Oleh Awang Sariyan
10 April 2023, 17:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dewan Rakyat telah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan (2022) sebanyak lebih RM800 juta yang diperuntukkan bagi sektor pendidikan dalam perbelanjaan tambahan tahun 2022.

Saya menyokong perbelanjaan tambahan itu dengan memberikan beberapa pandangan untuk memperkukuh pendidikan sebagai wasilah teras pembangunan negara.

Isu pertama berkaitan dengan sejauh mana telah dilakukan kajian dan langkah bagi menampung “kehilangan pendidikan” akibat kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua tahun kerana COVID-19. Negara tidak boleh kehilangan modal insan yang berilmu dan terlatih, disebabkan oleh bencana atau keadaan yang tidak terduga seperti wabak COVID-19. Berkaitan dengan itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu serius menggubal modul pedagogi anjal sebagai persiapan menghadapi kemungkinan seperti wabak COVID-19.

Isu kedua berkaitan dengan keperluan penyediaan bahan bacaan terperingkat (graded reading materials) untuk memenuhi budaya ilmu dan budaya maklumat dalam kalangan pelajar. Pelbagai bidang ilmu dan maklumat tidak patut ditangguhkan hak pemilikannya hanya kerana anak didik kita berada di Institut Pengajian Tinggi (IPT), tetapi perlu disebarkan kepada murid dan pelajar, berdasarkan kesesuaian laras bahasa dan kedalaman ilmu tersebut.

Sehubungan dengan itu, penghayatan karya kreatif atau susastera perlu dipadukan sejak awal pendidikan seperti yang dilakukan dalam bahasa Inggeris dan bahasa maju yang lain. Dalam hal ini, Komponen Sastera (KOMSAS) belum benar-benar berjaya menjadi wasilah penghayatan susastera dalam aspek nilai, pemikiran dan isu masyarakat kerana masih berat pada aspek struktur karya susastera.

Yang ketiga berkaitan dengan seni dalam pendidikan. Langkah menubuhkan sekolah seni bagus tetapi hendaknya tidak melahirkan lepasan sekolah yang berpegang pada pegangan “Seni untuk seni”. Kemahiran seni perlu dijadikan wasilah untuk pembangunan masyarakat, termasuk soal penghalusan budi. Selain itu, ilmu dan kemahiran seni perlu “ditempiaskan” dan “dilimpahkan” juga ke sekolah harian dan sekolah yang bukan sekolah seni agar seni dipadukan sejak awal pendidikan, seperti yang dilaksanakan di negara jiran kita, Indonesia dan negara lain. Dengan demikian, bidang pengkhususan dan aliran apa pun yang dipilih oleh pelajar, seni tetap menjadi sebahagian daripada dirinya.

Akhirnya, ingin saya sentuh keperluan KPM dengan serius memastikan anak didik kita memiliki paduan kemahiran yang mekanis dengan kemahiran yang fungsional. Pelajar yang lulus cemerlang dalam peperiksaan ternyata tidak semua menjadi pemikir dan orang yang berkesan komunikasinya. Program Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) mesti dipastikan kesannya agar majoriti lepasan sekolah tidak terkepung oleh Kemahiran Berfikir Aras Rendah (KBAR). Sejumlah pemimpin dalam pelbagai bidang yang ada di negara kita masih belum mencapai tahap KBAT dan komunikasi yang berkesan.

Kewajaran peruntukan antara yang terbesar kepada KPM sewajarnya disusuli dengan perancangan dan pelaksanaan yang lebih rapi dan memandang jauh ke hadapan. KPM berpotensi besar mencapai sasaran itu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.