29 Mac 2023, 17:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pusat Identifikasi Forensik Setempat (PIFOS) yang ditubuhkan di Ibu Pejabat Polis Daerah di seluruh Malaysia merupakan satu inisiatif Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) untuk meningkatkan kualiti siasatan dan profesionalisme Polis Diraja Malaysia (PDRM). PIFOS ditubuhkan selaras dengan penguatkuasaan Akta Identifikasi DNA 2009 dan Peraturan-Peraturan Identifikasi DNA 2012 pada 1 September 2012.

Pendokumentasian PIFOS terhadap setiap tangkapan Orang Yang Disyaki (OYDS) merangkumi tiga prosedur, iaitu rakaman cap jari, gambar dan sampel asid deoksiribonukleik (DNA). Kuasa untuk merakamkan cap jari dan gambar OYDS diperuntukkan di bawah Seksyen 5 Akta Pendaftaran Penjenayah dan Orang yang Tidak Diingini No. 7 Tahun 1969 (Akta 7/1969), manakala kuasa untuk mengambil sampel DNA pula diperuntukkan di bawah Seksyen 3(3) Akta Identifikasi DNA 2009. Pengambilan DNA yang dilakukan oleh PDRM biasanya melibatkan sampel tidak intim, iaitu air liur yang diambil mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan dalam Arahan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bil. 3/2012.

Selepas pendokumentasian, segala butiran termasuk cap jari OYDS akan disalurkan ke Cawangan D2, iaitu Pusat Pendaftaran Penjenayah Malaysia dan Singapura di Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman. Butiran OYDS yang diterima ini akan disemak dan didaftarkan di Pusat Pendaftaran Penjenayah.

Kewajipan Cawangan D2 menyimpan rekod cap jari penjenayah termaktub dalam Seksyen 7 Akta 7/1969. Menurut seksyen tersebut, butiran OYDS yang boleh didaftar perlulah disimpan. Menurut Seksyen 10 dalam akta yang sama, Pegawai Pendaftar D2 berkuasa untuk membuat perbandingan, pengesahan atau penafian pemadanan antara cap jari yang diperolehi di tempat kejadian dengan cap jari yang telah didaftarkan. Oleh itu, Cawangan D2 bertanggungjawab membekalkan sabitan lalu penjenayah bagi pertuduhan di mahkamah. Di samping itu, Cawangan D2 juga perlu menyediakan fail kes, mengenalpasti dan mengesahkan identiti cap jari atau cap tapak tangan di tempat kejadian.

Menurut hakim Jaganmohan Reddy pada penghujung perbicaraan kes H.P. Administration lawan Om Prakash AIR pada tahun 1972, di India:

Perakuan sabitan lalu Pendaftar D2 akan diterima sebagai bukti tanpa dipanggil untuk diperiksa di mahkamah kerana prosedur perbandingan dan identifikasi yang dijalankan oleh Pendaftar D2 ini telah berkembang sebagai satu bidang sains dan mencapai tahap kejituan yang tinggi.

Oleh itu, Pegawai D2 yang menjalankan perbandingan dan pengesahan rekod jenayah tidak perlu hadir ke mahkamah untuk memberikan keterangan secara spesifik melainkan keraguannya dibuktikan.

Bagi kes cap jari di tempat kejadian pula, jika bukti pengenalan identiti terhadap tertuduh hanya bergantung kepada keserupaan cap-cap jari, maka pembuktian tersebut memadai untuk menyabitkannya meskipun suspek tidak terlihat di tempat kejadian atau barang kes tidak dijumpai semula.

Hal ini dapat diperhatikan dalam kes Pendakwa Raya lawan Toh Kee Huat pada tahun 1965 yang melibatkan kes kecurian kereta di Campbell Road (kini dikenali sebagai Jalan Dang Wangi). Dalam kes ini, cap jari yang berjaya ditimbulkan daripada permukaan cermin tingkap tempat duduk pemandu didapati serupa dengan cap jari OYDS. Hasil siasatan lanjut mendapati OYDS menurunkan cermin kereta tersebut. Namun begitu, hakim membebaskan tertuduh dengan justifikasi bahawa kereta tersebut didapati ditinggalkan di tempat awam dan bukti cap jari sahaja tidak mencukupi. Tambahan pula, cap jari tersebut telah bercampur aduk dengan cap jari lain yang tidak dapat dikenalpasti. Menurut hakim, bukti yang diperolehi tidak memadai dari sudut legal untuk membuktikan kesalahan tertuduh tanpa keraguan yang munasabah.

Susulan keputusan tersebut, Pendakwa Raya membuat rayuan dengan mempersoalkan maksud kenyataan “tidak memadai dari sudut legal” yang dibuat dan menolak keputusannya kerana dikatakan seolah-olah memandang enteng kepentingan pembuktian melalui proses pemadanan cap jari oleh Pendaftar D2.

Ekoran rayuan tersebut, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan “bebas” oleh Mahkamah Majistret sebelum itu dan menjatuhkan hukuman penjara selama setahun kepada tertuduh dengan justifikasi bahawa kesan cap jari OYDS tidak mungkin berada pada permukaan dalam cermin sebelah pemandu melainkan OYDS berjaya memasuki kereta tersebut dengan merosakkan pintunya. Menurut hakim mahkamah lagi, kesan cap jari yang ditimbulkan hanya boleh wujud pada waktu malam, iaitu semasa kejadian atau sebelum dijumpai pada waktu pagi.

Terangnya, cap jari tersebut didapati lebih jelas berbanding dengan cap jari lain yang sudah lama dan tidak dikenalpasti. Tambah hakim, kedudukan serta kualiti kesan cap jari OYDS dengan sendirinya menjelaskan bahawa kejadian itu tidak disebabkan oleh orang lain. Hakim Mahkamah Rayuan mendapati bahawa pertuduhan terhadap OYDS merupakan sebuah kes prima facie. Pihak pendakwa berjaya mengemukakan bukti bahawa wujudnya kesalahan yang dilakukan oleh tertuduh.

Di samping itu, gambar dan butiran OYDS yang dirakam oleh PIFOS disimpan dalam sistem E-Mugshot, iaitu pangkalan data foto OYDS di bawah seliaan Cawangan D6 Bukit Aman. Sistem pangkalan data ini digunakan untuk membantu siasatan PDRM terutamanya dari aspek pengecaman oleh saksi atau mangsa.

Selain itu, sampel DNA OYDS pula dihantar ke Cawangan D13, iaitu Makmal DNA PDRM Bukit Aman. Sampel tidak intim tersebut akan dianalisa secara berperingkat untuk kegunaan masa hadapan, iaitu sebagai maklumat risikan dalam siasatan terutamanya bagi pengesahan pelibatan OYDS dalam jenayah melalui perbandingan sampel DNA yang dikesan di tempat kejadian dengan sampel DNA dalam pangkalan data.

“DNA boleh diibaratkan sebagai rencana terperinci atau blueprint genetik manusia kerana mengandungi informasi yang diperlukan untuk menurunkan ciri-ciri genetik kepada generasi akan datang,” jelas John M. Butler, seorang pakar profil DNA forensik. Menurut beliau, seorang anak akan menerima satu set kromosom dari setiap pasangan ibu bapa kandungnya. Sebagai natijahnya, anak tersebut akan mewarisi ciri yang terdapat pada ibu dan bapa seperti warna rambut dan mata.

Dengan profil DNA OYDS, penguatkuasa undang-undang dapat menghubungkaitkan dua atau lebih salah laku yang berbeza. Misalnya, sekiranya seorang OYDS ditangkap bagi kesalahan mencuri dan hasil ujian DNA OYDS sepadan dengan sampel DNA yang diperolehi dari tempat kejadian jenayah yang lain, maka boleh dikatakan kedua-dua jenayah itu dilakukan oleh OYDS yang sama.

Yang jelas, selain cap jari, profil DNA juga membantu PDRM untuk mengesan penjenayah sekiranya petunjuk lain gagal dikenalpasti dalam sesuatu siasatan. Proses identifikasi pelaku sesuatu jenayah menjadi lebih mudah dengan adanya usaha pengumpulan sampel DNA secara besar-besaran oleh pihak berwajib.

Joseph James De Angelo, seorang pembunuh, perogol bersiri dan pencuri sekitar tahun 1974 hingga 1986 di California, Amerika Syarikat telah ditahan oleh pihak polis pada tahun 2018. Pasukan penyiasat khas fail kes yang belum diselesaikan atau Cold Case Files berjaya mengesan dan menangkap De Angelo melalui pemadanan profil DNA. De Angelo yang berusia 73 tahun semasa tangkapan disyaki terlibat dalam sekurang-kurangnya 13 pembunuhan, 51 kes rogol  dan 120 kes pecah rumah.

Pasukan penyiasat berjaya menemui petunjuk setelah kesan air mani De Angelo yang diperolehi dari satu tempat kejadian rogol itu dimuatnaik dalam sistem GEDmatch, sebuah platform sumber terbuka DNA yang digunakan oleh orang awam untuk menyusur galur diri mereka.

Sementara itu, dalam kes rogol dan bunuh Canny Ong yang telah menggemparkan rakyat Malaysia dua dekad yang lalu, sampel DNA yang diperolehi dari ibu bapa mangsa digunakan untuk mengesahkan mayatnya yang rentung. Analisis DNA turut dijalankan daripada kesan darah yang didapati di kereta dan seluar jeans milik suspek, Ahmad Najib Aris. Hasil analisis mengesahkan bahawa darah tersebut milik mangsa. Ujian DNA yang telah dijalankan terhadap sampel vagina mangsa juga didapati berpadanan dengan profil DNA milik suspek.

Menurut peruntukan Seksyen 10(1)(c) Akta 7/1969, hasil perbandingan cap jari oleh Pegawai Pendaftar akan diterima sebagai bukti yang cukup untuk mendakwa seseorang penjenayah melainkan akasnya dibuktikan. Mahkamah menerima hasil ujian DNA yang dijalankan oleh makmal DNA PDRM sebagai keterangan sokongan kerana makmal tersebut memenuhi piawaian antarabangsa dan memiliki Sijil Akreditasi MS ISO/IEC 17025 yang dikeluarkan oleh Jabatan Standard Malaysia. Pembuktian dengan perbandingan cap jari dan profil DNA diterima sebagai keterangan pakar di mahkamah seperti yang termaktub dalam Seksyen 45 Akta Keterangan 1950.

Maka tidak keterlaluan jika dikatakan keabsahan pembuktian dengan kaedah perbandingan cap jari dan profil DNA di mahkamah jelas memperlihatkan peri pentingnya bank data cap jari dan DNA untuk menambah nilai terhadap hasil siasatan PDRM. Perkara ini penting dalam usaha mengheret penjenayah terutamanya penjenayah elusif ke muka pengadilan agar dapat dijatuhi hukuman yang setimpal dengan salah lakunya.

ACP Mohamad Farouk Eshak, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Selangor.

Kredit foto sorotan: Unsplash/George Prentzas

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.