Oleh Lutfi Zahid
30 Mei 2023, 13:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Seminar Fikrah Siddiq Fadzil yang membawa tema “Citra Budaya dan Peradaban Bangsa Malaysia” telah dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri pagi tadi. Seminar yang julung kali diadakan itu berlangsung pada 30 hingga 31 Mei 2023 di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP.

YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, yang merupakan sahabat karib Almarhum Profesor Dato’ Dr. Siddiq Fadzil, menyatakan bahawa pemikiran tokoh ilmuwan tersohor itu sangat relevan dengan keperluan untuk mengangkat masyarakat Madani pada masa ini. Bagi YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Almarhum Profesor Dato’ Dr. Siddiq Fadzil merupakan seorang tokoh yang kuat berkakar kepada budaya Melayu, petah berbicara dalam bahasa Melayu, mendalami agama Islam, dan terbuka luas mindanya yang tidak terperangkap dengan pemikiran sempit perkauman atau jumud dalam kefahaman agama.

Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri, menyampaikan ucapatama dalam Seminar Fikrah Siddiq Fadzil “Citra Budaya dan Peradaban Bangsa Malaysia”.

“Manusiawi itu tidak mampu dibentuk hanya dengan kerangka teknologi, sains dan digital, tetapi perlu dibentuk dengan bahasa dan budaya. Walaupun ada pandangan serong yang menganggap bahawa seni, sastera dan budaya itu tidak relevan, kita tidak menerima pandangan cetek sedemikian kerana pemikiran dan kebudayaan itu mengangkat peradaban budaya. Dalam hal ini, saya berasa bimbang kerana minat dan kecenderungan ke arah ini tidak ada, terutamanya dalam kalangan anak muda,” ujar YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam ucaptamanya.

Tambah beliau lagi, adalah menjadi kerugian bagi masyarakat, khususnya generasi muda, jika tidak berpeluang merasai “kelazatan” keilmuan dan kebahasaan. Oleh sebab itu, buku-buku yang dihasilkan, terutamanya yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa Pustaka (DBP), sewajarnya dibincangkan dan diwacanakan di sekolah dan pusat pengajian tinggi.

Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri, merasmikan Seminar Fikrah Siddiq Fadzil “Citra Budaya dan Peradaban Bangsa Malaysia”.

“Saya telah berikan dukungan yang cukup kuat kepada DBP, termasuklah dalam kegiatan dan penerbitannya. Kita mahu lihat pada masa akan datang DBP kembali menjadi gedung budaya yang hebat. Saya beri jaminan untuk mengangkat dan menyempurnakan semangat addabani rabbi fa ahsana ta’dibi (Tuhanku telah mendidikku, sehingga menjadikan baik pendidikanku),” kata YAB Perdana Menteri.

Yang Berhormat Senator Datuk Seri Dr. Haji Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP menyampaikan ucapan dalam Seminar Fikrah Siddiq Fadzil “Citra Budaya dan Peradaban Bangsa Malaysia”.

Yang Berhormat (YB) Senator Datuk Seri Dr. Haji Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP dalam ucapannya menyatakan bahawa Almarhum Profesor Dato’ Dr. Siddiq Fadzil merupakan seorang tokoh yang bergerak cergas dan aktif dalam mengangkat fikrah dan dakwah di negara ini, bersama-sama YAB Perdana Menteri. Antara sumbangan besar Almarhum Profesor Dato’ Dr. Siddiq Fadzil yang kurang disedari oleh masyarakat termasuklah memulakan kuliah Tafsir Maudhu’i di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP ini sejak tahun 1998 yang berterusan sehingga siri ke-78.

“Kita harus beri penghargaan yang tinggi kepada Almarhum Profesor Dato’ Dr. Siddiq Fadzil dan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim kerana mereka telah membawa suatu pemikiran dan hala tuju dalam membentuk negara yang berteraskan budaya ilmu dan pemikiran,” kata YB Senator Datuk Seri Dr. Haji Awang Sariyan.

Turut hadir majlis perasmian Seminar Fikrah Siddiq Fadzil “Citra Budaya dan Peradaban Bangsa Malaysia” ialah YB Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan, Dato’ Haji Pkharuddin Haji Ghazali, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Dato’ Ahmad Azam Ab Rahman, Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), dan Profesor Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman, Presiden dan Naib Canselor Universiti Selangor.

Foto: Khairul Azhar Baharuddin, DBP

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.