawa “Pendidikan di Malaysia merupakan suatu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.”

Tahun baharu 2023 menzahirkan satu perkembangan dan ekosistem baharu dalam pentadbiran negara. Namun begitu, amat penting untuk dinyatakan bahawa aspek pendidikan tidak seharusnya dipolitikkan. Pendidikan menjadi asas pembinaan modal insan negara dan digariskan dalam Visi Kementerian Pendidikan Malaysia, iaitu “Pendidikan Berkualiti, Insan Terdidik, Negara Sejahtera” dan Misi “Melestarikan Sistem Pendidikan yang Berkualiti untuk Membangunkan Potensi Individu bagi Memenuhi Aspirasi Negara”. Kita juga amat bersyukur telah mempunyai satu gagasan yang kukuh yang dimeterai dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2023 (Pendidikan Prasekolah hingga Lepas Menengah). Pelan ini telah menyediakan kerangka pembangunan yang menyeluruh untuk menzahirkan transformasi sistem pendidikan secara pantas dan mapan sehingga tahun 2025.

Kenyataan Menteri Pendidikan YB, Fadhlina Sidek menzahirkan Pendidikan merupakan satu wadah utama bagi menyerlahkan potensi individu sekali gus melahirkan insan yang berilmu, bertanggungjawab dan menyumbang kepada kemakmuran dan kesejahteraan ummah. Beliau juga menyatakan bahawa “Landasan penting untuk kita melihat kejayaan atau keberkesanan dan impak adalah dengan merujuk pada laporan Pelan Pembangunan Pendidikan yang akan berakhir pada tahun 2025. Yang paling penting kini, KPM akan memastikan apa-apa sahaja dasar yang hendak diperkenalkan selepas ini perlu diteliti dengan sebaik-baiknya termasuklah soal infrastruktur yang lengkap dan ekosistem pembelajaran yang sistematik,” jelas beliau semasa siaran rancangan Dimensi Baharu KPM di Bernama TV.

Hakikat yang jelas kepada seluruh warga Malaysia adalah untuk meneliti, memahami dan menjiwai Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang sebenar. Falsafah ini perlu menjadi pegangan yang kuat di setiap peringkat murid, guru, pentadbir sekolah, komuniti ibu bapa dan masyarakat secara keseluruhannya. Kalau kita lihat secara berperingkat, terdapat lima fokus yang perlu diberi keutamaan iaitu pertama, kita melihat bahawa FPK menyatakan hasrat untuk memupuk insan seimbang dan harmonis melalui kesepaduan ilmu melalui pendidikan secara berterusan. Kedua, elemen asas jasmani, intelek, rohani dan emosi (JIRE) telah disepadukan dan diseimbangkan secara harmonis. Ketiga, asas utama kesepaduan JIRE untuk melahirkan insan seimbang dan harmonis adalah berpaksikan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Keempat, hasil dari ini akan memperlihatkan keberadaan ‘kesejahteraan diri’ bagi setiap individu melalui sistem pendidikan Malaysia, dan Kelima, kesudahannya individu tersebut berupaya menyumbang kepada keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara; begitu jugalah terhadap dunia sejagat.

Kelima-lima fokus ini tersusun dengan tertib dan rapi bagi membolehkan setiap individu terdidik peringkat demi peringkat sebagai seorang insan (bukan ‘modal insan’) seimbang yang berupaya menyumbang atas dasar ilmu yang diperoleh serta nilai yang seimbang. Menelusuri sejarah FPK ini , FPK digubal pada tahun 1988 dan semak semula pada 1996. FPK dikategorikan holistik dari perspektif dan hasrat UNESCO khususnya dalam mengungkapkan pendidikan abad ke-21 mengikut empat ‘tiang pembelajaran’ yang diuar-uarkan badan tersebut merangkumi: learning to know, learning to do, learning to be serta learning to live together.

Hala tuju pendidikan KPM pada ketika ini meletakkan tujuh teras dalam mengemudi sistem pendidikan negara memerlukan sinergi di antara guru, murid, ibu bapa dan komuniti. Pertama; Menjadikan Komunikasi antara Kementerian dan Sekolah Lebih Cekap dan Telus, Kedua; Memberi Penekanan kepada Aspek Karamah Insaniah melalui Pembentukan Adab, Akhlak dan Integriti, Ketiga; memberi perhatian terhadap isu kemiskinan multidimensi murid daripada keluarga b40, Keempat; Memberi Perhatian kepada Isu Keciciran Pendidikan serta Masalah Literasi dan Numerasi, Kelima; Memberi Fokus kepada Kebajikan Guru Adalah Teras Utama Keberkesanan Penyampaian Pendidikan, Keenam; Memberi Tumpuan kepada Usaha Ubahsuai dan Naik Taraf Bangunan Sekolah Daif Terutamanya di Sabah dan Sarawak dan Ketujuh; Meningkatkan Keupayaan Pendidikan Digital di Sekolah. Dengan didatangkan bersama slogan “Murid Ceria, Guru Bahagia, Sekolah Bitara, Negara Sejahtera”.

Sudah pasti tujuh teras ini bersandarkan penelitian, pemahaman dan menjiwai FPK yang terkandung dalam pendidikan di Malaysia. Maka, besarlah harapan seluruh rakyat Malaysia agar isu dan cabaran pendidikan masa ini dapat ditangani dengan sebaik mungkin. Semua pihak harus berganding bahu dalam mendepani arus pendidikan baharu ini.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.