27 Februari 2023, 11:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Revolusi Perindustrian fasa ketiga dan keempat memberikan kesan yang ketara kepada industri khususnya dalam sektor perniagaan dan keusahawanan kerana melibatkan kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi yang sangat pesat. Dalam fasa keempat, teknologi digital pula menjadi keperluan bagi industri terterntu, termasuklah dalam bidang pendidikan yang meliputi dari peringkat pengajian pra-sekolah hinggalah ke peringkat pengajian tinggi.

Dalam bidang pendidikan, universiti maya mungkin boleh dianggap sebagai satu teknologi atau sistem pembelajaran yang mendahului zaman. Atas sebab itu, kaedah ini tergolong sebagai satu daripada konsep revolusioner kerana menawarkan kaedah pendidikan yang berbeza daripada pendidikan konvensional. Kaedah ini boleh dilihat dari sudut pendekatan dan kelenturan mengikuti sesi pelajaran. Sungguhpun begitu, kaedah ini semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat kerana ciri-ciri yang ditawarkannya dikatakan sangat mesra pengguna dan pelajar.

Maya menurut Pusat Rujukan Persuratan Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka membawa maksud sesuatu yang kelihatannya ada tetapi sebenarnya tidak ada. Dalam konteks pendidikan, maya merujuk kepada pemisahan antara pelajar dengan guru dari segi kedudukan geografi dan masa. Dari sudut lain, pendidikan maya boleh dikatakan tergolong dalam kategori pendidikan jarak jauh.

Dari segi sejarah, institusi pendidikan yang menawarkan pengajian maya buat kali pertama di dunia ialah Open University, United Kingdom (OUUK) yang ditubuhkan pada tahun 1969. Yang menariknya, universiti tersebut bukanlah beroperasi sebagai universiti swasta, sebaliknya menerima peruntukan dan geran dari pihak kerajaan. Disebabkan statusnya sebagai “maya”, maka institusi tersebut turut mempunyai bilangan pelajar yang ramai dan dianggap sebagai universiti terbesar di negara tersebut.

Idea penubuhannya bermula pada tahun 1964, apabila pemimpin Parti Buruh pada masa itu, Harold Wilson (1916 – 1995) menjadikan idea tersebut sebagai ikrar manifesto pilihan raya umum. Apabila Wilson dipilih sebagai Perdana Menteri, beliau menugaskan Menteri Kesenian, Jennie Lee (1904 – 1988), merangka model universiti yang menawarkan pengajian yang setaraf dengan universiti sedia ada pada ketika itu. Pada tahun 1965, sebuah jawatankuasa kerja dan perancangan yang terdiri daripada Naib Canselor universiti, pendidik dan penyiar televisyen telah ditubuhkan dan dipengerusikan oleh Sir Peter Venables (1904 – 1979) yang merupakan mantan Naib Canselor Aston University, Birmingham. Penyiar televisyen terlibat dalam jawatankuasa tersebut kerana program pengajaran pada masa itu dirancang untuk disiarkan menerusi televisyen. Antara tokoh penyiaran yang terlibat pada masa itu ialah Penolong Pengarah Kejuruteraan Perbadanan Penyiaran British (BBC) James Redmond, yang telah bertungkus-lumus mengatasi kesukaran teknikal bagi memastikan program pengajaran melalui saluran televisyen dapat berjalan dengan lancar.

Pada tahun 1966, Lee berhasil mengeluarkan kertas putih penubuhan universiti yang memperincikan hal-ehwal perancangan pendidikan khususnya dari sudut kaedah pengajaran dan pembelajaran. Matlamat utama penubuhan universiti yang dikemukakan pada waktu itu adalah untuk memberikan peluang kepada sesiapa sahaja untuk melanjutkan pelajaran tanpa sebarang sekatan atau yang tidak berjaya melanjutkan pelajaran sebelum ini.

Wilson sebenarnya terpengaruh dengan idea-idea tokoh pemikir dalam Parti Buruh, Michael Dunlop Young (1915 – 2002). Young yang terlebih dahulu menubuhkan sebuah kolej bersama-sama dengan ahli sejarah bernama Thomas Peter Ruffell Laslett (1915 – 2001) yang bernaung di bawah Pusat Penasihat Pendidikan. Pengajaran disampaikan dalam siri televisyen berjudul Dawn University yang disiarkan melalui stesen TV Anglia Television. Siri tersebut telah diterbitkan oleh Laslett sendiri. Kolej inilah yang menjadi prototaip kepada OUUK yang ditubuhkan oleh Wilson.

Wilson membayangkan OUUK akan menjadi penanda aras dalam komitmen Parti Buruh untuk memodenkan masyarakat British. Beliau percaya bahawa usaha itu akan membantu kerajaan membina ekonomi yang lebih berdaya saing, di samping menggalakkan kesaksamaan peluang dan mobiliti sosial yang lebih besar. Penglibatan stesen penyiaran merangkumi televisyen dan radio yang berperanan untuk menyiarkan pengajaran juga dilihat Wilson sebagai sekutu utama skim pemodenannya.

Walau bagaimanapun, Menteri Kesenian, Jennie Lee berhadapan dengan cabaran besar kerana timbul keraguan dan tentangan dari beberapa buah jabatan kerajaan dan tokoh tempatan, antaranya ialah Jabatan Pendidikan dan Sains (DES), Jabatan Perbendaharaan, stesen penyiaran komersil dan rakan-rakan menteri dan pegawai kanan kerajaan, seperti Richard Crossman (1907 – 1974) dan Anthony Crosland (1918 – 1977). Setelah mendapat sokongan dari beberapa pihak antaranya Arnold Goodman (1913 – 1995), seorang penasihat politik yang juga merupakan ahli jawatankuasa penubuhan OUUK, Lee dengan tabahnya terus mempengerusikan jawatankuasa kerja penubuhan. Dalam bulan Mei 1968, Profesor Walter Laing McDonald Perry (1921 – 2003), pensyarah dan ahli Farmalokologi yang berkhidmat di Edinburgh University telah dilantik menjadi Naib Canselor. Sebagai Naib Canselor yang pertama kepada sebuah universiti maya yang pertama di dunia, Perry bertanggungjawab membangunkan rangkaian media pendidikan, iaitu daripada program TV dan radio kepada bahan kursus bercetak dan kit percubaan di rumah; dan membina rangkaian kursus yang berterusan sebagaimana yang terdapat dalam struktur akademik sebenar universiti. Sumbangan terbesar Perry ketika memegang jawatan tersebut ialah berjaya mewujudkan sistem pemindahan kredit akademik apabila menerusi sistem itu, pelajar yang berkelayakan boleh menamatkan pengajian dalam tempoh yang lebih singkat. Akhirnya pada 23 April 1969, OUUK berjaya ditubuhkan setelah menerima Piagam Diraja dari Lembaga Penasihat Diraja Kerajaan, iaitu Majlis Privy. Ketika majlis pemasyhuran universiti dibuat secara rasmi pada 23 Julai 1969, Geoffrey Crowther (1907 – 1972) yang merupakan seorang ahli ekonomi telah dilantik menjadi Canselor OUUK.

Setelah ditubuhkan secara rasmi, sebuah bangunan yang dikenali sebagai Walton Hall yang terletak di Milton Keynes, London telah dikenal pasti dan ditetapkan menjadi pusat operasi OUUK. Manakala sebuah istana lama yang dikenali sebagai Alexandra Palace telah dikenal pasti untuk dijadikan pusat penyiaran televisyen untuk rancangan pengajaran OUUK. Tarikh akhir yang ditetapkan untuk memulakan kuliah yang pertama adalah pada bulan Januari 1971. Hal ini bermakna, pihak pengurusan universiti hanya mempunyai masa selama 18 bulan untuk menubuhkan pusat pentadbiran dan bahan-bahan yang akan digunakan sebagai modul pengajaran dan pembelajaran.

Oleh sebab para pensyarah dan tutor belum mempunyai pengalaman mengajar secara maya, maka mereka perlu berinovasi ketika menyediakan kesemua bahan yang diperlukan untuk tujuan kuliah. Sebagai contoh, Profesor Michael ‘Mike’ Pentz (1924 – 1995), ahli akademik yang dilantik menjadi Dekan Fakulti Sains yang pertama di OUUK perlu memikirkan kaedah yang paling sesuai dan efektif kepada pelajar-pelajar fakulti tersebut agar dapat mengikuti pengajian dengan mudah memandangkan mereka tidak perlu hadir ke universiti atau memasuki makmal. Antara kaedah yang diperkenalkannya ialah dengan membangunkan sistem tugasan yang berasaskan tandaan komputer (CMA) dan menyediakan pakej peralatan sains kepada pelajar baharu dalam bentuk kit eksperimen di rumah (HEK).

Sebagaimana yang telah dirancang, pada 3 Januari 1971 kuliah pertama OUUK disiarkan menerusi saluran televisyen BBC2 apabila sesi pengenalan disampaikan oleh Setiausaha OUUK, Anastasios ‘Chris’ Christodoulou (1932 – 2002). Sebanyak empat kursus telah ditawarkan pada tahun pertama dan kesemua pengajaran telah disampaikan menerusi saluran televisyen, iaitu Asas Matematik, Asas Kemasyarakatan, Asas Kemanusiaan dan Asas Sains. Sambutan terhadap sesi kuliah yang dijalankan sangat menakjubkan dan hasilnya pada tahun 1972, bilangan pelajar yang mengikuti pengajian telah mencecah sebanyak 36 000 orang termasuklah 50 orang pelajar yang mengikuti pengajian pascasiswazah. Pada penghujung tahun 1972, sebanyak 900 orang pelajar telah berjaya menamatkan pengajian dan menjadi kumpulan pertama pelajar yang beroleh ijazah sarjana muda. Mereka berjaya menamatkan pengajian dalam tempoh dua tahun sahaja kerana mendapat pengecualian kredit dalam beberapa subjek. Majlis konvokesyen yang pertama telah disiarkan secara langsung menerusi saluran BBC2 pada 23 Jun 1973.

Sekitar dekad 1980-an, pelajar dibekalkan dengan pita video yang mengandungi modul pembelajaran. Bahkan pelajar turut digalakkan merakam siaran televisyen agar mudah untuk membuat ulang kaji. Pelajar juga telah mendapat pendedahan penggunaan komputer dan komunikasi atas talian apabila kursus DT200 Introduction to information technology diperkenalkan. Komputer dilihat sebagai perkakasan yang sangat penting dalam bidang pendidikan setelah Max Bramer menulis satu laporan teknikal yang dikeluarkan oleh CAL Research Group bertajuk Using Computers in Distance Education: the first 10 years of the British OU. Beberapa buah negara mula menunjukkan minat untuk membuka universiti yang berkonsepkan seperti OUUK. Antaranya ialah seperti Belanda, Belgium, Luxemborg, Hong Kong, Iran, Pakistan, Venezuela, Costa Rica, Sri Lanka, India dan Thailand.

Pada tahun 1990-an, modul pengajaran dan pembelajaran disediakan dalam bentuk audio-visual. Bahan-bahan tersebut telah disalin ke format CD dan DVD sebelum dihantar kepada pelajar. Menerusi saluran TV BBC, OUUK meneruskan misi sosial dengan menawarkan kandungan pembelajaran yang boleh ditonton oleh khalayak pada waktu puncak. Walau bagaimanapun, pembelajaran secara dalam talian yang merujuk pada capaian Internet bermula dengan agak lewat, iaitu pada tahun 2000.

Sebaliknya University of Toronto, Kanada, sebuah institusi pengajian tinggi yang menawarkan pengajian secara fizikal lebih awal menawarkan kursus pengajian secara dalam talian, iaitu pada tahun 1986. Tenaga pengajarnya ialah Dr. Linda Harasim dan Dr. Dorothy Smith. Kursus yang diajar menerusi Internet itu ialah Women and Computers in Education yang ditawarkan menerusi program pascasiwazah dalam bidang pendidikan yang dikendalikan oleh Ontario Institute for Studies in Education.

Kanada pada ketika itu begitu aktif membangunkan aplikasi pendidikan atas talian. Sebagai contoh, penyelidik di University of Guelph membangunkan COSy (Computer Conferencing System) manakala di University of Alberta, tenaga pengajarnya berusaha menghubungkan sistem PLATO (Programmed Logic for Automatic Teaching Operations) yang asalnya dibangunkan oleh University of Illinois pada tahun 1960 kepada sistem persidangan MTS (Michigan Terminal System) yang dipanggil Forum. Kira-kira hampir 10 tahun berikutnya pula, iaitu pada tahun 1995, University of British Columbia, Kanada menawarkan kursus atas talian berasaskan web buat kali pertama setelah tenaga pengajarnya, Murray Goldberg berjaya membangunkan sistem pengurusan pembelajaran berasaskan web yang diberi nama WebCT, yang kemudiannya dibeli oleh Blackboard Inc. Pada tahun 2008, George Siemens, Dave Cormier and Stephen Downes dari University of Manitoba merintis pembangunan MOOC (Massively Open Online Courses) yang kini menjadi satu daripada mercu tanda teknologi digital dalam Revolusi Industri fasa keempat khususnya dalam teknologi pendidikan mutakhir.

Pengajian secara maya dalam konteks pendidikan kontemporari mutakhir ini mempunyai kelebihan dan kekurangan yang boleh dirujuk di bawah:

Kelebihan Kekurangan
1. Menjimatkan masa dan wang kerana pelajar dan guru tidak perlu hadir ke sekolah, sebaliknya boleh berhubung secara dalam talian. Cabaran prasarana kerana teknologi begitu cepat berubah. Peruntukan perlu sentiasa diwujudkan bagi menampung keperluan menaiktarafkan perkakasan, perisian dan platform.
2. Mempunyai kelenturan yang tinggi dan memberi keselesaan kepada pelajar dan guru untuk mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran. Pelajar boleh menyelesaikan kursus mengikut masa yang diingini, mengambil peperiksaan pada masa yang bersesuaian, menyerap kandungan pembelajaran dengan efektif dan dapat menyelesaikan tugasan dengan lebih fokus dan terancang. Aktiviti psikomotor atau kecerdasan yang berasaskan fizikal tidak lagi menjadi tumpuan. Kesannya, pelajar tidak dapat merasai pengalaman secara praktikal, misalnya dengan mengikuti aktiviti ko-kurikulum seperti berpersatuan, bersukan dan terlibat dengan kegiatan seni, muzik atau badan beruniform.
3. Dapat meningkatkan kemahiran menggunakan aplikasi komputer. Latihan penggunaan perlu diberikan setiap kali sistem atau proses dinaiktarafkan.
4. Keputusan ujian atau peperiksaan dapat dikeluarkan dengan lebih cepat. Interaksi antara guru dengan pelajar boleh berkurangan kerana sebahagian besar aplikasi boleh dikendalikan sendiri oleh pelajar. Justeru, bimbingan atau nasihat dari seorang guru tentang hal-ehwal yang melibatkan adab dan akhlak sukar untuk disampaikan kepada pelajar kerana  memerlukan pertemuan fizikal antara guru dengan pelajar agar pelajar dapat meneladani kebaikan dan tingkah laku yang ditampilkan oleh guru.
5. Boleh berdiskusi dan mendapat maklum balas tanpa had. Pergaulan secara maya boleh mengembangkan minda kerana rakan-rakan belajar terdiri dari pelbagai latar belakang seperti daerah atau negara yang berbeza, iklim, budaya dan perspektif yang berlainan. Disebabkan kuliah berlaku secara atas talian maka tidak mustahil pelajar akan berhadapan dengan kemahiran sosial dan emosi kerana pelajar tidak dapat merasai pengalaman bergaul dengan rakan-rakan sebaya yang bukan sahaja boleh mematangkan fikiran, malah juga boleh mencontohi sikap dan amalan terpuji yang dimiliki oleh rakan-rakan mereka.

 

 

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.