Oleh Rashid Ating
8 Mei 2023, 09:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Fenomena gelombang haba yang melanda beberapa buah bandar utama di Asia sejak kebelakangan ini memberikan kesan dari pelbagai aspek seperti ekonomi, sosial dan politik. Fenomena ini merupakan kejadian biasa yang berlaku saban tahun disebabkan oleh perubahan iklim bumi.

Saintis dan ahli klimatologi yang mengkaji perubahan kebolehubahan dan kesan iklim ke atas biosfera bumi menjangkakan ini hanyalah sekadar permulaan kepada sebuah tempoh kemarau yang panjang. Mereka juga menjangkakan bahawa keadaan sedia ada akan bertambah buruk disebabkan oleh fenomena El Nino yang berkemungkinan turut sama melanda dalam tahun ini.

Suhu di Bandar Utama di Asia

Peta taburan haba dan suhu maksimum di bandar utama di rantau Asia, 2 Mei 2023. (Sumber: Weather Online UK)

Dapat kita lihat bahawa bandar utama seperti Riyadh (Arab Saudi), Mumbai (India), Dhaka (Bangladesh) dan Don Muang (Thailand) mengalami suhu yang agak ekstrem iaitu sekitar 40°C dan dan ke atas. Manakala bandar lain seperti New Delhi (India), Colombo (Sri Lanka), Singapura, Kuala Lumpur (Malaysia), Manila (Filipina), Hong Kong, Shanghai, Beijing dan Urumqi (China) mempunyai suhu sekitar 35°C hingga 30°C. Kawasan seperti di Timur Bengal, India, suhu yang direkodkan mencapai lebih 40°C dan di Sukoharja, Jawa, Indonesia, 33°C, menyebabkan penduduk sekitar di kedua-dua kawasan tersebut dikatakan mampu menggoreng telur dadar disebabkan oleh kepanasan yang melampau.

 Kesan Fenomena Gelombang Haba

 Bagi negara yang bergantung kepada penghasilan sumber tanaman sebagai salah satu komoditi eksport mereka, contohnya India dan beberapa negara Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) yang lain seperti Thailand, fenomena peningkatan suhu ini menganggu proses tuaian tanaman kerana kepanasan yang melampau di samping penggunaan air yang lebih banyak dari biasa untuk mengelakkan tanaman mati.

Bagi pemandu teksi, mereka tidak dapat menjalankan aktiviti seperti biasa kerana bahang yang melampau seperti di India dan Myanmar. Aktiviti mereka terpaksa dihentikan buat seketika kerana kepanasan haba yang lebih tinggi dari kebiasaan. Bagi mereka yang berada dalam sektor pembinaan, mereka juga tidak boleh berada terlalu lama di luar dan terpaksa berhenti apabila bahang semakin dirasai kerana dikhuatiri terkena strok haba. Di beberapa buah negara lain, contohnya di Thailand, penduduk memilih untuk berada di kawasan pusat beli-belah semasa panas terik bagi mengurangkan kepanasan yang dialami.

Tidak semua orang bernasib baik. Bagi mereka yang tinggal di bandar besar yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi seperti di India, iaitu di Mumbai, New Delhi dan Dhaka, mereka terpaksa mengharungi kepanasan yang melampau ini semasa menjalani ibadah puasa. Selain itu, mereka juga menghadapi kesukaran untuk tidur pada waktu malam kerana kepanasan. Stesen jana kuasa elektrik akan beroperasi melebihi keupayaan kerana peningkatan permintaan untuk penggunaan tenaga. Apabila tempoh penggunaan yang lebih panjang dicatatkan, terdapat kemungkinan untuk pemotongan bekalan kuasa elektrik, sekali gus memberikan kesan kepada negara mempunyai ramai penduduk yang miskin seperti Bangladesh.

Di Thailand, kos penggunaan elektrik semakin meningkat. Penyaman udara dan kipas digunakan secara berterusan untuk menyejukkan diri terutamanya pada waktu tengah hari iaitu ketika kemuncak bahang matahari. Di Manila, Filipina, tujuh orang pelajar pengsan akibat peningkatan suhu hingga 37°C yang menyebabkan gangguan bekalan elektrik. Maka, terdapat perbincangan kemungkinan sesi persekolahan akan dijalankan secara dalam talian untuk mengurangkan risiko pelajar mengalami kejadian yang sama. Kerajaan Malaysia juga sedang dalam meneliti tatacara pelaksanaan sesi persekolahan yang terbaik disebabkan oleh fenomena gelombang haba ini.

Kesimpulan  

Fenomena gelombang haba ini memecahkan rekod suhu tertinggi yang pernah direkodkan oleh beberapa negara seperti Vietnam, Thailand, China, India dan Bangladesh. Sungguhpun begitu, negara ASEAN yang lain juga turut menerima tempias akibat kejadian ini termasuklah Malaysia (terutamanya negeri di utara dan di pantai timur, berhampiran dengan Thailand). Keadaan ini akan dijangka berterusan hingga bulan Ogos disebabkan musim peralihan monsun. Walaupun tidak menerima impak secara langsung seperti negara lain namun penduduk setempat perlu mengambil langkah pencegahan dan keselamatan serta lebih berhati-hati agar golongan rentan seperti kanak-kanak tidak menjadi korban berpunca daripada fenomena strok haba ini.

 

*Penulis merupakan penyelidik di Jabatan Ekonomi, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, dan Institut Pengajian Termaju (IAS), Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.