15 Mei 2023, 20:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Baru-baru ini, akhbar melaporkan bahawa Menteri Ekonomi, YB Rafizi Ramli telah mengkritik pemilik restoran dalam isu inflasi. Beliau menyatakan bahawa walaupun harga bahan mentah makanan telah turun, kebanyakan pengusaha restoran masih enggan menurunkan harga makanan yang dijual. Oleh sebab itu, beliau menggesa pengguna untuk mengajar pemilik restoran yang “degil” dengan memboikot mana-mana restoran yang tidak menurunkan harga. Dengan cara tersebut beliau berharap pengusaha restoran terbabit terpaksa menurunkan harga dan dengan itu masalah inflasi dalam sektor restoran akan dapat diselesaikan.

Sebenarnya, pendekatan yang diambil oleh beliau untuk menyelesaikan masalah inflasi itu tidak berbeza secara umum daripada kaedah yang disarankan oleh kebanyakan pakar ekonomi, iaitu dengan mengurangkan permintaan agregat. Namun demikian, kaedah yang dilakukan oleh pembuat dasar kewangan di kebanyakan negara untuk tujuan ini adalah lebih berbentuk makro atau meluas dan tidak tertumpu hanya pada sektor restoran. Tindakan yang diambil oleh mereka adalah dengan menaikkan kadar bunga dalam pasaran kewangan. Di Malaysia, hal tersebut telah pun dilakukan, iaitu dengan menaikkan Kadar Dasar Semalaman atau Overnight  Policy Rate (OPR).

Apabila kadar bunga dinaikkan, maka kos pinjaman akan meningkat, sekali gus dapat mengurangkan permohonan pinjaman daripada industri perbankan. Namun begitu, peminjam sedia ada akan menghadapi bayaran bunga pinjaman yang semakin meningkat. Keadaan ini akan mengurangkan penggunaan dan permintaan agregat dalam sistem ekonomi dan mampu menurunkan kadar inflasi.

Kaedah menggunakan kadar bunga untuk mengawal inflasi berlaku berdasarkan hakikat bahawa industri perbankan adalah pembekal utama dana mata wang dalam sistem ekonomi negara, iaitu melalui pemberian hutang atau pinjaman. Apabila pinjaman berkurangan akibat kenaikan kadar bunga, consumption atau penggunaan akan menurun.

Walau bagaimanapun, hakikat yang mesti disedari oleh masyarakat ialah penurunan kadar penggunaan akan memberikan kesan negatif kepada banyak syarikat perniagaan serta sektor isi rumah, terutamanya syarikat perniagaan serta isi rumah yang mempunyai beban hutang yang tinggi. Sebagai contoh, sebuah restoran telah dibuka oleh seorang usahawan dengan menggunakan dana yang dipinjam dari bank. Kos yang ditanggung oleh usahawan tersebut bukan sahaja akan melibatkan bayaran pinjaman kepada bank, malah turut melibatkan kos utiliti, kos upah pekerja, kos sewaan dan pelbagai kos lain. Dalam kebanyakan kes, keuntungan dalam sektor restoran adalah sangat kecil kerana berlakunya persaingan yang sangat sengit. Oleh itu, mod operasi mereka adalah berbentuk kelangsungan semata-mata atau sekadar “cukup makan” sahaja, jauh sekali untuk mendapatkan keuntungan yang lumayan. Disebabkan keadaan tersebut, maka banyak restoran enggan menurunkan harga jualan walaupun harga bahan mentah didapati sudah menurun.

Jika jumlah pendapatan sektor restoran menurun, sama ada disebabkan oleh saranan Menteri Ekonomi untuk memboikot mereka, atau akibat daripada keadaan ekonomi yang semakin perlahan akibat kenaikan OPR, maka kemungkinan besar peniaga restoran akan menghadapi masalah kewangan yang meruncing dan gagal membayar pinjaman kepada bank. Disebabkan hal tersebut, pengusaha restoran terpaksa membuang pekerja atau memberhentikan terus operasi mereka. Bayangkan, apakah yang akan berlaku dalam ekonomi jika kes ini melibatkan ribuan restoran? Sudah tentu puluhan ribu orang pekerja dalam sektor ini akan kehilangan pekerjaan.

Rakyat juga perlu sedar bahawa aktiviti perniagaan dalam sesuatu sektor ekonomi  berhubung kait antara satu sama lain. Sebagai contoh, sektor perniagaan restoran perlu membeli bahan mentah daripada sektor pertanian, sektor peralatan restoran dan lain-lain. Oleh itu, penguncupan dalam sektor restoran akan memberikan kesan kepada sektor yang lain juga. Lambat laun sektor seperti pembinaan, perhotelan, pengangkutan dan lain-lain juga akan terkesan, terutamanya jika mereka juga terjejas akibat daripada kenaikan kadar OPR.

Sebenarnya keadaan turun dan naik permintaan dalam sistem ekonomi merupakan perkara biasa. Namun begitu, tahap kesan negatif yang dialami itu bergantung pada tahap hutang di negara tersebut. Sebagai contoh, jika kebanyakan  pengusaha restoran tidak bergantung pada hutang untuk menjalankan perniagaan, maka kejatuhan jumlah pengunjung tidak akan memberikan kesan yang teruk kepada mereka. Mereka masih boleh bertahan dan terus beroperasi walaupun keuntungan yang diperoleh semakin berkurangan. Jika kebanyakan restoran yang beroperasi di dalam negara bergantung pada hutang untuk meneruskan operasi, maka kejatuhan jumlah pelanggan boleh mengakibatkan berlakunya kemuflisan dan penutupan operasi secara total. Jika keadaan ini turut berlaku dalam sektor ekonomi yang lain, ramai pekerja akan kehilangan pekerjaan mereka. Akhirnya, krisis ekonomi yang teruk akan melanda negara tersebut.

Apabila negara menghadapi krisis ekonomi, kebiasaan yang sering berlaku termasuklah kerajaan akan berbelanja dengan banyak untuk merangsang ekonomi. Sebagai contoh, kerajaan akan memberikan subsidi kepada perniagaan atau memberikan bantuan kewangan secara langsung kepada keluarga yang terdesak. Oleh sebab kerajaan sendiri sudah kehabisan dana, maka sumber dana untuk melakukan rangsangan ekonomi  terpaksa diperoleh daripada dana yang dipinjam daripada industri kewangan. Hal ini bermakna hutang kerajaan akan bertambah lagi. Pada masa yang sama, sektor perbankan akan mencipta mata wang baharu untuk dipinjamkan kepada kerajaan. Langkah rangsangan ini akan “menaikkan semula” tahap penggunaan dalam ekonomi. Isi rumah yang kehabisan duit sebelum ini akan dapat berbelanja untuk membeli makanan sama ada dari pasar raya atau restoran.

Dalam keadaan jumlah keluaran oleh syarikat perniagaan didapati terhad akibat daripada krisis ekonomi dan pada masa yang sama banyak syarikat turut menghentikan operasi, permintaan yang meningkat ini akan mengakibatkan inflasi secara berulang. Kerajaan yang memerintah, sama ada yang baharu atau yang masih kekal berkuasa akan tertekan untuk menyelesaikan masalah inflasi ini.  Kemungkinan besar Menteri Ekonomi pada masa itu akan menyarankan sekali lagi agar isi rumah mengurangkan perbelanjaan di restoran untuk memaksa mereka mengurangkan harga. Maka berulanglah lagi kisah yang sama, walaupun kerajaan dan menteri mungkin sudah bertukar.

Sebagai rumusan, kenaikan harga atau inflasi merupakan perkara yang bersifat “semula jadi” dalam ekonomi yang diasaskan melalui sistem hutang. Tahap kesan buruk yang akan berlaku adalah bergantung pada tahap hutang dalam ekonomi negara. Jika tahap hutang adalah tinggi, maka kesan negatifnya sudah pasti lebih buruk berbanding dengan jika tahap hutang adalah rendah. Bahkan krisis ekonomi juga mungkin akan berlaku dan langkah untuk menyelesaikan masalah tersebut juga semakin bertambah rumit. Namun demikian, kitaran yang sama tetap berlaku. Yang lebih menyedihkan ialah golongan yang berpendapatan rendah akan semakin sengsara sementara golongan yang kaya, terutamanya pemilik industri perbankan akan semakin kaya.

Profesor Dr. Mohd Nazari Ismail, Profesor Kehormat, Fakulti Perniagaan dan Perakaunan Universiti Malaya.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.