28 April 2023, 16:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Salah satu daripada polisi kerajaan semasa Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri ialah Dasar Pandang ke Timur. Dasar ini telah diumumkan pada 8 Februari 1982 semasa Persidangan “5th Joint Annual Conference of MAJECA/JAMECA” di Hotel Hilton Kuala Lumpur. Dasar ini bermakna, pihak Kerajaan akan membuat kajian, penelitian dan pemilihan terhadap contoh dan teladan yang terbaik dari Jepun dan Korea dengan menyesuaikannya dengan keadaan semasa di Malaysia. Asas kepada polisi ini ialah negara Jepun dan Korea merupakan dua buah negara yang begitu pesat membangun. Dalam beberapa bidang, mereka dikatakan lebih maju berbanding dengan beberapa buah negara Barat. Kerajaan pada ketika itu menyatakan bahawa kedua-dua negara ini boleh dijadikan contoh dan teladan buat Malaysia dan kelebihan mereka itu wajar dipraktikkan bagi mencapai matlamat pembangunan negara dengan meningkatkan prestasi pengurusan dan pembangunan dalam sektor awam dan swasta.

Namun begitu, kebanyakan penggubal dasar di Malaysia pada ketika itu tidak menyedari bahawa Jepun sedang menghadapi banyak masalah ekonomi dan krisis sosial akibat daripada polisi pembangunan mereka selama ini. Sebagai contoh, di Jepun, masalah kos sara hidup dan kos perumahan dikatakan sangat serius. Purata pendapatan berjumlah A.S.$2860 berbanding dengan purata kadar sewa sebanyak A.S.$1903. Di Tokyo, mereka yang tidak mampu membayar sewa rumah akan tinggal di ruang kecil seluas 20 kaki persegi di dalam kafe Internet pada setiap malam.  Dianggarkan bahawa hampir 15 ribu orang telah hidup dalam keadaan sebegini sejak tahun 2018.

Di samping itu, akibat daripada bebanan kewangan yang tinggi, banyak syarikat kini tidak gemar memberikan kerja tetap kepada kakitangan mereka. Oleh itu kebanyakan daripada kalangan pekerja hanya mendapat kontrak pekerjaan untuk beberapa bulan sahaja dan keadaan ini menyebabkan mereka sentiasa hidup dalam kebimbangan apabila memikirkan tentang pendapatan mereka. Hal ini ditambah pula dengan masalah kos sara hidup dan kos perumahan yang tinggi, lantas menyebabkan ramai rakyat Jepun cenderung untuk tidak berkahwin dan berkeluarga. Akibatnya kadar kesuburan di Jepun telah menurun secara mendadak, iaitu daripada 3.4 pada tahun 1950 kepada 1.3 pada tahun 2020. Hal ini bermakna jumlah penduduk di Jepun semakin berkurangan dari tahun ke tahun. Dalam erti kata lain, jumlah tenaga kerja di Jepun juga akan berkurangan dari tahun ke tahun. Sudah tentu keadaan ini akan menghasilkan kesan negatif kepada ekonomi negara Jepun dalam tempoh jangka panjang.

Pada masa yang sama, kini jumlah orang tua di Jepun pula sudah melebihi jumlah orang muda. Pada masa ini, lebih daripada 20 peratus rakyatnya berumur lebih daripada 65 tahun. Diramalkan bahawa pada tahun 2030, 30 peratus daripada rakyatnya akan berumur lebih daripada 65 tahun dan jumlah pekerja di Jepun yang produktif juga akan berkurangan dari tahun ke tahun. Siapakah yang akan membantu menjaga orang tua di Jepun jika jumlah orang muda semakin kurang sementara jumlah orang tua pula semakin meningkat?

Terkini, terdapat satu lagi masalah sosial di Jepun yang timbul kesan daripada jumlah anak yang sedikit,  iaitu fenomena “mati keseorangan” dalam kalangan warga tuanya. Fenomena yang dipanggil “Kodukushi” ini merujuk keadaan yang menyebabkan ribuan orang telah mati tanpa disedari oleh orang lain selama beberapa hari, minggu atau bulan. Bayangkan kesengsaraan yang dialami oleh orang tua yang hidup keseorangan sebelum menghembuskan nafas terakhir. Kemungkinan sebelum itu individu terbabit sudah berada dalam keadaan lemah dan tidak bermaya untuk keluar mencari makanan untuk dimasak. Mungkin juga warga emas tersebut tidak ada tenaga untuk melakukan rutin harian selain menyediakan makanan untuk diri sendiri. Oleh sebab kebanyakan orang Jepun tidak berkahwin dan tinggal keseorangan, atau telah berkahwin, namun suami atau isteri sudah meninggal dunia, atau berkahwin, namun tidak mempunyai anak, atau mempunyai seorang anak, tetapi anak itu terlampau sibuk bekerja dan tidak mampu menjaga ibu bapa, akhirnya ramai orang Jepun mati keseorangan diri.

Masalah gelandangan juga wujud di Jepun. Terdapat laporan yang menyatakan bahawa jumlahnya adalah sebanyak 4000 orang pada tahun 2018.  Namun begitu, terdapat laporan lain yang menyatakan bahawa jumlah sebenar berkemungkinan adalah jauh lebih tinggi, iaitu mungkin lebih daripada tiga kali ganda jika soal selidik berkenaan gelandangan dilakukan di sebelah malam kerana kebanyakan gelandangan di Tokyo hanya kelihatan keluar untuk tidur di tepi-tepi jalan pada waktu lewat malam. Sudah tentu keadaan sekarang adalah jauh lebih teruk akibat pandemik COVID-19 kerana banyak syarikat yang telah membuang pekerja mereka.

Mengapakah semua masalah di atas wujud di Jepun? Jawapannya ialah Jepun telah mengalami krisis ekonomi yang teruk pada tahun 1989. Punca utama tentunya melibatkan tahap hutang yang sangat tinggi dalam kalangan syarikat dan individu sebelum itu. Salah satu punca utama kepada suasana ini termasuklah kecenderungan individu dan syarikat di Jepun untuk berhutang dengan bank dan melabur dalam saham dan hartanah. Tanpa disedari, kebanyakan pelaburan itu berbentuk spekulatif. Keadaan ini disifatkan sebagai mudah berlaku kerana dana tersebut senang dipinjam dari industri perbankan. Akibat daripada suasana spekulatif ini, harga saham dan hartanah didapati naik mencanak pada awal dan pertengahan 1980-an. Suasana gelembung aset ini berakhir pada tahun 1989 dan mengakibatkan ramai orang dan banyak syarikat  di Jepun diisytihar muflis. Oleh sebab tahap hutang di Jepun begitu tinggi, maka masalah ekonominya tidak dapat diselesaikan hingga ke hari ini dan telah mengakibatkan banyak masalah sosial seperti yang diterangkan di atas.

Sebagai rumusan, sebenarnya Jepun dan juga Korea bukanlah model pembangunan ekonomi yang harus kita contohi kerana model pembangunan mereka adalah berasaskan kepada amalan riba dan lebih tertumpu pada industri hutang. Model pembangunan sedemikian hanya mampu merancakkan ekonomi untuk tempoh masa yang terhad sahaja. Apabila tahap hutang semakin meningkat, maka banyak masalah akan timbul selepas itu. Bahkan jika tahap hutang terlampau tinggi akibat aktiviti spekulasi, krisis hutang juga akan terus menimpa negara dan kehidupan rakyat akan lebih sengsara. Model pembangunan ekonomi yang betul adalah yang bebas daripada amalan riba dan tidak berpaksikan pada industri hutang. Hal ini telah diriwayatkan kepada kita oleh Rasulullah SAW. Sistem ekonomi yang bebas riba serta berasaskan amalan zakat, derma dan wakaf adalah jauh lebih stabil dan menyejahterakan kehidupan rakyat. Oleh hal yang demikian, pada hakikatnya sistem inilah yang perlu bangunkan di negara kita sekarang.

Profesor Dr. Mohd Nazari Ismail, Profesor Kehormat di Fakulti Perniagaan dan Perakaunan, Universiti Malaya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.