15 Mei 2023, 11:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ayer Keroh, Melaka – Bersempena dengan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2023 yang berlangsung pada 14 – 16 Mei 2023, sebanyak 25 orang guru dinobatkan sebagai guru inspirasi dalam Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s 2023 yang berakhir hampir tengah hari tadi.

Majlis yang dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Melaka di Dewan A, Melaka International Trade Centre (MITC) ini dirasmikan oleh YB. Puan Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan Malaysia.

Selain YB. menteri, majlis ini turut dihadiri oleh YBhg. Dato’ Haji Pkharuddin Haji Ghazali, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, YBhg. Dato’ Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, dan YBrs. Hajah Melati Abdul Khai, Naib Presiden dan Ketua Pegawai Pemasaran McDonald’s Malaysia.

Semua pemenang akan menerima hadiah wang tunai berjumlah RM5000, sijil dan trofi yang diberikan oleh McDonald’s Malaysia.

Pada anugerah kali ini, McDonald’s Malaysia turut berbesar hati untuk menyumbangkan RM5000 untuk penambahbaikan bilik guru di sekolah guru yang memenangi anugerah ini.

Bagi menghargai pencalon yang gurunya menang pula, McDonald’s Malaysia menghadiahkan baucar McDonald bernilai RM500 dan sijil penghargaan kepada mereka.

YB. menteri ketika menyampaikan ucapan perasmiannya menyatakan bahawa setiap guru yang mengajar merupakan guru inspirasi kerana guru ini mempunyai nyala rasa yang cukup kuat untuk mendidik anak bangsa.

YB. Puan Fadhlina Sidek ketika menyampaikan ucapan perasmiannya.

Menurut YB. menteri lagi, guru yang menjadi inspirasi pada hari ini mempunyai kekuatan bukan sahaja dalam aspek mengajarkan ilmu, tetapi juga pendukung ekosistem pembinaan karakter pelajar.

YB. menteri percaya bahawa usaha seperti komitmen McDonald’s ini akan dapat diteruskan dalam ekosistem pendidikan negara untuk bersama-sama memastikan pendidikan negara serta kebajikan guru dan pelajar akan terus dimanfaatkan untuk generasi akan datang.

Dalam ucapan YBhg Dato’ Azmir Jaafar pula, beliau menegaskan tekad McDonald’s Malaysia untuk menjadikan golongan pendidik sebagai salah satu fokus inisiatif bagi program kemasyarakatan yang dijalankan kerana guru memainkan peranan yang cukup besar dalam mendidik anak bangsa yang bakal menerajui pucuk pimpinan negara pada masa hadapan.

YBhg. Dato’ Azmir Jaafar ketika menyampaikan ucapan alu-aluannya.

Oleh itu, Anugerah Inspirasi Guru McDonald’s yang telah diadakan sejak tahun 2017 sehingga kini merupakan bukti keutamaan McDonald’s untuk menjadikan kesejahteraan rakyat sebagai teras utama syarikat yang secara langsung menggalakkan orang ramai supaya turut menghargai jasa dan pengorbanan guru.

Tambah beliau lagi, sambutan terhadap anugerah ini telah menunjukkan peningkatan yang amat memberangsangkan apabila menerima 16 ribu pencalonan pada tahun 2023 berbanding dengan hanya 1000 pencalonan pada tahun 2017 yang membuktikan Malaysia mempunyai ramai guru yang menyentuh hati rakyat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.