27 April 2023, 17:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kejatuhan Empayar Rom merupakan peristiwa besar terhadap perkembangan tamadun manusia. Pada zaman pertengahan Revolusi Perancis, iaitu pada tahun 1789 peristiwa ini dianggap sebagai peristiwa bertanda. Walau bagaimanapun kesan peristiwa ini hanya dirasai di sekitar Eropah sahaja, berbeza dengan penyatuan semula Jerman Barat dan Jerman Timur yang menyaksikan kesan ekonomi meluas di seluruh dunia. Serangan ke atas World Trade Center (WTC) Amerika Syarikat pada 11 September 2001 menunjukkan contoh moden yang menjatuhkan semua pasaran saham dunia dalam tempoh kurang daripada 12 jam. Terdapat peristiwa yang dirasai berdasarkan lingkaran geografi tertentu, antaranya di beberapa buah negara, di beberapa kawasan serantau atau di beberapa buah benua.

Terdapat juga peristiwa yang dikongsi dengan hampir seluruh dunia atau seantero manusia. Pandemik COVID-19 merupakan satu daripada contoh peristiwa yang paling hampir dengan kita. Banyak penduduk di dunia ini yang menerima kesan akibat pandemik COVID-19. Sehingga kini, suasana masih lagi hening. Kebanyakan manusia masih belum bangkit daripada pandemik COVID-19. Kesan kejatuhan ekonomi, kesihatan dan masalah kemurungan masih lagi dirasai oleh sesetengah individu. Walau bagaimanapun, rakyat perlu sentiasa diingatkan agar tidak meletakkan pergantungan titik terakhir kehidupan pada kuasa teknologi dan sains semata-mata, sebaliknya carilah jalan ikhtiar dan pergantungan mutlak kepada Allah SWT. Janganlah sesekali kita alpa atau leka akan kesan dan impak pandemik COVID-19 yang pernah melanda seluruh dunia.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan Kadar Inflasi Malaysia pada Februari 2023 kekal pada 3.7%, Kadar ini sama seperti yang dicatatkan pada Januari 2023. Kementerian Ekonomi mengunjurkan inflasi tahun 2023 berkemungkinan menurun kepada 3.1%. Bagi sesebuah negara, keredaan tekanan dan kestabilan inflasi adalah sesuatu yang penting untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan. Berdasarkan 552 harga yang dipantau oleh DOSM, hanya 66 sahaja yang mencatat penurunan harga. Sebahagian besar mencatakan peningkatan harga, iaitu sebanyak 452 harga. Berdasarkan 12 komposisi harga Indeks Harga Pengguna (IHP), semua mencatatkan peningkatan, kecuali dalam bidang telekomunikasi.

Pemberat paling utama dalam IHP ialah makanan, iaitu sebanyak 29.5%. Dalam bulan Februari, kadar kenaikan harga makanan dan minuman bukan beralkohol meningkat lebih tinggi dari bulan sebelumnya, iaitu sebanyak 7% (Januari: 6.7%). Komponen restoran dan hotel meningkat dengan ketara kepada 7.4% (Januari: 6.8%). Lebih khusus, kadar kenaikan harga makanan di luar kekal tinggi, iaitu sebanyak 8.9%. Bagi menangani kos sara hidup, kerajaan memerlukan tindakan yang lebih tuntas. Sebaik-baiknya penetapan harga mestilah adil kepada penjual dan pembeli. Tindakan penurunan harga mestilah bersandarkan kepada inisiatif titik awal rantaian bekalan, bukan kepada titik akhir rantaian jualan kepada pengguna.

Malaysia harus bersedia. “Murah” bukanlah ciri sebuah negara yang maju dan berpendapatan tinggi. Gaya dan budaya hidup mestilah diubah sekiranya negara mensasarkan status negara yang maju dan berpendapatan tinggi. Kuasa beli yang tinggi mestilah menjadi sasaran utama. Umumnya, harga akan sentiasa meningkat. Tindakan yang lebih berkesan dan mampan ialah meningkatkan tahap pendapatan, bukan menjadikan harga barangan dan perkhidmatan murah. Hal ini secara tidak langsung akan memberi kesan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Namun begitu, terdapat beberapa inisiatif lain bagi meningkatkan KDNK, iaitu menerusi Pelaburan Langsung Asing (FDI). Persaingan dapat menarik pelabur asing dan menjadikan pelaburan semakin sengit. Lanskap persaingan global telah berubah dengan nyata. Struktur geopolitik kuasa besar ekonomi US-China telah memberikan kesan kepada seluruh dunia, termasuklah Malaysia. Dari USD175 bilion pelaburan asing yang masuk ke rantau Asia Tenggara dalam tahun 2021, sekitar 7% mendarat di Malaysia. Negara jiran, Singapura pula mengaut 57%. Indonesia, Vietnam, Thailand dan Filipina pula kini semakin mantap.

Daya saing negara jelas semakin luntur. Dahulunya pada tahun 1980, 35% milik Malaysia, kini hanya sekitar 7%-8% sahaja. Berdasarkan penarafan daya saing global yang dikeluarkan oleh Institute for Management Development (IMD), dari tangga ke-10 terbaik di dunia pada tahun 2010, dalam tempoh 13 tahun, Malaysia telah menurun ke tangga ke-32 tahun 2022. Aspirasi Pelaburan Negara (NIA-National Investment Aspirations) meletakkan lima teras atau ciri utama yang harus dinilai, iaitu berdasarkan kepada kecanggihan teknologi pelaburan, kualiti pekerjaan yang dicipta, limpahan peluang kepada Industri Kecil Sederhana (IKS) domestik, impak kepada industri strategik negara dan juga implikasi kepada mengecilkan jurang pembangunan wilayah.

Dengan lima teras tersebut, Malaysia perlu lebih strategik dalam menarik pelaburan. Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) perlu berkongsi kemajuan yang telah dicapai oleh negara dalam setiap lima teras NIA ini. Mungkin Jabatan Perangkaan Malaysia sudah boleh mula melaporkan data untuk setiap lima teras ini. Perkara ini tidak cukup dengan hanya memberikan tradisi laporan “Approved Investment” atau pelaburan yang diluluskan. Dengan kejelasan data, kita semua dapat menilai dengan ukuran yang sama. Tiga perkara pokok yang menjadi cabaran utama iailah, kualiti pelaburan yang berjaya dibawa masuk, kesediaan dan kecukupan bakat/sumber manusia yang ada, dan kepantasan dan keselarasan keputusan dan peraturan oleh kerajaan persekutuan, negeri, dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). In short, Ease of Doing Business, masih membelenggu negara.

Jangan sesekali menyalahkan mana-mana pihak. Aliran kejatuhan ini bukanlah sesuatu yang baharu. Negara perlu bergerak ke hadapan, lebih masa melihat ke hadapan bukan ke belakang. Jadikan ini sebagai cabaran untuk ditangani bersama. Perkara ini bukanlah tanggungjawab satu pihak sahaja, banyak kementerian yang perlu terlibat dalam menyegerakan pembaharuan tersebut. Malaysia mesti bergerak bersama-sama. Koordinasi antara semua pihak yang terlibat amat penting. Umumkan pembaharuan dan langkah strategik yang akan diambil oleh Malaysia. Pelabur pasti akan menanitkan tawaran tersebut.

Walau bagaimanapun, sekalung tahniah diucapkan kepada Perdana Menteri kerana berjaya menarik pelaburan berjumlah RM170 bilion dari China. Sebanyak 19 memorandum persefahaman (MoU) telah ditandatangani. Hal ini menunjukkan keyakinan pelabur ke atas Malaysia. Sebuah jawatankuasa khas pemantauan dibentuk bagi memastikan hasrat pelaburan ini direalisasikan. Jumlah pelaburan asing sememangnya meningkat dari RM7.1 billion (1990), kepada RM14.4 (2000) dan RM32.4 billion (2019). Namun begitu, daya saing Malaysia untuk menarik pelaburan asing semakin luntur.

Dalam kalangan negara Association of Southeast Asian Nations (ASEAN), Singapura kekal sebagai juara, iaitu berjaya menarik lebih daripada separuh FDI yang masuk ke Asia Tenggara, iaitu 43% (1990), 68% (2000) dan 60% 2019. Kedudukan Malaysia jatuh mendadak, dari 20% (1990) kepada 17% (2000), dan 4% (2019). Negara-negara jiran seperti Vietnam, Indonesia, Thailand dan Filipina pula kini semakin menonjol. Malaysia perlu segera bangun, mengambil tindakan yang agresif dan komited untuk mengukuhkan semula daya saing negara sebagai hub pilihan pelaburan global.

Dalam konteks daya saing global yang lebih luas, kedudukan Malaysia telah menurun. Berdasarkan penarafan oleh IMD (Global Competitiveness Index), pencapaian terbaik Malaysia ialah pada kedudukan ke-10 di dunia pada tahun 2010. Pada tahun 2019, Malaysia merudum ke tangga ke-22. Berdasarkan aliran ini, jelas menunjukkan bahawa daya saing Malaysia semakin meluntur. Perubahan yang signifikan perlu dilakukan untuk meyakinkan pelabur bagi menunjukkan keseriusan Malaysia dalam melaksanakan pembaharuan. Persaingan global semakin sengit selepas pasca-pandemik COVID-19 dan corak geo-politik global nyata juga telah berubah, Malaysia mesti menyusun strategi baharu dengan segera.

Perkukuh dan tonjolkan kekuatan negara. Aspirasi Pelaburan Nasional atau National Investment Aspiration (NIA) bukan di bawah tanggungjawab MITI dan agensinya MIDA sahaja. Kerancakan pelaburan hakikatnya bergantung pada semua kementerian. Kesepakatan dan kesepaduan antara semua kementerian dan agensi serta pembuatan keputusan di peringkat persekutuan, negeri, dan PBT perlu dipertingkat. Semoga Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Malaysia akan lebih agresif meningkatkan daya saing bagi menarik pelaburan asing.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.