12 Mac 2023, 10:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kedai pengedar buku dan majalah, iaitu Toko Buku Rakyat telah mengadakan kuliah santai yang bertajuk Masyarakat Chantek: Enigma Penyisihan Masyarakat secara bersemuka dan secara dalam talian. Kuliah tersebut diadakan di Tingkat 2, Bangunan Wisma Central, Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada 11 Mac 2023, baru-baru ini.

Kuliah ini dimulakan dengan sesi pengenalan ringkas oleh Encik Benz Ali, pemilik Toko Buku Rakyat berkaitan latar belakang penulis, iaitu Encik Rosli Ibrahim yang merupakan seorang aktivis Orang Kurang Upaya (OKU).

Antara karya penulisan beliau seputar isu OKU yang telah diterbitkan, termasuklah O.K.U Bangkit (2014) dan Gelap Mata (2015). Buku Masyarakat Chantek pula merupakan karya penulisan beliau yang ketiga.

Encik Rosli Ibrahim, penulis dan aktivis OKU.

Menurut Encik Benz Ali, penulis buku ini merupakan seorang yang aktif menulis dalam media sosial dan merupakan antara penggerak kesedaran isu OKU dalam masyarakat di Malaysia.

Sesi kuliah dan bicara santai mengenai kandungan buku Masyarakat Chantek adalah merentasi pelbagai bidang dan disiplin ilmu.

Dari segi latarnya, buku ini sebenarnya adalah kesinambungan daripada idea buku Gelap Mata itu sendiri. Asal usul perkataan ‘Masyarakat Chantek’ itu sendiri sebenarnya dipetik daripada sebuah filem Melayu klasik, iaitu filem Sumpah Orang Minyak.

Menurut penulis, terdapat tiga perkara utama yang disentuh, iaitu pengetahuan masyarakat mengenai OKU, bahasa untuk mendefinisikan golongan OKU dan ketiadaan interaksi sosial masyarakat dengan golongan OKU.

“Kita mendahului persepsi berbanding dengan mengadakan usaha untuk bertanya dan memahami mereka,” ujar Encik Rosli Ibrahim.

Bicara santai mengenai kandungan buku Masyarakat Chantek diadakan di Bangunan Wisma Central.

Beliau juga turut mengetengahkan perihal teori pembangunan dan perkaitannya dengan golongan OKU. Bukan itu sahaja, beliau juga turut menitikberatkan mengenai perihal kebajikan.

“Kebajikan itu adalah hak. Setiap orang memerlukan kebajikan tidak kira OKU ataupun bukan OKU. Hal ini yang ingin dibincangkan dalam buku tersebut,” katanya lagi.

Sesi kuliah santai ini ditamatkan dengan perkongsian serba sedikit mengenai epilog buku Masyarakat Chantek yang banyak menyebut tentang cara atau kaedah mencari kearifan tempatan terhadap OKU.

Pada masa yang sama, penulis turut berharap agar pembaca berfikir dan meneroka bersama isu mengenai golongan OKU.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.