22 Mac 2023, 11:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Senator Datuk Seri Dr. Awang telah mengambil bahagian dalam Sesi Perbahasan Usul Menjunjung Kasih kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) menerusi titah ucapan baginda semasa pembukaan penggal ke-15 Parlimen Malaysia.

Yang berikut merupakan ucapan Senator Datuk Seri Dr. Awang Sariyan:

  1. Pentingnya kestabilan politik, sosial, ekonomi, pendidikan dan semua sektor lain diupayakan untuk menjadikan negara utuh. Gagasan Malaysia Madani tidak sepatutnya berhenti pada tahap konsep dan falsafah tetapi mesti digerakkan dengan segera agar merentas semua kelompok, peringkat dan sektor. Mesti ada program orientasi di peringkat semua institusi, terutamanya badan kerajaan agar dapat dirangka pelan tindakan dan susulan pelaksanaannya. Sumber konsep “madani” daripada asas Islam tidak patut menjadi sempadan dan batasan penerimaannya bagi mereka yang bukan Islam kerana dalam tradisi dan tamadun Cina dan India, misalnya, ada unsur-unsur madani yang dapat digemblengkan.

 

  1. “Perpaduan” yang menjadi asas jenama kerajaan kini, iaitu “Kerajaan Perpaduan” mestilah diupayakan dengan apa-apa cara sekalipun agar tidak sekadar menjadi jenama, khasnya perpaduan yang melibatkan dua pihak utama, iaitu pemerintah dan pembangkang. Saya ingin mengulang saranan saya dua tahun lalu agar konflik dua pihak itu diredakan, dengan salah satu pendekatan psikologinya mengubah istilah “parti pembangkang” menjadi “parti pengimbang”, sesuai dengan peranannya “memeriksa dan mengimbangi” (check and balance). Takdirnya Sultan Johor menitahkan hal yang sama beberapa hari lalu di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri Johor.

 

  1. Asas kestabilan negara yang utama ialah penghayatan pancang-pancang kenegaraan yang tertera dalam Perlembagaan Persekutuan, khasnya empat peruntukan induk (Islam agama Persekutuan, kedudukan Raja-Raja, bahasa Melayu bahasa kebangsaan dan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta hak sah kaum-kaum lain). Usah dirobek dan usah digoyahkan pancang-pancang yang terhasil daripada kontrak sosial semasa kemerdekaan kerana kestabilan negara terjejas apabila peruntukan induk itu dipertikaikan.

 

  1. Kekuatan dan kejayaan negara maju di dunia banyak bergantung pada pelaksanaan dasar kebangsaan, seperti dasar bahasa kebangsaan dan dasar pendidikan kebangsaan. Pengalaman Republik Rakyat China (RRC), Jepun, Korea, Jerman dan beberapa banyak negara lain membuktikan fakta itu. Sejarah negara Jerman yang berubah menjadi maju apabila pimpinan negara mengikuti nasihat ahli falsafahnya, Leibniz supaya bahasa negara dijadikan wahana pendidikan, perdagangan, pentadbiran dan lain-lain patut menjadi pelajaran. RRC yang berpenduduk sebanyak 56 etnik dengan 34 provinsi mencapai kejayaan sebagai kesan pelaksanaan dasar bahasa dan pendidikan kebangsaan, dengan Mandarin menjadi wahananya. Malaysia mengamalkan hal yang sama tetapi keadaan pasang surut dalam pelaksanaan dasar-dasar negara menyebabkan timbul ketidakmapanan apatah lagi kemampanan.

 

  1. Tentang pendidikan, antara ulasan utama saya termasuklah dikotomi yang merugikan berasaskan aliran seperti dikotomi aliran sains dan aliran sastera. Meskipun murid wajar diberi pilihan menurut minat dan kebolehan, bidang seni liberal tidak wajar disisihkan kerana fitrah insan yang memerlukan kesepaduan ilmu dan bidang. Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menekankan kesepaduan ilmu perlu dilaksanakan. Di peringkat pendidikan tinggi, perlu dinilai semula kebergantungan kepada penarafan (ranking) yang memudaratkan kesuburan ilmu dan ahli ilmu, apatah lagi acuan dan asas penarafan itu ditetapkan oleh kuasa perniagaan asing (Barat), yang menjurus kepada satu bentuk “penjajahan bentuk baharu”. Seandainya penarafan perlu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) perlu mewujudkan badan penilai serantau yang sesuai dengan kenyataan atau realiti dan keperluan di rantau alam Melayu. Perhatian yang lebih berat kepada bidang sains dan teknologi juga menjadikan bidang sains sosial dan sains kemanusiaan agak tersisih dalam beberapa hal seperti peruntukan dan laluan naik pangkat.

 

  1. Tentang kebudayaan dan warisan, Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK) 1971 tidak dilaksanakan dengan berkesan dan Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) 2021 mungkin mengalami nasib yang sama jika hala tuju dan pengisiannya tidak dilaksanakan dengan serius. Malah kebudayaan sebagai cara hidup yang menyeluruh tersembunyi di bawah sektor pelancongan yang lebih wajar dipadukan dengan perdagangan dalam negara dan perdagangan antarabangsa. Kebudayaan dan warisan wajar menjadi entiti utama. Kurangnya perhatian kepada warisan menyebabkan potensi taman geologi dan warisan arkeologi menjadi warisan negara banyak yang terabai. Begitu juga penelitian dan penonjolan ilmu watan dalam manuskrip lama terselindung oleh kebanggaan palsu adanya puluhan ribu manuskrip Melayu lama yang tersebar di seluruh dunia tetapi amat sedikit yang dikerjakan. Begitu juga halnya dengan etnosains, termasuk perubatan tradisi yang berpotensi besar untuk diangkat sebagai warisan negara memerlukan komitmen kerajaan dalam hal pendanaan.

 

  1. Tentang ekonomi, tempoh lebih 65 tahun belum menyelesaikan masalah keadilan dan kesaksamaan. Fakta bahawa kemiskinan bersifat merentas dan bukan milik sesuatu bangsa patut menjadi asas dalam pembasmian kemiskinan tanpa mengira keturunan. Hal lain ialah pembanterasan kemiskinan yang patut bermula pada unit keluarga. Perlu direncanakan pewujudan konsep perniagaan atau perusahaan keluarga sebagaimana yang menjadi tradisi orang Cina. Bagi orang Melayu dan Bumiputera, MARA patut ada program pembentukan perniagaan atau perusahaan keluarga. Demikian juga bagi orang India perlu ada agensi yang merencanakannya. Khas bagi orang Islam pula, perlu rombakan modus operandi pengagihan zakat agar zakat dimanfaatkan dengan optimum untuk membasmi kemiskinan tegar. Laporan berdegar-degar pusat pungutan zakat tentang pungutan berskala besar patut diimbangi dengan pengagihan yang berkesan dalam mengatasi kemiskinan tegar.

 

  1. Tentang perpaduan, sesudah 65 tahun masih berbangkit isu perpaduan yang patut telah selesai atau jauh berkurangan. Terbitnya Buku Perpaduan Negara 2021 tidak menjamin kejayaan memupuk perpaduan jika program pengisiannya tidak berjaya dilaksanakan kerana kelemahan pelaksanaan. Perpaduan mesti dijadikan agenda yang merentas bidang, kelompok dan usia oleh Kementerian Perpaduan dan menjadi tanggungjawab semua kementerian yang lain juga.

 

  1. Media, terutama media rasmi kerajaan adakah telah memainkan peranan besar dalam pengisian dan pengukuhan dasar-dasar negara seperti dasar bahasa, pendidikan, kebudayaan dan yang lain atau bergerak secara bebas “laissez-faire“? Pemerhatian umum menunjukkan bahawa dasar penyiaran negara belum memperlihatkan keberkesanan dalam memperkukuh dasar-dasar utama negara.

 

  1. Kerajaan perlu berjiwa besar dan berlapang dada dengan meneruskan dasar dan program baik yang dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu selain memperkenalkan inisiatif-inisiatif baharu. Contohnya, dasar Diplomasi Kebudayaan dan penggunaan bahasa negara di peringkat antarabangsa wajar diteruskan meskipun dimulakan oleh pemimpin terdahulu.

Emas Perak hiasan wanita,

    Ditata rapi di hujung tanjung;

Negara kita tanggungjawab kita,

    Di sini bumi dipijak di sini langit dijunjung.

Saya mohon menyokong usul menjunjung kasih kepada titah diraja Yang di-Pertuan  Agong. Demikianlah usul daripada Senator Datuk Seri Dr. Awang Sariyan semasa sesi pembukaan penggal ke-15 Parlimen Malaysia khususnya di Dewan Negara.

Sumber Video: Parlimen Malaysia

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.