7 April 2023, 11:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bencana alam merupakan kejadian yang berlaku secara mengejut dan ekstrem yang berpunca daripada faktor alam sekitar seperti ribut, banjir, kemarau, kebakaran dan gelombang haba. Bencana juga ditakrifkan sebagai suatu gangguan asas dalam konteks sosial yang melibatkan golongan individu dan kumpulan yang melibatkan suatu kejadian buruk sehingga menyebabkan kerugian dan kecelakaan besar kepada umat manusia.

Bencana alam berlaku sama ada disebabkan oleh faktor semula jadi atau perbuatan manusia. Secara semula jadi, alam sekitar telah melalui perubahan yang ketara sejak berabad-abad lamanya. Kewujudan sains dan teknologi telah memberikan manusia “kuasa” untuk mengubah persekitaran. Menurut pemikiran Francis Bacon, alam lebih rendah daripada kuasa, lantaran itu, kuasa mampu mengubah apa-apa sahaja. Atas alasan pembangunan, manusia cuba melakukan perubahan yang tidak mampu diterima oleh alam. Oleh sebab itu, bencana alam akan berlaku pada abad ini dan seterusnya akan lebih kerap berlaku lagi akibat gangguan keterlaluan manusia terhadap sifat semula jadi alam. Selain itu, bencana alam juga akan terjadi disebabkan oleh aktiviti eksploitasi sumber alam untuk kepentingan perniagaan atau industri secara rakus.

Bencana Alam Dunia

Sepanjang sejarah peradaban manusia, bencana alam telah mengorbankan jutaan nyawa, selain memusnahkan harta benda dan infrastruktur. Kematian akibat bencana di seluruh dunia pada tahun 2000 adalah sebanyak 9659 orang, 2001 (30 954 orang), 2002 (12 508 orang), 2003 (110 036 orang), 2004 (241 527 orang), 2005 (90 722 orang), 2006 (22 414 orang), 2007 (16 905 orang), 2008 (235 384 orang), 2009 (11 190 orang), 2010 (317 657 orang), 2011 (30 969 orang), 2012 (9781 orang), 2013 (21 625 orang), 2014 (7988 orang), 2015 (22 874 orang), 2016 (8356 orang), 2017 (9766 orang), 2018 (11 781 orang), 2019 (11 943 orang), 2020 (15 117 orang), 2021 (10 532 orang) dan 13 008 orang bagi tahun 2022.

Bencana alam terawal yang pernah direkodkan dalam sejarah peradaban manusia berlaku pada Mei 526 Masihi apabila gempa bumi yang bermagnitud 7 menggegarkan salah sebuah bandar Empayar Byzantine, Antioch dan mengorbankan sebanyak 250 000 hingga 300 000 orang. Pada 1 September 1923, gempa bumi yang bermagnitud 8.2 telah menggegarkan bandar Tokyo dan Yokohama, Jepun dan turut menghasilkan tsunami setinggi 12 meter. Kematian akibat bencana ini dianggarkan sebanyak 130 000 orang, 90 peratus bangunan di Yokohama telah rosak atau musnah, manakala 350 000 bangunan di Tokyo pula telah musnah dan menyebabkan 60 peratus populasinya telah hilang tempat tinggal.

Banjir Sungai Yangzi yang telah menenggelamkan 180 000 km persegi kawasan di China antara Julai dan Ogos 1931 merupakan bencana alam paling teruk dalam sejarah umat manusia. Hal ini demikian kerana, banjir tersebut telah menyebabkan 3.7 juta penduduk terbunuh, manakala 51 juta penduduk lagi terjejas. Siklon Bhola yang melanda Timur Pakistan (kini: Bangladesh) pada 12 hingga 13 November 1970 telah menyebabkan kematian yang dianggarkan antara 300 000 hingga 500 000 penduduk dan menjejaskan 3.6 juta penduduk. Kerugian yang dialami akibat Siklon Bhola bernilai AS$86 juta. Kelajuan angin siklon tersebut dicatatkan mencapai 205 km/j.

Taufan Nina-Banqiao yang melanda Henan, China dari 5 hingga 9 Ogos 1975 telah membunuh 150 000 orang, menyebabkan 10 juta orang hilang tempat tinggal dan kerugian bernilai AS$6.7 bilion. Pada 28 Julai 1976, gempa bumi bermagnitud 7.8 yang menggegarkan bandar Tangshan, China telah mengakibatkan 240 000 penduduk terbunuh, manakala dianggarkan antara 659 000 hingga 800 000 penduduk lagi cedera. Tangshan merupakan metropolis perindustrian perlombongan arang batu. Siklon berkelajuan 210 km/j yang melanda Chittagong, Bangladesh pada 22 hingga 30 April 1991 telah membunuh 139 000 penduduk dan memusnahkan lebih 780 000 kediaman. Pembinaan semula dan rehabilitasi telah menelan kos sebanyak AS$1.78 bilion.

Pada 26 Disember 2004, gempa bumi bermagnitud 9.1 di Lautan Hindi telah mencetuskan tsunami setinggi 30 meter dan bergerak dengan kelajuan 800 km/j. Tsunami yang menjejaskan beberapa negara di Asia Selatan, Asia Tenggara dan Timur Afrika telah menyebabkan lebih 226 000 kematian dan 2 juta orang hilang tempat tinggal. Kerosakan akibat tsunami bernilai AS$10 bilion. Gempa bumi yang menggegarkan Kashmir dan Khyber Pakhtunkhwa di Pakistan dan kawasan sekitar India dan Afghanistan pada 8 Oktober 2005 menyebabkan lebih 3.5 juta penduduk berpindah, 780 000 buah bangunan musnah atau kerosakan secara serius, manakala sebanyak 87 350 orang terbunuh.

Siklon Nargis yang melanda Myanmar dari 2 hingga 3 Mei 2008 telah mengorbankan sebanyak 140 000 orang dan menjejaskan lebih 2.4 juta penduduk. Gempa bumi bermagnitud 7 yang menggegarkan Haiti pada 12 Januari 2010 telah mengorbankan sejumlah 220 000 penduduk, menjejaskan lebih 3 juta orang dan memusnahkan atau merosakkan lebih 300 000 kediaman.

Interaksi Manusia dengan Alam Menurut Falsafah Barat

Krisis alam dan ekologi yang dihadapi oleh manusia pada masa ini mempunyai kaitan dengan pemikiran ahli-ahli falsafah Barat, iaitu Rene Descartes dan Isaac Newton. Pemikiran kedua-dua ahli falsafah tersebut telah membentuk paradigma yang dikenali sebagai Cartesian – Newtonian. Paradigma tersebut berhujah atas dasar andaian kosmologi bahawa alam ini adalah sebuah mesin raksasa yang mati, tidak bernyawa dan statik serta segala sesuatu yang berada di luar kesedaran subjek termasuklah tubuh manusia dilihat sebagai mesin yang bekerja menurut hukum matematik yang bersifat kuantitatif.

Rene Descartes melalui pemikirannya dalam The Mind-Body Problem, berpendapat bahawa terdapat pemisahan antara minda dengan kerohanian. Descartes menjelaskan bahawa realiti asas yang wujud iaitu, res cogitans (minda manusia) dan res extensa (jasad/fizikal) adalah terpisah dan bertindak secara berasingan. Beliau melihat minda dan jasad berfungsi secara selari, tetapi tidak saling bersambung.

Descartes mengemukakan dua hujah bagi mengukuhkan pandangannya. Pertama, terbukti dalam bidang fisiologi haiwan dan manusia seperti proses penghadaman dan dalam refleksi tulang bahawa perkara yang berlaku secara langsung tidak berhubung kait dengan roh, sebaliknya perkara yang berlaku boleh dijelaskan melalui prinsip mekanikal. Manakala yang kedua, khusus dalam kes manusia, walaupun kelihatan terdapat hubungan antara jasad dengan roh dalam kebanyakkan aktiviti, namun terdapat satu lagi tindakan mental yang berbentuk pemikiran intelektual yang berlaku tanpa melibatkan aktiviti fisiologi.

Oleh sebab itu, alam fizikal dianggap sebagai alam yang mati kerana tidak bergabung dengan aspek kerohanian. Alam yang mati sama seperti jasad manusia yang tidak bernyawa, dianggap tidak bernilai dan boleh dilakukan sesuka hati terhadap alam. Hal ini berbeza daripada Aristotle yang berhujah bahawa roh dan jasad bersatu dalam satu objek seperti bersatunya bentuk dan jirim dalam satu objek, maka roh tidak terpisah daripada objek fizikal. Aristotle turut menegaskan bahawa roh wujud dalam setiap benda hidup dan memberi keupayaan pemakanan, membesar, membiak, persepsi, pemikiran dan pergerakan secara bebas.

Kesan pemikiran Descartes menyebabkan manusia menganggap alam ini sebagai tidak bernyawa, wujud pemikiran mekanikal dan alam boleh diperlakukan atau dieksploitasi sesuka hati. Alam yang dianggap tidak bernyawa “dilayan” sama seperti manusia mati. Oleh sebab itu, alam boleh diperlakukan dengan sesuka hati kerana tidak bernilai. Selain itu, alam juga dianggap sebagai neutral, maka cara kita berhubung dengan alam juga akan turut berubah kerana dilihat sebagai mesin yang besar.

Para pemikir Barat sebelum zaman Descartes dan Newton melihat keseluruhan alam sebagai entiti organik. Paradigma Cartesian – Newtonian memandang alam ini sebagai mesin yang mati tanpa makna simbolik, kualitatif, nilai, roh, cita rasa, etika dan estetika. Pencemaran air sungai dan laut yang berlaku akibat pembuangan sisa pepejal dan kumbahan hampir setiap hari merupakan manifestasi layanan manusia yang buruk terhadap alam memandangkan alam ini dilihat sebagai tidak bernyawa dan bernilai.

Bagi Francis Bacon pula, manusia lebih unggul daripada alam semula jadi, namun pada masa yang sama manusia juga terasing daripadanya. Tambah beliau lagi, alam semula jadi adalah “kasar” dan “tidak memaafkan” maka itu alam semula jadi perlu ditakluki oleh manusia. Bacon melihat manusia wujud dalam empayar alam semula jadi berbanding dengan menganggap manusia sebagai sebahagian daripada alam semula jadi. Oleh sebab itu, alam semula jadi memerlukan manusia untuk dijinakkan, ditakluki, dan ditundukkan. Penaklukan alam berlaku melalui perindustrian dan pengajaran ilmu oleh manusia. Untuk membolehkan manusia mengenali alam, manusia mesti menakluki alam melalui industri.

Selain itu, penaklukan alam semula jadi melalui industri dan penemuan saintifik juga membawa kepada peningkatan material manusia. Manusia perlu menakluki alam untuk memperoleh pengetahuan tentang dunia, membina empayar ilmu dan kekayaan serta mengeluarkan umat manusia daripada kemiskinan. Cara terbaik untuk mendapatkan pengetahuan tentang rahsia alam semula jadi adalah dengan “mengurang” dan “menanggalkannya”. Industri, teknologi, dan kekayaan digunakan untuk menakluki, mengkaji, dan menyeksa alam, sebagai contoh melalui penebangan hutan dan eksperimen terhadap haiwan. Alam semula jadi juga terseksa dengan pembukaan kawasan perlombongan bijih timah, bijih besi, emas dan berlian secara besar-besaran kerana berlakunya kerosakan alam.

Melalui penaklukan dan seksaan alam ini, kekayaan dan keselesaan untuk manusia akan ditemui. Penaklukan terhadap alam oleh manusia secara langsung telah mencipta persekitaran buatan, selain manusia itu sendiri menjadi instrumen buatan. Persekitaran buatan dapat difahami sebagai kawasan yang diubah oleh perbuatan manusia seperti kawasan pertanian, perindustrian, perumahan dan pembangunan infrastruktur lain, antaranya jalan dan lebuh raya.

Sebagai contoh, penerokaan manusia di kawasan hutan paya gambut di Kalimantan untuk tujuan pembalakan dan penanaman pokok kelapa sawit telah mengubah fungsi asal hutan tersebut. Tanah di hutan paya gambut terdiri daripada bahan-bahan organik yang tidak mereput kerana keadaannya yang ditenggelami air. Pembalak membina rangkaian parit untuk menghanyutkan balak dari hutan ke kawasan pengutipan, manakala pengusaha kelapa sawit pula melakukannya untuk mengeringkan tanah supaya penanaman boleh dilakukan. Tindakan pengeringan tersebut telah menyebabkan kawasan tanah paya gambut menjadi mudah terbakar. Keadaan bertambah buruk apabila terdapat pihak yang membersihkan kawasan hutan dengan membakarnya. Pembakaran tersebut menjadi punca utama berlakunya jerebu yang melanda negara-negara jiran hampir setiap tahun dan menyebabkan banyak gangguan dari segi kesihatan dan ekonomi.

Penaklukan alam dengan rakus yang disebabkan oleh alam semula jadi hanyalah rangkaian tidak berakal yang sukar difahami dan hanya akan digunakan secara instrumental untuk kepentingan manusia. Hal ini terbukti apabila manusia mengorbankan kawasan hutan demi pembangunan kawasan perumahan, pertanian dan perindustrian serta menggunakan sumber hutan untuk perabot, kertas, pensil dan lain-lain. Kemusnahan kawasan hutan juga menjadi satu daripada punca pemanasan global.

Layanan manusia terhadap alam seperti yang dicanangkan oleh Francis Bacon dan paradigma Cartesian-Newtonian meninggalkan impak yang negatif bukan sahaja terhadap alam, tetapi juga kepada kehidupan manusia. Manusialah yang menjadi penyumbang utama kepada kemusnahan peradaban manusia apabila alam sekitar binasa dan menyebabkan manusia dilanda bencana alam. Jika manusia berpindah ke planet lain sekalipun, planet tersebut akan menimpa nasib yang sama, yakni dirosakkan oleh manusia. Hal ini boleh berlaku jika sikap manusia masih tidak berubah. Jika kepentingan peribadi menguasai diri, alam yang hebat akan dinodai oleh manusia. Jika manusia berharmoni dengan alam, nescaya peradaban manusia mampu bertahan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.