Oleh ipaumaza
12 Februari 2023, 17:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

“Rakyat boleh hidup tanpa peluru, tetapi rakyat tidak boleh hidup tanpa makanan”. Demikian bait-bait perkataan yang dilontarkan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), YB Mohamad bin Sabu, di tengah-tengah kemelut kekurangan bekalan telur dan isu sekuriti makanan dihadapi negara; sewaktu Majlis Amanat Tahun Baru 2023 kepada warga Kementerian. Pada ketika Kerajaan Perpaduan mula terbentuk menerusi pelantikan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10, krisis kekurangan bekalan telur ayam berada di kemuncak apabila dilaporkan negara menghadapi kekurangan telur melebihi 150 juta biji pada bulan November 2022.

Tanpa menunggu lama, sebaik-baik sahaja diumumkan sebagai Menteri MAFS dan mendapat maklum balas dari pihak-pihak berkepentingan; YB Mohamad Sabu mengumumkan langkah drastik untuk mengimport telur sebagai pelan jangka pendek bagi menampung segera kekurangan bekalan yang semakin kritikal kerana krisis bekalan telur yang berpanjangan boleh memberi kesan ekonomi dan kehidupan kepada rakyat. Sebagai sumber protein utama kepada golongan berpendapatan rendah sehingga berpendapatan tinggi, telur ayam dan itik dikenal pasti menjadi produk makanan yang penting kerana  digunakan dalam kebanyakan proses pembuatan makanan seperti masakan, kuih-muih, kek, roti dan pelbagai sajian. Telur juga digunakan secara meluas dalam sektor industri asas tani, farmaseutikal, kosmetik dan perubatan. Dilaporkan, purata penggunaan per kapita telur ayam dan itik setiap rakyat Malaysia sebanyak 20.7 kilogram setahun.

Bagi memastikan keselamatan makanan dan memenuhi prosedur, sumber bekalan diperoleh menerusi syarikat pengeluar telur ayam dari India. Pemilihan syarikat yang berpengkalan di Tamil Nadu berasaskan keupayaannya membekal komoditi tersebut pada Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia 2022 di Qatar, di samping mampu memenuhi penawaran bekalan serta piawaian prosedur import dalam kadar segera.

Di sebalik isu kekurangan bekalan telur yang heboh diperkatakan, Malaysia merupakan negara pengeluar telur ayam ketiga terbesar di Asia Tenggara selepas Indonesia dan Thailand. Pada tahun 2021, Kadar Sara Diri (SSL) bagi telur ayam dan itik negara mencatat 114 peratus. Negara juga direkodkan mengeksport telur ayam dan itik pada 2021 sebanyak 1,873 juta biji berbanding 1,701 juta biji pada 2020. Namun begitu, mengapakah krisis bekalan telur masih berlaku di negara ini?

Mengikut sumber peruncitan, krisis bekalan telur dikesan mula berlaku pada pertengahan tahun lalu apabila bekalan harian di pasaran tidak konsisten. Sesetengah peruncit telah mengehadkan jumlah penjualan papan (tray) telur kepada pengguna. Pada Oktober 2022, kekurangan bekalan dilaporkan sebanyak 118.2 juta biji dan semakin kritikal pada November 2022 apabila kekurangan hampir 157.5 juta biji.

Mengikut sumber perladangan, terdapat beberapa sebab yang membawa kepada masalah bekalan telur menjadi kritikal pada penghujung tahun 2022. Pergantungan seratus peratus bekalan makanan ternakan kepada sumber import, wabak penyakit COVID-19, kekangan tenaga buruh ladang dan penyakit ternakan ayam dikenalpasti sebagai faktor yang menjadikan krisis kekurangan bekalan semakin meruncing.

Makanan ternakan memainkan peranan penting dalam industri penternakan ayam penelur. Hal ini dikatakan demikian kerana setiap nutrien seperti protein, karbohidrat dan mineral yang diperlukan bagi menjamin kuantiti dan kualiti telur yang dihasilkan. Sumber nutrien ini pula berasaskan kepada beberapa komposisi sumber bahan mentah seperti jagung, kacang soya, gandum, minyak sawit, mineral dan vitamin. Bagi setiap bahagian makanan yang diproses; 50 peratus mestilah terdiri daripada jagung, 25 peratus kacang soya, 3 peratus gandum dan baki peratus lagi daripada bahan minyak sawit, mineral dan vitamin.

Industri penternakan ayam di negara ini termasuklah ayam penelur masih bergantung pada sumber luar negara bagi mendapatkan bahan mentah untuk diproses menjadi makanan. Negara mengimport jagung bijirin yang merupakan sumber protein utama dalam makanan ternakan hampir seratus peratus atau kira-kira dua juta tan setahun dari negara Argentina, Brazil dan Amerika Syarikat (AS), manakala sumber tenaga yang terjana daripada gandum bijirin pula diimport dari negara Ukraine, Kanada dan Australia. Berbanding ayam pedaging (broiler chicken) di mana kos makanan di sekitar 60-70 peratus; kos makanan ayam penelur (layer chicken) merangkumi 75-80 peratus daripada kos pengeluaran. Justeru kenaikan harga makanan dari RM80 setiap beg kepada RM120 bagi setiap beg menyumbang kepada peningkatan kos pengeluaran telur ayam. Peningkatan kos menyebabkan margin keuntungan bagi setiap pengeluaran menipis dan seterusnya membebankan penternak.

Pandemik COVID-19 yang melanda dunia pada 2020 dan 2021 menjadi faktor yang turut memberi kesan kepada industri penternakan negara. Bagi mengekang penularan COVID-19 pada fasa permulaan wabak, negara telah melaksana beberapa kawalan pergerakan iaitu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP fasa Bersyarat dan PKP fasa Pemulihan. Pelaksanaan siri PKP yang bukan sahaja dikenakan di Malaysia sebaliknya merangkumi seluruh dunia menyebabkan industri makanan terjejas termasuk pembekalan ayam penelur di mana pengimportan dan pengangkutan makanan ternakan ke ladang-ladang ternakan ayam di negara ini mengalami kekangan. Kesemua urusan pengimportan, penghantaran dan pemindahan makanan ternakan memerlukan kelulusan tertentu daripada pihak berkuasa. Dalam tempoh PKP juga, banyak kantin-kantin sekolah, asrama pekerja, kilang-kilang dan gudang-gudang yang menjadi sumber pemasaran telur terpaksa ditutup. Ekoran itu, kebanyakan syarikat penternakan ayam penelur terpaksa mengstruktur pelan pemeliharaan anak ayam, ayam dara (pullet) dan ayam penelur (layer). Pelan pengstrukturan turut melibatkan ladang ayam pembiak (breeder farm) yang membekalkan anak-anak ayam kepada penternak. Hal demikian bagi mengelak syarikat penternakan mengalami kerugian akibat pengeluaran melebihi permintaan.

Pandemik COVID-19 juga turut menjejaskan operasi perladangan ayam apabila banyak tenaga buruh terpaksa diberhentikan kerana permit kerja tidak disambung dan pekerja sukar sampai ke ladang kerana penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan. Apabila keadaan kembali pulih dan sektor ekonomi dibuka semula; ladang-ladang yang kehilangan pekerja sukar untuk mendapatkan semula tenaga pekerja mereka.

Umum mengetahui, Ukraine dan Rusia merupakan pengeluar bijirin utama dunia terutama gandum dan barli. Perang antara kedua-dua negara berjiran yang bermula pada Februari 2022 dan berlanjutan sehingga kini turut memburukkan keadaan. Hasil gandum bijirin yang turut dieksport ke Malaysia terganggu dan memberi kesan kepada ketidakstabilan harga pasaran apabila harganya meningkat dari RM600 setan kepada RM1900 setan.

Di samping itu, wabak selesema unggas, avian influenza (AI) yang menyerang benua Eropah pada tahun lepas turut membantutkan penggantian ayam-ayam baka penelur. Wabak AI menyaksikan benua Eropah bergelut bagi melupuskan sebanyak 48 juta ekor unggas telah membantut proses penggantian ayam parent stock di negara ini dari grandparent stock yang kebanyakan bersumber dari negara-negara Eropah tersebut.

Menjadi bahan utama atau sampingan, hidangan makanan berasaskan telur boleh kelihatan di mana-mana. Sajian ini juga merentasi kepelbagaian kaum di Malaysia. Bagi masyarakat Melayu, setiap acara sudah semestinya menjadikan telur sebagai pelengkap sajian seperti majlis merisik, bertunang, perkahwinan, perayaan dan berkhatan. Malah telur menjadi sajian dalam pelbagai masakan bagi semua kaum bermula dari golongan bawahan sehingga golongan atasan. Oleh hal yang demikian, krisis ketiadaan telur sangat memberi kesan kepada seluruh masyarakat di negara ini.

Berbeza daripada ayam pedaging yang dipelihara bagi menghasilkan daging; ayam penelur pula dipelihara bagi tujuan mendapatkan telurnya. Ayam penelur boleh bertelur sepanjang tahun, dan bermula dari peringkat dara (pullet), akan mula bertelur pada minggu ke-18 sebanyak 5 peratus pengeluaran dan sehingga minggu ke-20 sebanyak 10 peratus. Pengeluaran telur mencapai paras kemuncak pada minggu ke-26 sehingga ke-30. Kemudian peratus pengeluaran akan menurun sedikit demi sedikit, namun kekal bertelur sehingga 72 hingga 78 minggu. Seekor ayam berupaya menghasilkan 260 sehingga 300 biji telur setahun.  Saiz dan warna telur pula berbeza-berbeza mengikut baka-baka tertentu. Baka yang kerap dipelihara di negara ini ialah Hisex Brown, Lohmann, Dekalb, Isa Brown, Golden Comet dan Babcock. Jerman, Belanda, Perancis dan United Kingdom menjadi pengeksport utama ayam parent stock ke negara ini.

Industri ayam penelur di negara ini bergerak seiring dengan industri ayam pedaging kerana merupakan komponen terbesar dalam pengeluaran sumber protein berasaskan haiwan kepada rakyat. Hal tersebut dibuktikan menerusi pada tahun 2001; pengeluaran telur menyumbang 114 peratus SSL manakala SSL bagi pengeluaran daging ayam sebanyak 118. Penternakan ayam penelur dan pedaging dikatakan bermula seawal tahun 1927 di mana baka ayam eksotik yang terdiri daripada baka Rhode Island Red dan Leghorn dibawa masuk ke negara ini. Sebahagian daripada baka-baka eksotik tersebut bergabung dengan baka ayam hutan tempatan secara kacukan dan mewujudkan baka ayam kampung tempatan. Pada waktu tersebut, ayam diternak secara kecil-kecilan oleh penduduk bagi menyara diri dan pendapatan tambahan. Sistem penternakan secara tradisional dan lepas bebas serta terdedah kepada pelbagai kejadian penyakit. Bagi menampung permintaan tempatan, telur dan ayam terpaksa diimport dari luar negara.

Selepas perang dunia kedua, penternakan ayam mula berkembang dari sudut kuantiti dan kualiti pengurusan. Sistem pengurusan ditumpukan secara sistematik terutama aspek penjagaan kesihatan dan pemberian vaksin sampar ayam diperkenalkan kepada penternak komersil dan semi komersil. Menerusi intervensi pihak berkuasa Veterinar, penternak kecil-kecilan diperkenalkan kaedah menternak secara sistematik daripada kaedah lepas bebas kepada sistem berkurung. Pada 1990-an, sistem perladangan berkonsepkan kaedah moden seperti teknologi automasi dan kawalan biosekuriti didapati semakin meningkat.

Pada 2020, bilangan ayam dan itik penelur yang diternak di seluruh negara berjumlah 69.6 juta ekor, menghasilkan pengeluaran telur sebanyak 13,257 juta biji dengan nilai Ex-Farm berjumlah RM5.2 bilion. Dengan SSL 114 peratus, sebanyak 12 peratus telur ayam dieksport ke beberapa buah negara termasuklah Singapura dan Hong Kong. Kemajuan industri ayam penelur menerusi pertambahan jumlah ayam yang diternak dan pengeluaran telur yang konsisten disumbang menerusi penglibatan beberapa buah syarikat besar. Antara peneraju industri penternakan ayam penelur di negara ini termasuklah Leong Hup Poultry Farm, Charoen Pokphand Holding, Pertanian Pertiwi dan Huat Lai Sdn. Bhd. Selain menyediakan perkhidmatan konsultasi pengurusan; syarikat berkenaan juga bertindak sebagai peneraju dalam pusingan rantaian penternakan ayam penelur dari aspek membekal anak-anak ayam, ubat-ubatan dan makanan ternakan kepada penternak.

Walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran; seperti perubahan iklim dan saingan guna tanah dengan sektor perumahan dan perkilangan; industri ayam penelur dijangka terus memberi sumbangan utama sumber bekalan protein berasaskan haiwan kepada rakyat di negara ini. Beberapa pendekatan baharu seperti pemodenan pertanian, “smart farming”, pengurusan sistem rantaian pengeluaran yang cekap dan berdaya saing akan menjadi faktor penentu kelestarian industri berkenaan pada masa hadapan.

 

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.