Oleh Safinah Saupi
26 Mei 2023, 18:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jaringan strategik merupakan bentuk kerjasama yang boleh dimanfaatkan oleh industri, khususnya gerakan koperasi sebagai sektor ataupun industri ketiga negara dalam usaha memperkukuh keupayaan. Rakan strategik yang boleh dimanfaatkan antaranya termasuklah universiti, agensi kerajaan, badan berkanun, syarikat swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta badan bukan kerajaan.

Salah satu bentuk kerjasama strategik yang kebiasaannya dijalankan oleh universiti dan industri melibatkan penempatan pelajar untuk latihan industri. Hal ini merupakan satu usaha untuk melahirkan graduan berpengetahuan, berinovatif serta mempunyai kebolehan kognitif tinggi dan dapat mengaplikasikan ilmu dalam dunia pekerjaan sebenar. Hal ini selaras dengan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) yang meletakkan kebolehpasaran graduan sebagai agenda kritikal yang perlu dilaksanakan supaya mencapai sasaran yang telah ditetapkan, iaitu sekurang-kurangnya 75 peratus graduan akan memperoleh pekerjaan yang sesuai dengan kelayakannya dalam tempoh enam bulan setelah menamatkan pengajian.

Selain penempatan latihan industri, antara kerjasama yang boleh dijalankan melalui jaringan strategik ini termasuklah bengkel dan seminar kepakaran, ceramah motivasi, lawatan ke pusat industri dan latihan praktikal di industri, program sangkutan atau peminjaman kepakaran kakitangan fakulti ke industri dan sebaliknya, sangkutan pelajar, kakitangan fakulti sebagai penceramah atau jurulatih oleh pihak industri atau agensi kerajaan, perundingan, penyelidikan, khidmat profesional, aktiviti tanggungjawab sosial, kepakaran, penajaan sepert kemudahan, ruang rehat, dan lain-lain (industri dibenarkan meletakkan nama syarikat pada alat yang ditaja), serta biasiswa ataupun tajaan pelajar.

Bagi memperoleh keupayaan dan mentransformasikan kepakaran universiti khususnya dalam bidang kemahiran keusahawanan kepada gerakan koperasi, ANGKASA telah mengambil inisiatif menubuhkan ANGKASA-UMK Research Academy (AURA) pada tahun 2020 dengan matlamat utama untuk menjadikan AURA sebagai pusat rujukan dan kecemerlangan koperasi. Sebagai pusat kecemerlangan, AURA akan menjadi pusat pengembangan ilmu koperasi yang menggabungkan kepakaran dan kemahiran yang asli dan rintis bagi memberikan kepimpinan ilmu dalam bentuk penggubalan dasar dan inovasi yang memberi impak kepada kemajuan dan kelestarian koperasi di negara ini. Usaha ini penting agar gerakan koperasi di negara ini relevan dengan keadaan semasa dan dapat memberikan sumbangan yang berkesan kepada pembangunan masyarakat, komuniti dan negara di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Penubuhan AURA penting untuk pembangunan koperasi khususnya dalam bidang kepimpinan, keusahawanan dan penyelidikan selaras dengan aspirasi nasional untuk memperkasakan lagi kerjasama strategik antara industri dan institusi pendidikan tinggi dalam pembangunan sosioekonomi negara. Kajian dalam bidang koperasi masih banyak yang belum diterokai sepenuhnya dan memerlukan kepakaran dan kerjasama daripada pihak universiti dan penyelidik profesional. Oleh hal yang demikian, melalui AURA kepakaran Universiti Malaysia Kelantan (UMK) sebagai universiti keusahawanan negara akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk tujuan ini.

Di pihak universiti pula, penubuhan AURA dapat meningkatkan sumbangan UMK dalam penyelidikan dan pendidikan khususnya keusahawanan koperasi sebagai satu daripada cabang keusahawanan sosial yang menjadi tonggak kegiatan akademik terutama penyelidikan dan inovasi. Sejajar dengan hal tersebut, AURA sedang bergerak ke arah untuk mencapai tahap yang disasarkan, melalui fungsi yang dijalankan antaranya dengan meningkatkan penyelidikan dalam bidang-bidang terpilih koperasi yang diperlukan masa kini.

Melalui penajaan pendidikan, ANGKASA mengambil inisiatif dengan menaja tiga orang pelajar menyambung pengajian di peringkat doktor falsafah di UMK dalam bidang yang mempunyai kepentingan untuk ANGKASA dan gerakan koperasi. Selain itu, buat masa sekarang AURA sedang mengadakan perbincangan lebih lanjut bersama pihak UMK untuk melaksanakan kajian kes mengenai koperasi kariah masjid. Kajian ini, dijalankan melalui kerjasama antara AURA dan ANGKASA. Usaha ini dilakukan bagi meningkatkan lagi kajian dalam bidang koperasi yang mana penemuannya boleh digunakan untuk pembangunan koperasi dengan lebih berkesan pada masa hadapan.

Di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, pihak AURA telah menghantar cadangan- permohonan penyelidikan ke beberapa buah universiti seperti Universiti Kebangsaan Malaysia, Universitas Mercu Buana, Jogjakarta Indonesia dan Kementerian Pendidikan Tinggi untuk mendapat geran penyelidikan bagi mewujudkan jaringan atau kolaborasi penyelidikan sama ada di peringkat kebangsaan dan antarabangsa dengan memberikan fokus terhadap kerjasama penyelidikan di peringkat negara ASEAN.

Penyelidikan merupakan kriteria utama yang perlu dipenuhi AURA dalam meletakkannya sebagai pusat kecemerlangan koperasi dengan mempunyai kepakaran penyelidikan multi-disiplin dalam bidang koperasi yang dikenal pasti ANGKASA/AURA yang berkualiti tinggi, beriltizam dan berterusan. Dalam konteks ini, gandingan industri (ANGKASA/koperasi), universiti (UMK) dan agensi (Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) / Institut Koperasi Malaysia (IKMa)) mampu memberikan impak besar kepada penemuan-penemuan baharu yang boleh memberikan kesan besar kepada kemajuan dan perubahan landskap gerakan koperasi negara ini.

AURA akan mempergiat usaha penyelidikan dalam bidang koperasi yang menjadi teras utama dan berusaha mendapatkan geran-geran yang lebih baik pada masa hadapan bagi menampung segala kos pentadbiran di samping menjana pendapatan. Geran-geran berfokuskan sumber tertentu seperti kerajaan, agensi di dalam dan luar negara bagi menjayakan program penyelidikan. Fokus penyelidikan pada bidang yang ada kewajaran untuk gerakan koperasi, masyarakat dan negara serta boleh dikomersialkan bagi menjana pendapatan AURA.

Melalui AURA, ANGKASA telah berjaya memperoleh geran di bawah Program Penjana KPT-CAP (Career Advancement Programme) di bawah Kementerian Pengajian Tinggi untuk melatih 50 orang lepasan graduan UMK yang belum mendapat pekerjaan sebagai usahawan koperasi dan dianugerahkan Sijil Pengurusan Profesional Koperasi. Program selama seminggu ini, bertujuan menyediakan peserta yang mempunyai kompetensi sebagai usahawan koperasi berdaya saing dan inovasi.

Kompetensi yang berkualiti ini membawa ke arah kelestarian koperasi sebagai pemacu kepada ekonomi masyarakat setempat, malahan menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara. Hal ini selari dengan Pelan transformasi Koperasi Malaysia 2021-2025 (TransKom) yang menjadi paksi transformasi kepada gerakan koperasi di Malaysia yang menggariskan sebanyak lima bidang tujahan, 20 langkah strategik dan 36 program serta aktiviti ke arah koperasi yang lebih progresif dan berdaya saing. Pelan ini juga dirangka selari dengan Wawasan Kemakmuran Bersama agar dapat memperhebat peranan koperasi sebagai institusi yang dapat memberikan nilai tambah kepada aktiviti perekonomian dan pada yang sama memenuhi keperluan anggota.

Bagi memastikan program ini memenuhi objektif yang dicadangkan, kaedah pelaksanaan program ini menggabungkan pendekatan seperti Latihan Keusahawanan dan Inovasi, Bimbingan (Coaching), Pembelajaran Keusahawanan Berasaskan Pengalaman (Experiential Entrepreneurial Learning–mempraktikkan perniagaan). Program ini akan menggunakan kaedah R (reflection), E (enterprise), M (Managing Enterprise), O (Operation), D (Development Enterprise), dan E (Evaluation and sustainability) atau dikenali sebagai REMODE.

Dari segi kepimpinan dan kelestarian modal insan, AURA telah mengenal pasti kepimpinan dan ahli penyelidik yang akan berada di pusat kecemerlangan ini sama ada daripada pihak UMK, ANGKASA, IKMa dan pihak luar. Bagi kepimpinan, AURA telah pun diterajui oleh pengurusan tertinggi ANGKASA dan UMK yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing bersesuaian dengan keperluan koperasi. AURA yang beribu pejabat di UMK, Pengkalan Chepa  juga mempunyai pengarah, dua orang felow bersekutu dan tiga orang pembantu tadbir. UMK telah mewujudkan pejabat AURA yang telah beroperasi sepenuhnya.

Selain menjalankan fungsi penyelidikan bidang koperasi, AURA juga akan menyediakan platform kepada pengurusan ANGKASA dan agensi pembangunan koperasi untuk melanjutkan pelajaran di peringkat PhD dalam bidang koperasi; melaksanakan latihan yang berkaitan kepimpinan, keusahawanan dan inovasi koperasi; melaksanakan program ‘Training of Trainers (TOT) untuk pegawai ANGKASA dalam bidang keusahawanan dan inovasi; sebagai perunding kepada ANGKASA untuk bidang keusahawanan koperasi dan pembangunan data raya sektor koperasi; menganjurkan seminar dan konvensyen bertaraf nasional dan antarabangsa berkaitan keusahawanan koperasi; dan lain-lain program atau projek yang ditentukan dari semasa ke semasa.

Pada masa ini, ANGKASA telah menaja tiga orang ahli pengurusan menyambung pengajian di peringkat PhD dalam bidang koperasi. Atas dasar menyokong usaha Kementerian Pengajian Tinggi dan universiti dalam pembangunan modal insan negara, ANGKASA telah membuka pintu kepada pelajar universiti dalam pelbagai bidang untuk menjalani latihan industri. Setiap tahun, 100 tempat disediakan untuk pelajar menjalani latihan industri.

Menjadi harapan AURA untuk muncul sebagai pusat kecemerlangan koperasi yang unggul berteraskan penyelidikan dan berfungsi sebagai pemangkin kelestarian gerakan koperasi di negara ini.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.