15 Mei 2023, 11:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ayer Keroh, Melaka – Segala jasa dan pengorbanan guru dalam bidang pendidikan diiktiraf malam ini dalam pelbagai kategori anugerah pada Majlis Malam Anugerah Hari Guru 2023 bersempena dengan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2023 yang diadakan pada 14 – 16 Mei 2023.

Majlis yang dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Melaka ini mendapat kerjasama daripada Kerajaan Negeri Melaka sebagai penyumbang utama, selain mendapat rakan strategik daripada Yayasan Guru Tun Hussein Onn (YGTHO), Bank Simpanan Nasional (BSN), Bank Islam, dan Malaysian Airlines System (MAS).

Anugerah yang diadakan di Grand Ballroom, Melaka International Trade Centre (MITC) ini dihadiri oleh Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Menteri Pendidikan, YB Puan Fadhlina Sidek, dan Timbalan Menteri Pendidikan, YB Puan Lim Hui Ying.

Sebanyak empat kategori anugerah yang meliputi Anugerah Khas Pendidikan (6 anugerah), Anugerah Guru Inovatif (6 anugerah), Anugerah Guru Berwibawa (7 anugerah) dan Anugerah Guru lkon (9 anugerah) telah dimenangi oleh 28 orang guru terpilih.

Pada malam itu juga, turut disampaikan Anugerah Khas Menteri Pendidikan: Sekolah Citra Madani dan Anugerah #GuruJuaraDigital.

Menerusi anugerah ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berharap agar dapat memberikan semangat baharu kepada semua warga pendidik untuk lebih berusaha dalam melahirkan lebih ramai ilmuwan yang mampu menyumbang kepada masyarakat dan negara.

Semua anugerah ini ditaja oleh BSN selaku satu daripada rakan strategik sambutan Hari Guru pada tahun ini.

YB Puan Fadhlina Sidek dalam ucapannya memaklumkan bahawa selain anugerah yang dinyatakan ini, pihak KPM akan memberikan satu lagi anugerah khas kepada sebuah sekolah yang telah berjaya menghasilkan sebuah karya yang menggambarkan keprihatinan pendidik dalam membentuk generasi madani.

YB Puan Fadhlina Sidek dalam ucapannya menekankan keprihatinan pendidik untuk membentuk generasi madani.

Majlis anugerah ini merupakan suatu yang signifikan dalam dunia perguruan dan sebagai pembakar semangat untuk guru lebih mara ke hadapan.

Oleh itu, tidak hairanlah apabila YAB Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dalam ucapannya menyatakan bahawa peranan dan pengorbanan guru sepanjang mendidik anak bangsa wajar diberi pengiktirafan dan penghormatan.

Tambah YAB Datuk Seri lagi, guru merupakan insan yang diberi amanah dan tanggungjawab untuk melahirkan generasi yang bakal mewarisi kepimpinan untuk negara bergerak ke arah yang lebih maju dan mempertingkatkan pemikiran kerohanian dengan menyemai nilai murni.

YAB Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengingatkan guru untuk berusaha melahirkan generasi yang mempunyai nilai murni.

YAB Datuk Seri mengakui bahawa menjadi generasi pendidik pada masa ini sangat mencabar lebih-lebih lagi bidang pendidikan telah banyak berubah selari dengan transformasi dan tuntutan globalisasi.

Dalam majlis ini juga, YAB Datuk Seri mengumumkan bahawa negeri Melaka akan menjadi perintis  program kajian tokoh dengan memberikan hadiah yang lumayan kepada sekolah yang berjaya membuat kajian tentang nama tokoh yang ada.

Selain itu, YAB Datuk Seri menerusi kerajaan negeri Melaka akan memperkenalkan Anugerah Seri Melaka kepada anak negeri melaka yang berjaya menjadi tokoh pada peringkat tertinggi berasaskan persekolahan asal mereka.

Sebelum acara diteruskan dengan penyampaian anugerah Hari Guru ini, YAB Datuk Seri berbesar hati untuk menyampaikan cenderamata kepada guru yang pernah mendidiknya dengan penuh tegas di sekolah dahulu sehingga berjaya seperti saat ini.

YAB Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menghargai guru yang pernah mendidiknya.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.