1 Februari 2023, 12:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah pelibatan generasi muda dalam latihan kepimpinan perlu diberikan dipergiat agar dapat melahirkan generasi yang berdaya saing, seiring dengan perkembangan pendidikan pada masa ini.

Titah baginda, pembangunan Kem Pengakap yang bertapak di Jalan Sungai Batu Pahat perlu diberikan perhatian memandangkan tempat tersebut sering digunakan untuk aktiviti perkhemahan ahli pengakap daripada kalangan pelajar sekolah negeri Perlis dan juga dari luar negeri.

Persekutuan Pengakap Negeri Perlis telah bertapak di situ lebih daripada 50 tahun.

Namun begitu, infrastruktur yang kurang sempurna dan penyelenggaraan yang terhad menyebabkan aktiviti tidak dapat dijalankan dengan sepenuhnya.

Satu kebimbangan lagi apabila situasi ini boleh mendatangkan risiko kepada pengguna kem tersebut.

Oleh yang demikian, baginda menyeru kepada semua pihak agar bekerjasama dalam usaha membantu memajukan pergerakan Pengakap di Negeri Perlis ini, demi mencurahkan bakti kepada anak-anak Pengakap kita.

Demikianlah titah Raja Muda Perlis dalam kenyataan ketika berkenan menyempurnakan Majlis Penganugerahan Bintang dan Pingat, Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Perlis 2023 yang diadakan di Dewan Serbaguna Jabatan Perhutanan Negeri Perlis di Bukit Ayer, Sungai Batu Pahat, semalam.

Dalam majlis tersebut, Raja Muda Perlis berkenan menganugerahkan bintang dan pingat Pengakap Perlis kepada 143 orang penerima, termasuklah lima orang dari Thailand kerana jasa dan khidmat bakti mereka kepada Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Perlis dan juga Pergerakan Pengakap.

Keberangkatan tiba baginda selaku Presiden DiRaja Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Perlis disambut oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Haji Nasarudin Haji Shamsudin dan Ketua Pesuruhjaya l Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Perlis, Dr. Azmi Abdullah.

Hadir bersama-sama baginda dalam majlis penganugerahan itu ialah Timbalan Yang DiPertua Majlis Pengakap Negara, Dato’ Haji Ahmad Shazilly Ismail Bakti, Naib Yang DiPertua Majlis Pengakap Negara, Datuk Haji Zamani Tambichek dan Pengurusan Tertinggi Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Perlis.

Dalam perkembangan yang sama, baginda berkata, “Untuk melatih generasi muda, iaitu ahli Pengakap, kita juga harus memperkasa kemahiran kepimpinan kepada pemimpin Pengakap. Pendedahan dan latihan kepimpinan yang baik mampu meningkatkan lagi kompetensi mereka.”

Oleh itu, Jabatan Pendidikan Negeri diseru untuk terus menerus memberi sokongan sepenuhnya dalam usaha meningkatkan ilmu kemahiran kepimpinan untuk guru Pengakap yang berada di sekolah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.