12 Mei 2023, 08:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Penyampaian Cenderamata kepada Guru Besar SK Pekan Beluran oleh Timbalan Pengarah 1, DBPCS, Encik Rusdi Awang, semalam.

Bazar Ilmu Dewan Bahasa dan Pustaka 2023 berjaya dilaksanakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah (DBPCS) pada 8 dan 9 Mei 2023 di Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Telupid serta 10 dan 11 Mei 2023 di SK Pekan Beluran untuk memartabatkan bahasa Melayu dan memasyarakatkan sastera di kawasan pedalaman Sabah.

Program jualan berpusat anjuran Unit Pemasaran dan Pengedaran, DBPCS dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Telupid/Tongod dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Beluran adalah bertujuan untuk memperkenalkan produk terbitan DBP kepada seluruh masyarakat, khususnya warga Telupid dan Beluran.

Program yang julung-julung kali diadakan ini merupakan satu daripada usaha DBPCS dalam merealisasikan Pelan Strategik DBP, iaitu mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Pengunjung Gerai Jualan Buku Menyertai Peraduan Teka Harga dan Berat Buku.

Antara pertandingan yang diadakan, termasuklah Pertandingan Sayembara Deklamasi Sajak serta Pertandingan Aku, Dia dan Lagu yang menyasarkan pelajar sekolah menengah di daerah Telupid dan Beluran.

Selain itu, Pertandingan Mewarna dilaksanakan untuk mencungkil bakat pelajar sekolah rendah dalam bidang seni, sekali gus menarik ramai lagi pengunjung ke program Bazar Ilmu DBP 2023. Kegiatan bahasa seperti Majalah Dalam Kelas (MDK), Bersahabat dengan Kamus (BdK), Jaguh Jawi dan Peraduan Teka Harga dan Berat Buku turut dijalankan bagi memeriahkan lagi program ini.

“Faktor sosial, geografi serta ekonomi tidak seharusnya dilihat sebagai alasan yang menjadi penghalang untuk kita mendapat akses kepada bahan rujukan yang baharu,” kata Timbalan Sektor Perancangan PPD Telupid/Tongod, Encik Jamain Bakut semasa ucapan aluan pada 9 Mei lalu.

Majlis Perasmian Penutupan Bazar Ilmu DBP 2023 di SK Pekan Telupid disempurnakan oleh Timbalan Pengarah 1, DBPCS, Encik Rusdi Awang. Turut hadir dalam majlis ialah Encik Jamain Bakut dan Guru Besar SK Pekan Telupid, Encik Dominic Nara.

Dalam perkembangan lain semasa majlis perasmian penutup semalam, Encik Rusdi berkata, “Kami merupakan badan yang menggalas tanggungjawab untuk memastikan seluruh lapisan masyarakat Sabah termasuk yang berada di kawasan luar bandar mendapat akses kepada bahan terbitan DBP melalui jualan berpusat seperti program Bazar Ilmu DBP ini.”

Turut hadir menzahirkan sokongan ialah Tuan Haji Berry T Marcus, Penolong Pegawai Pelajaran, PPD Beluran dan Tuan Sharif Syafawe Sharif Yunus.

Majlis Penutupan yang diadakan di Telupid dan Beluran diakhiri dengan penyerahan Wakaf Buku oleh Encik Rusdi sebagai simbol usaha merealisasikan negara sebagai negara membaca dan melahirkan masyarakat berilmu bertaraf dunia. Tiga buah sekolah yang terlibat di daerah Telupid ialah SK Telupid, SK Pekan Telupid dan SMK Telupid, manakala SK Pekan Beluran, SK Kolapis dan SMK Beluran di daerah Beluran.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.