27 Mei 2023, 18:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada hari ini menganjurkan program Syarahan Umum yang membincangkan tajuk “Professional and Non-Professional Translation and Interpreting” oleh Pengerusi Multilingualisme dan Komunikasi, Heriot-Watt University, United Kingdom, Profesor Claudia V. Angelelli, pagi ini di Balai Seminar Tun Dr. Hamdan Sheikh Tahir, Aras 6, Wisma DBP.

Turut bersama-sama dalam program ini ialah Ketua Unit Bahasa Asing dan Terjemahan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Dr. Mohamad Zain Sulaiman yang bertindak selaku moderator program.

Menurut Profesor Claudia V. Angelelli, profesional adalah berkaitan dengan sesuatu profesion dan hanya layak atau sesuai dengan orang yang profesional, cekap, berkemahiran dan berketerampilan.

Seseorang itu dikatakan profesional jika beliau terlibat dalam bidang pekerjaan dan memperoleh prestasi atau hasil daripada pekerjaan tersebut. Hal ini termasuklah dalam bidang penterjemahan.

Jelasnya, profesional hanya boleh digunakan untuk bidang pekerjaan tertentu yang juga merujuk standard pendidikan ahlinya dalam dunia profesion atau pekerjaan.

 

Pengerusi Multilingualisme dan Komunikasi, Heriot-Watt University, United Kingdom, Profesor Claudia V. Angelelli yang menyampaikan perkongsian yang bertajuk “Professional and Non-Professional Translation and Interpreting” di Balai Seminar Tun Dr. Hamdan Sheikh Tahir, Aras 6, Wisma DBP, pagi ini.

“Menyentuh perihal penterjemahan, dunia hari ini yang pesat dengan perkembangan teknologi maklumat dan teknologi telah meningkatkan keupayaan pengguna bahasa yang pelbagai untuk berkomunikasi dari jarak jauh. Oleh hal yang demikian, keperluan terjemahan, tafsiran dan pengantaraan berbantukan manusia atau mesin juga semakin meningkat seiring dengan permintaan ini,” terangnya lagi.

Beliau juga berkongsikan bahawa seseorang yang profesional merupakan anggota atau ahli yang berdaftar dengan badan profesional masing-masing. Individu yang profesional juga menggambarkan standard pendidikan dan latihan yang diperoleh di samping berkongsi akan etika dan amalan profesional yang tersendiri.

Profesionalisme bukanlah nilai korporat sejagat, sebaliknya tahap kecekapan dan kebertanggungjawaban ini merupakan amalan sosial yang terikat dengan sempadan budaya dan pertimbangan moral dalam kehidupan masyarakat.

Persempadanan budaya inilah yang mempengaruhi penterjemah dan jurubahasa dari segi etika profesional, pemahaman dari segi tugas dan tanggungjawab yang perlu diikuti dan dihindari serta persepsi terhadap kualiti kerja yang dihasilkan.

Mengakhiri syarahan, beliau menyarankan agar penterjemah dan jurubahasa melibatkan diri dalam pelbagai disiplin ilmu.

“Aktiviti penterjemahan yang membawa konsep dan makna yang sama mempunyai cabaran yang tertentu kerana disiplin ilmu yang berbeza mungkin tidak mendukung fungsi yang sama. Namun begitu, penterjemahan dan pentafsiran sesuatu maklumat mampu menjadi jambatan yang menghubungkan pelbagai komuniti pertuturan,” terangnya.

Dalam program ini juga, Profesor Claudia V. Angelelli turut berkongsikan beberapa dapatan kajian beliau yang berkaitan dengan multilinguisme dalam amalan penjagaan kesihatan.

Pada akhir sesi perkongsian buah fikiran ini, Presiden Persatuan Penterjemah Malaysia, Profesor Emeritus Dr. Abdullah Hasan menyampaikan cenderamata kepada Profesor Claudia V. Angelelli.

Profesor Emeritus Dr. Abdullah Hasan menyampaikan cenderamata kepada Profesor Claudia V. Angelelli.

Sesi penyampaian buah fikiran ini merupakan kesinambungan daripada Persidangan Antarabangsa Penterjemahan yang ke-19 yang telah berlangsung pada 24 Mei hingga 26 Mei 2023 di Hotel Swiss-Garden, Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.