Oleh Normasiska Noor
27 Februari 2023, 11:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Forum Ekonomi Dunia pada Disember 2022 menyenaraikan Hong Kong sebagai bandar raya terbaik di dunia untuk transit awam. Menurut kajian yang dibuat oleh firma perunding Oliver Wyman dan Universiti California, Berkeley, rangkaian  pengangkutan di Hong Kong itu dipuji kerana bukan sahaja kadar (harganya) yang berpatutan, tetapi juga kerana mempunyai jaringan stesen yang menyeluruh dan infrastruktur kereta api yang baik. Meskipun demikian, menurut firma tersebut, masih ada ruang untuk penambahbaikan bagi menjadikan rangkaian pengangkutan di Hong Kong terus berada pada kedudukan yang terbaik. Antara cadangan yang dimaksudkan oleh penyelidik dan pakar yang terlibat termasuklah menggunakan aplikasi telefon pintar untuk membantu pelancong menavigasi bandar dengan lebih baik.

Selain Hong Kong, turut tersenarai dalam kelompok  negara yang terbaik dan mendapat penilaian tertinggi di dunia termasuklah Zurich yang berada pada kedudukan kedua, diikuti oleh Stockholm, Helsinki, Oslo, Paris, Berlin dan London.

Perlu diakui bahawa kekuatan sistem pengangkutan awam di bandar memberikan impak yang besar terhadap gaya hidup penduduk di kawasan yang terlibat. Seperti yang dijelaskan dalam laporan itu: “Sistem yang dikendalikan dengan cekap bukan sahaja dapat menggalakkan pekerja dan pelancong untuk mengembara melalui bandar, tetapi turut memberikan akses yang terbaik kepada mod mobiliti tambahan, pekerjaan, pusat beli-belah dan banyak lagi.”

Kajian itu turut menganalisis sistem pengangkutan awam di 60 buah bandar utama di seluruh dunia lalu menyusunnya berdasarkan infrastruktur, kesan sosial, daya tarikan pasaran, kecekapan sistem dan inovasi rangkaian. Subindeks Transit Awam menyumbang kepada Indeks Kesediaan Mobiliti Bandar keseluruhan kajian pada tahun 2022. Menurut kajian yang lebih luas, sejumlah sembilan buah bandar di A.S. turut  tersenarai dalam Kesediaan Mobiliti Bandar. Jumlah ini termasuklah San Francisco (kedudukan pertama), New York (ke-11), Chicago (ke-12), Boston (ke-13) Washington D.C. (ke-14), Los Angeles (ke-17), Atlanta (ke-23), Houston (ke-27), dan Dallas (ke-28).

Ternyata banyak yang perlu dipelajari oleh Malaysia dalam membangunkan sistem pengangkutan awam yang benar-benar efisien di negara ini agar setidak-tidaknya kita tidaklah terlalu jauh tertinggal dalam memajukan  sistem terpenting dalam membangunkan negara, iaitu pengangkutan awam kerana majunya sesebuah negara pastinya akan diukur dari segi kemajuan pengangkutan awamnya.

Kita tidak menafikan bahawa kerajaan telah berusaha untuk membangunkan pelbagai infrastruktur pengangkutan awam di negara ini termasuklah pengangkutan bagi sektor darat, udara dan laut. Perlu diakui juga bahawa usaha itu telah menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan daya saing negara sehingga pada tahun 2018, negara pernah berada pada kedudukan ke-25 daripada 140 buah negara dalam Laporan Daya Saing Global Forum Ekonomi Dunia. Pada tahun berkenaan juga, sebanyak dua buah pelabuhan Malaysia tersenarai dalam 20 pelabuhan terbaik di dunia dari segi isi padu kontena yang dikendalikan – Pelabuhan Klang pada kedudukan ke-12 dan Pelabuhan Tanjung Pelepas di Johor pada kedudukan ke-18. Pada tahun 2018, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur disenaraikan pada kedudukan ke-12 terbaik di seluruh dunia dari segi jumlah penumpang antarabangsa, iaitu  sebanyak 43.6 juta orang.

Selain itu, penggunaan kereta api bagi mengangkut barangan bagi tujuh bulan pertama tahun 2019 turut meningkat sebanyak 200 ribu tan berbanding dengan tempoh yang sama pada tahun 2018. Semakin banyak juga rakyat dan pelancong yang memilih perkhidmatan ETS, LRT, MRT dan sebagainya untuk perjalanan penumpang, meskipun perkhidmatan sebegini hanya melibatkan beberapa buah negeri yang menghubungkan antara satu negeri ke negeri yang lain.

Menyedari akan hal itu, kerajaan dari semasa ke semasa telah mengenal pasti beberapa trend global dan menyesuaikan serta merangkanya melalui Dasar Pengangkutan Negara (DPN) 2019-2030 yang dilancarkan pada Oktober 2019. Antara perkara utama yang diberi perhatian dalam DPN termasuklah perkembangan teknologi terkini dan perubahan trend mobiliti rakyat dengan berkembangnya e-dagang. Perkembangan teknologi termasuk e-dagang perlu dimanfaatkan dengan sepenuhnya oleh semua pihak termasuk pemain industri pengangkutan dan usahawan dalam bidang pengangkutan dalam mendapatkan faedah ekonomi yang lebih menyeluruh.

Kerajaan juga turut memberikan perhatian terhadap persediaan negara ke arah “negara tua” atau ageing population serta kepentingan golongan berkeperluan khas dalam perkara yang berkaitan dengan transformasi sistem pengangkutan awam.  Maka itu, kemudahan di semua hentian, stesen dan terminal pengangkutan tidak kira pengangkutan darat, udara atau laut – kesemuanya harus peka dengan trend semasa ini, khususnya pertambahan jumlah penumpang dalam kalangan warga emas. Sehubungan itu, kemudahan di hentian, stesen dan terminal pengangkutan haruslah bersesuaian dengan kemampuan fizikal mereka. Begitu juga dengan kesedaran dalam keperluan menyediakan kemudahan kepada golongan berkeperluan khas seperti orang kurang upaya, penyediaan ruang dan laluan khas di terminal dan di dalam kenderaan pengangkutan awam.

Selain itu, dalam kita berusaha untuk menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam yang terbaik dan berkualiti, jumlah pertambahan penduduk dan penghijrahan penduduk luar bandar ke bandar juga perlu diberikan perhatian oleh kerajaan. Harus diakui bahawa pertambahan penduduk di kawasan bandar memberikan kesan secara langsung kepada peningkatan keperluan kemudahan awam termasuklah pengangkutan awam.

Diyakini bahawa menerusi DPN, kerajaan akan terus berusaha menambah jumlah perkhidmatan pengangkutan awam termasuklah melalui projek-projek pembinaan perkhidmatan rel dalam bandar bagi memenuhi keperluan penduduk bandar. Apabila berlaku peningkatan kepada keperluan pengangkutan, secara langsung akan memberikan  impak kepada alam sekitar. Kerajaan mengambil sikap untuk memberikan kesedaran kepada rakyat mengenai amalan hijau seperti yang diamalkan di peringkat global. Antara tindakan yang dirancang dalam dasar ini termasuklah mewujudkan garis panduan pembinaan infrastruktur pengangkutan termasuk laluan rel untuk mengawal kesan pembinaan ke atas alam sekitar, serta amalan Transit-Oriented Development atau TOD yang menggalakkan pembangunan di kawasan yang mempunyai kemudahan pengangkutan seperti terminal pengangkutan awam supaya penduduk sekitar mudah untuk sampai ke terminal berkenaan.

Selain itu, kerajaan juga perlu meningkatkan kebolehcapaian masyarakat ke atas maklumat perkhidmatan pengangkutan awam termasuklah melalui media sosial bagi memudahkan penumpang mendapat jadual terkini perkhidmatan pengangkutan dan seterusnya mengurangkan penggunaan pengangkutan persendirian. Turut diberi perhatian berat oleh kerajaan ialah peningkatan perdagangan melalui laluan laut, dan jangkaan peningkatan berganda penumpang penerbangan dalam kurang daripada dua dekad dari sekarang. Bagi perkara ini, pemain industri khususnya dalam sektor udara dan laut harus memanfaatkan peningkatan permintaan dengan meningkatkan volum perkhidmatan masing-masing bagi memenuhi keperluan semasa yang juga akan memberikan faedah terhadap ekonomi negara.

Kerajaan menerusi DPN akan terus memastikan Malaysia kekal menjadi negara mesra perniagaan, memenuhi keperluan industri, dan mampu bersaing pada peringkat antarabangsa dalam industri pengangkutan. Sebagai contoh, Malaysia sememangnya memilih untuk tidak mengehadkan jumlah kenderaan persendirian. Oleh itu, jalan di dalam dan di luar bandar terpaksa dibina sepanjang masa. Untuk mengurangkan kesesakan akibat pertambahan ini, kerajaan akan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam. Hal ini termasuklah membekalkan rel elektrik berkembar. Kajian juga akan dibuat supaya sistem rel yang dimiliki dapat digunakan  sepenuhnya. Maka itu, kerajaan  mengundang pihak swasta untuk melabur serta menyewa landasan yang sedia ada.

Perkara lain yang turut diberikan perhatian oleh kerajaan ialah kerja-kerja penyelenggaraan kemudahan pengangkutan awam yang wajar dibudayakan bagi memastikan kemudahan awam di dalam negara sentiasa berada pada tahap yang terbaik. Menurut Menteri Pengangkutan, YB Anthony Loke, perkara tersebut  perlu diterapkan sepanjang masa dan menjadi sebahagian daripada norma kerja pihak berwajib dan bukan hanya mengambil tindakan apabila sesuatu isu berhubung penyelenggaraan dibangkitkan.

“Saya berharap kita dapat memastikan (sistem) penyelenggaraan yang lebih baik pada setiap masa. Hal ini sudah tentu boleh dilaksanakan jika kita mempunyai program (berterusan) yang memastikan ada audit (dilakukan) pada setiap masa. Saya telah minta Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) untuk menghadiri mesyuarat pasca-Kabinet di Kementerian Pengangkutan selepas ini,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Persidangan Usahawan Malaysia-China ke-12 (MCEC 2022).

Beliau turut menambah, mesyuarat itu juga akan memberikan fokus kepada laporan berkala berhubung dengan operasi kemudahan awam, pelanggan dan penyelenggaraan yang disediakan agensi terbabit pada setiap minggu.

Ternyata DPN 2019-2030 memberikan penekanan kepada inklusiviti dalam penyertaan rakyat mahupun pemain industri dalam aktiviti ekonomi sektor pengangkutan khususnya pengangkutan awam negara. Melalui perancangan strategik, kerjasama, dan komitmen oleh semua pihak termasuk pihak industri dan rakyat, kerajaan menerusi Kementerian Pengangkutan diyakini mampu menyediakan sistem pengangkutan yang mampan yang dapat memacu pertumbuhan ekonomi dan seterusnya menjamin kesejahteraan Malaysia yang Madani.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.