6 April 2023, 13:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0) telah membawa peningkatan permintaan terhadap pembangunan bakat dan kualiti pendidikan yang sejajar dengan agenda pembelajaran sepanjang hayat (PSH) nasional. Aktiviti berkenaan telah dilaksanakan secara besar-besaran dengan aspirasi untuk melahirkan modal insan yang berkualiti dan berminda kelas pertama. Menurut Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), YBrs. Profesor Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim, UMT turut aktif menyumbangkan transformasi pada pendidikan negara, antaranya termasuklah terhadap pembelajaran sepanjang hayat di Malaysia dengan memaksimumkan fungsinya sebagai institusi pendidikan tinggi yang mengutamakan perkembangan holistik pelajarnya melalui kursus Micro-credential.

Micro-credential ialah pensijilan mikro atau kursus pembelajaran yang lebih kecil bertujuan untuk mengiktiraf pemerolehan pengetahuan, kemahiran dan kecekapan peserta dalam sesuatu bidang ilmu yang menyokong terhadap pembangunan profesional, akademik, industri, komuniti mahupun individu. Micro-credential memfokuskan modul pembelajaran dengan skop pembelajaran yang jauh lebih kecil daripada program akademik biasa yang konvensional. Pentauliahan mikro ini boleh dibangunkan melalui kursus akademik yang berstatus akreditasi sementara, atau penuh yang telah ditawarkan oleh UMT atau yang bersifat mandiri. Micro-credential menyediakan laluan pembelajaran yang fleksibel dan memberikan pengiktirafan terhadap pembelajaran dalam tempoh yang singkat serta boleh dipindahkan merentas pelbagai disiplin ilmu. Pada akhir kursus, peserta Micro-credential akan dianugerahkan Lencana Digital, Sijil Mikro atau Penyata Micro-credential Malaysia. Pelaksanaan Micro-credential di UMT juga perlu mematuhi syarat reka bentuk, peraturan dan kualiti, sebagaimana yang telah ditetapkan oleh pihak Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Selari dengan misi untuk menjadikan UMT sebagai universiti penjana ilmu yang dapat mewujudkan kemakmuran masyarakat dan kelestarian dunia, UMT telah menawarkan kursus Micro-credential sebagai satu daripada langkah yang efisien untuk memastikan universiti ini terus berkembang dan sentiasa relevan terhadap permintaan globalisasi sosial, ekonomi dan industri semasa. Dekan Pusat Pendidikan Asas dan Lanjutan, YBrs. Profesor Dr. Asyraf Haji Ab. Rahman yang merupakan Ketua Pusat Tanggungjawab dan juga individu yang bertanggungjawab dalam memastikan pelaksanaan Micro-credential ini berkata, kursus Micro-credential diberikan keutamaan oleh pihak UMT untuk merealisasikan hasrat seperti yang berikut:

(a) Pembelajaran Sepanjang Hayat

Transformasi dan kemajuan teknologi Revolusi Perindustrian 4.0 turut memberikan persaingan yang sengit dalam negara. Setiap individu perlu melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan, kemahiran dan kecekapan yang lestari mengikut perubahan globalisasi semasa. Pelaksanaan Micro-credential UMT berperanan ke arah memperkasakan pembelajaran sepanjang hayat melalui penawaran modul Micro-credential yang selari dengan perkembangan dan teknologi semasa. Selain itu, misi tersebut juga merupakan satu daripada usaha bagi mengiktiraf dan menggalakkan pembangunan berterusan terhadap golongan profesional, akademik dan individu dalam komuniti.

(b) Peluasan Capaian Pembelajaran

Berbeza daripada program akademik konvensional yang bersifat makro dan terhad dari segi ruang dan masa, modul Micro-credential yang ditawarkan oleh UMT ini lebih bersifat fleksibel dan bersaiz kecil. Antara kursus berimpak yang mula mendapat permintaan ramai termasuklah “Swimming and Water Safety”, “Marine Fluid Power” dan “Fundamentals of Physical Fitness”. Selain itu, modul Micro-credential secara dalam talian boleh diikuti oleh peserta secara fleksibel mengikut kesesuaian ruang dan masa menggunakan akses teknologi dan rangkaian internet. Peserta hanya perlu membayar kos yang rendah untuk setiap modul tersebut dan boleh meneruskan pembelajaran modul-modul lain berdasarkan kemampuan kewangan masing-masing.

Modul Micro-credential yang ditawarkan oleh UMT ini lebih bersifat fleksibel dan bersaiz kecil.

(c) Pembangunan Profesional

Kursus Micro-credential diharap dapat menggalakkan pembangunan profesional yang selari dengan keperluan pihak industri dan majikan. Kursus ini dapat menambah baik tenaga kerja yang sedia ada dengan ilmu pengetahuan, kemahiran dan kompetensi terkini yang diperlukan tanpa komitmen pengajian yang panjang. Kursus ini juga mampu meningkatkan potensi kebolehpasaran graduan selepas tamat belajar. Peserta juga boleh mendapatkan pengiktirafan dalam bidang kerjaya masing-masing berdasarkan keperluan badan profesional yang berkaitan.

(d) Pembangunan Akademik

Kursus Micro-credential yang berasaskan program akademik konvensional UMT ini bertujuan untuk menyediakan laluan pembangunan akademik yang fleksibel kepada individu yang tidak berpeluang atau tidak berminat untuk mengikuti program akademik melalui mod konvensional. Pada kebiasaannya, individu juga boleh mengumpulkan Lencana Digital/Sijil Mikro bagi modul tertentu untuk memperoleh PPM atau Sijil Profesional serta memohon pemindahan kredit kursus untuk ke program akademik yang bersesuaian bagi memperolehi Sijil Mikro yang lain. Misalnya, pada tahap Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana (secara kerja kursus) atau Ijazah Kedoktoran (secara kerja kursus).

(e) Pembangunan Individu

Kursus Micro-credential UMT turut menekankan aspek pembangunan individu yang memberika fokus terhadap ilmu pengetahuan, kemahiran dan kualiti hidup. Di samping itu, kursus ini juga membantu menambah baik kehidupan yang holistik dari aspek kerohanian, kekeluargaan dan peningkatan kerjaya. Hal ini penting memandangkan kejayaan dalam kerjaya dipengaruhi oleh tahap kemahiran insaniah dan pembangunan individu.

Sebagai perintis, UMT melalui Jabatan Pembelajaran Sepanjang Hayat (JPSH), Pusat Pendidikan Asas dan Lanjutan (PPAL) telah berjaya menawarkan pembelajaran secara Micro-Credential buat pertama kalinya di Terengganu. YBrs. Profesor Dr. Hafiza Aishah Hashim, Ketua JPSH UMT memaklumkan bahawa strategi berimpak ini berjaya dilaksanakan secara rasminya pada 11 April 2022 dengan melibatkan kolaborasi antara UMT dengan Akademi Bomba Wilayah Timur. Kursus ini telah melibatkan penyertaan sebanyak 700 orang pelatih baharu dari Akademi Bomba Wakaf Tapai, Terengganu. Sebagai strategi pengajaran yang menyokong pembelajaran sepanjang hayat, kursus ini dijayakan dengan kepakaran daripada UMT dan Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) dengan menawarkan keseluruhan tujuh kursus, dengan 29 modul berkredit secara mikro. Kursus-kursus tersebut telah ditawarkan secara hibrid selama empat bulan bermula pertengahan April hingga akhir Julai 2022.

Modul Micro-Credential UMT menawarkan pilihan pembelajaran secara fleksibel, menekankan pemikiran kritis dan kemahiran menyelesaikan masalah yang menyokong pertumbuhan kerjaya pelajar. Oleh hal yang demikian, universiti boleh menawarkan pendidikan kelas tertinggi melalui kursus yang diadakan secara bersemuka mahupun secara dalam talian. Pengajaran dan pembelajaran Micro-credential secara dalam talian mengguna pakai aplikasi e-Bayou UMT. Objektif Micro-Credential turut memberikan pengukuhan terhadap teori ilmiah dan praktikal. Bukan itu sahaja, Micro-Credential juga merupakan platform latihan dalaman atau laluan profesional yang memperkasakan peserta sebagai generasi pekerja yang lebih fleksibel, mampu menangani cabaran dan kompetitif dalam pasaran buruh. Berdasarkan impak kursus Micro-Credential siri satu yang diadakan dengan Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia, UMT berhasrat untuk meneruskan lagi kesinambungan kursus Micro-Credential ini. Hal ini secara tidak langsung dapat meningkatkan kerjasama dengan semua pihak yang berkaitan. YBrs. Profesor Dr. Hafiza Aishah turut menyatakan keyakinan terhadap UMT yang berperanan sebagai universiti yang mampu membina akses ilmu terhadap masyarakat tempatan, khususnya di Terengganu dan seterusnya menyokong pembelajaran sepanjang hayat.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.