19 Mei 2023, 08:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Era pendidikan global semakin berkembang pesat seiring dengan keperluan dan perkembangan tamadun dunia semasa. Secara kesinambungannya, era modenisasi ini sejajar dengan misi Malaysia MADANI yang memperlihatkan proses pendidikan di Malaysia terus berkembang secara fleksibel dan holistik di mana-mana sahaja dan pada setiap masa. Generasi Malaysia MADANI kini tidak mengenal status pendidikan dan latar belakang serta tidak lagi bergantung kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mendapatkan pengiktirafan pendidikan melalui Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) semata-mata, tetapi sudah mampu berdikari untuk belajar sepanjang hayat mengikut kemampuan dan minat masing-masing.

Pembelajaran sepanjang hayat (PSH) sebegini membolehkan sesiapa sahaja, termasuk orang dewasa dan warga emas menimba ilmu dan meluaskan pengalaman seumur hidup mereka. PSH juga diyakini berimpak besar terhadap generasi MADANI kerana dapat menambah baik kehidupan mereka melalui peningkatan kemahiran, pembangunan kerjaya dalam sesuatu bidang yang sedang diceburi, mahupun kerjaya baru pada masa akan datang.

Terkini, Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) melalui Teras ke-6, mensasarkan pembudayaan PSH individu melalui pemerolehan kemahiran baru, iaitu peningkatan kemahiran sedia ada dan pemerolehan faedah sosioekonomi. Oleh itu, kolaborasi pembudayaan PSH semakin digiatkan pelaksanaannya melalui pelbagai agensi bagi menjamin Malaysia MADANI menjadi seperti yang dihasratkan oleh Perdana Menteri, iaitu berupaya memartabatkan kegemilangan negara hingga ke persada dunia. Rentetannya, di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) turut aktif dilibatkan dalam misi pembudayaan PSH negara.

Sehingga kini, UMT telah berjaya meraih beribu peserta melalui kursus PSH seperti yang dilaporkan melalui Direktori Pembelajaran Sepanjang Hayat, KPT. Menariknya, data profil peserta sepanjang hayat di UMT menunjukkan peningkatan yang ketara bagi semua kumpulan (berumur 15 tahun ke atas, peserta profesional, dan bakal peserta sepanjang hayat) dari tahun ke tahun. Oleh itu, jelaslah bahawa UMT memiliki dedikasi terhadap PSH dengan menjana potensi diri insan secara berterusan agar aspek kompetensi kendiri, termasuklah pengetahuan, kemahiran dan nilai yang dipelajari berupaya dimanfaatkan kembali untuk pemerkasaan komuniti setempat.

Konsep dan Bentuk Program Pembelajaran Sepanjang Hayat  

UMT sentiasa memastikan aktiviti PSH yang dilaksanakannya adalah bertunjangkan kepada misi pendemokrasian pendidikan kebangsaan dan menepati rukun peradaban Malaysia MADANI dengan merangkumkan program pemerolehan pengetahuan, kemahiran dan kompetensi yang relevan di tempat kerja. Proses pendidikan berkenaan juga dipastikan berlaku secara berterusan dengan mewujudkan peluang kepada generasi muda dan dewasa untuk menyambung pembelajaran selepas tamat sistem persekolahan sebenar. Para peserta yang berminat bukan sahaja boleh mendaftar secara sepenuh masa tetapi juga secara sambilan. Realitinya, UMT bersedia membantu keseluruhan proses melengkapkan personalitali, sosial, dan pembangunan profesional sepanjang hayat individu demi keutuhan masyarakat MADANI yang progresif berteraskan ilmu pengetahuan.

Keseluruhannya, perancangan dan pelaksanaan pembelajaran PSH UMT secara sistematik berjaya melahirkan program yang holistik untuk peserta pada pelbagai peringkat umur sama ada secara formal, bukan formal mahupun tidak formal, antaranya:

  • Kursus Jangka Pendek

Program PSH jangka pendek yang dijalankan adalah berkonsepkan pembelajaran amali, kursus praktikal dan teori berdasarkan pengkhususan bidang. Contohnya, latihan akademik, praktikal, lawatan sambil belajar, seminar dan bengkel untuk lepasan sekolah dan lulusan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) atau Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS). Kursus jangka pendek UMT juga boleh diwujudkan secara berkredit atau tanpa kredit bagi pensijilan profesional secara separuh masa, peningkatan latihan dan perkhidmatan sedia ada kepada pekerja organisasi atau industri secara aktif. Sebagai contoh, UMT menawarkan kursus Micro-credential atau kursus yang dipecah kecil bagi mengiktiraf pemerolehan pengetahuan, kemahiran serta kecekapan peserta dalam bidang ilmu tertentu. Terkini, Micro-credential tersebut melibatkan penawaran tujuh kursus dengan 29 modul berkredit secara mikro kepada 700 peserta Akademi Bomba Wakaf Tapai, Terengganu. Kebiasaannya, kurikulum, lokasi dan jadual bagi kursus program jangka pendek sebegini ditetapkan berdasarkan kepada keperluan, permintaan dan kesesuaian majikan.

  •  Kursus Jangka Panjang 

Pelbagai kursus PSH yang diprogramkan sama ada di peringkat Diploma, Diploma Lanjutan, Sarjana Muda, dan Sarjana yang bersesuaian dengan program sedia ada di fakulti UMT boleh dipertimbangkan pelaksanaannya oleh pihak UMT. Tempoh Pembelajarannya adalah berdasarkan sistem semester yang diiktiraf oleh pihak Agensi Kelayakan Malaysia atau Malaysian Qualifications Agency (MQA). Di samping itu, kemasukan peserta kursus berkenaan juga dibenarkan sekiranya memiliki kelayakan STPM/Diploma/Matrikulasi Marikulasi. UMT turut menerima pelajar melalui saluran kemasukan secara Accreditation of Prior Experiential Learning  (APEL) A di samping kemasukan secara konvensional melalui Unit Pusat Universiti (UPU).

Impak Pembelajaran Sepanjang Hayat UMT

Antara beberapa impak PSH UMT adalah:

  1. UMT mempunyai reputasi sebagai sebuah platform PSH yang memfokuskan pembangunan kebolehan semula jadi individu sepenuhnya. Hal ini demikian kerana, UMT begitu proaktif dalam merealisasikan misinya sebagai pusat pembangunan sumber manusia, pusat kecemerlangan, rujukan, latihan pengembangan kemahiran teknikal, dan keusahawanan berasaskan Pembangunan Lestari ke-4 (SDG4). Hasilnya, generasi Malaysia MADANI berupaya meningkatkan kebijaksanaan mereka secara total. Sebagai contoh, pembudayaan ilmu yang berterusan berupaya mempengaruhi perubahan sikap yang berkualiti dan pembentukan tingkah laku baharu yang mampu menyelesaikan masalah, membawa perubahan drastik dan lebih bermakna dalam diri peserta.

 

  1. Pembelajaran sepanjang hayat di UMT mampu membuka minda pesertanya agar sentiasa berfikiran terbuka, kritis dan dahagakan ilmu. Pemikiran yang positif menjadi tunjang kepada pembentukan sahsiah diri yang seimbang dan sempurna, seterusnya membentuk masyarakat kompeten yang mampu menyumbang dalam Revolusi Perindustrian 4.0. Oleh itu, setiap orang digalakkan mengambil peluang terhadap kemajuan dan kemakmuran yang dinikmati dengan menyokong norma baharu anjakan paradigma dan perjuangan UMT dalam membudayakan ilmu di semua peringkat usia kerana belajar bukan lagi hanya untuk orang muda sahaja.

 

  1. UMT menyediakan lanskap yang efisyen untuk pembelajaran sepanjang hayat. Pelbagai aktiviti peningkatan kesedaran awam terhadap peripentingnya program PSH telah dipertingkatkan melalui aktiviti promosi melalui pelbagai mekanisme dan infrastruktur yang efisien. Di samping itu, UMT bertanggungjawab memberikan perkhidmatan kepada komuniti setempat dengan membudayakan Pembelajaran UMT melalui pendekatan pengajaran yang inovatif dengan melibatkan usaha sama di antara UMT, individu, agensi kerajaan dan swasta serta pihak industri yang berkaitan. Kolaborasi berkenaan menitikberatkan setiap aspek PSH termasuklah pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang terkini, pembangunan kurikulum, pentaksiran serta peperiksaan. Tujuan ini membolehkan penerapan pengetahuan, kemahiran, dan nilai tambah yang positif dalam diri setiap peserta secara strategik.

 

  1. Pembelajaran sepanjang hayat UMT membantu individu mengikut perkembangan dunia semasa dan bijak beradaptasi dengan perubahan. Pada masa ini, perkembangan sains dan teknologi menjadikan dunia semakin moden, kecil dan wujud tanpa sempadan. Oleh itu, UMT turut aktif dalam membimbing peserta PSH mereka agar sentiasa mendapat maklumat yang terkini dan mutakhir. Sebagai hasilnya, PSH UMT boleh dicapai hanya dengan satu sentuhan jari. Gobalisasi komunikasi dalam pembelajaran sebegini semakin merangsang minat peserta terhadap pembelajaran sepanjang hayat UMT. Malah, pembangunan bahan pembelajaran dan aktiviti membudayakan pembelajaran sepanjang hayat dalam konteks penggunan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) sering ditekankan oleh UMT bagi tujuan peluasan akses masyarakat terhadap pembelajaran sepanjang hayat. Misalnya, kewujudan laman web, e-pembelajaran dan pembelajaran jarak jauh menjadikan PSH UMT lebih berpatutan dan fleksibel kerana peserta dapat belajar secara maya tanpa perlu menghadiri kelas sepanjang masa secara fizikal.

 

  1. UMT boleh membimbing seseorang untuk memperkaya pengalaman hidup melalui PSH. Konsep pembelajaran sepanjang hayat UMT amat relevan dengan pasaran kerja yang kompetitif, seiring dengan pembangunan ekonomi, teknologi dan peningkatan kompetensi. Pastinya, pendekatan pembelajaran sepanjang hayat UMT sentiasa fleksibel dan dikemas kini berdasarkan perubahan sosioekonomi dan kehendak majikan. Contohnya, program PSH dapat memberikan impka kerana mengiktiraf pembelajaran pengalaman terdahulu dan membekalkan pengalaman baharu demi memperkasakan kebolehpasaran individu agar sentiasa berevolusi dengan transformasi dunia semasa.

 

 

  1. UMT memastikan pembelajaran sepanjang hayat sentiasa dinamik, membawa kepada pemantapan kerjaya masa hadapan dan memperkasakan keperibadian individu. Pembelajaran sepanjang hayat boleh menerapkan elemen kreatif, inisiatif dan responsif dalam diri seseorang yang mana mereka berupaya menunjukkan kebolehan untuk menyesuaikan diri dalam pelbagai situasi termasuk di tempat kerja. Kemahiran tersebut dapat digunakan untuk menangani perubahan, berkomunikasi dengan efektif dan mengurus konflik dengan baik. Malah, UMT memastikan PSH yang dikendalikan berpaksikan pendemokrasian pendidikan ke arah mengupayakan generasi MADANI agar mereka tidak tercicir dan sentiasa progresif dalam menjayakan proses pembangunan dan kemajuan negara. Oleh itu, UMT memastikan program PSHnya perlu bersifat terbuka dan fleksibel, yang mana peluang ini dapat dinikmati oleh mereka yang ingin belajar mengikut tahap kemahiran masing-masing termasuklah golongan dewasa yang bekerja, suri rumah dan warga emas yang tidak memiliki sijil formal.

 

  1. Pembelajaran sepanjang hayat memastikan UMT terlibat sebagai agen aktif kemasyarakatan. Contohnya, UMT sentiasa positif dalam menyediakan peluang kedua atau pembelajaran sepanjang hayat yang memenuhi keperluan masyarakat, sektor industri serta pihak swasta. Ini bermakna, UMT berfungsi mewujudkan keadaan di mana setiap lapisan masyarakat melibatkan diri secara langsung atau tidak secara langsung dengan aktiviti keilmuan secara komprehensif. Dalam konteks ini, UMT telah dan sentiasa berusaha mengambil langkah proaktif dalam memperkasakan pembudayaan ilmu dalam kalangan masyarakat. Implikasinya, masyarakat dapat diperkukuh menjadi komuniti intelek yang gah, memiliki jaringan sosial yang luas dan mampan.

Kesimpulannya, UMT menggerakkan variasi aktiviti pembelajaran sepanjang hayat selari dengan Wawasan Malaysia MADANI, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 dan Pelan Induk Pembudayaan Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) kebangsaan. Justeru, pembangunan modal insan berminda kelas pertama telah dijadikan satu daripada teras utama ke arah mencapai matlamat yang dihasratkan. Pengembangan pendidikan PSH UMT sebagai budaya dan cara hidup sentiasa dimantapkan secara komprehensif bagi melahirkan modal insan yang berkualiti dan berminda kelas pertama melalui program pendidikan jarak jauh, dalam talian, pembelajaran di tempat kerja dan separuh masa. Aktiviti pembudayaan ini sangat penting dalam memberikan kesan secara langsung kepada output pembangunan modal insan negara selaras dengan keperluan ekonomi berasaskan pengetahuan dan inovasi negara sehingga ke peringkat global.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.