30 Mei 2023, 18:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Isu kemalangan maut di laluan berhampiran Terowong Menora seakan-akan tidak menemui titik pengakhiran apabila laluan tersebut dikatakan sebagai “laluan panas’ yang sering menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya. Hampir setiap tahun, ada sahaja kemalangan maut yang membabitkan kenderaan berat seperti treler, lori dan bas ekspres dilaporkan berlaku di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) berhampiran dengan terowong tersebut.

Pada 11 Mei 2022 lalu, negara digemparkan dengan kemalangan maut membabitkan tiga buah kenderaan di KM246 PLUS arah utara di laluan berhampiran Terowong Menora kira-kira pukul 12.52 tengah malam. Nahas tragik itu mengakibatkan sebuah kereta Honda City yang dinaiki oleh lima pelajar lelaki Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) itu terbakar manakala dua lagi pemandu treler tidak mengalami kecederaan yang serius. Kelima-lima pelajar tersebut rentung dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Siasatan awal yang dilakukan oleh pihak polis mendapati punca nahas tersebut berlaku disebabkan oleh treler membawa muatan besi pagar merempuh bahagian belakang kereta yang dinaiki oleh lima orang pelajar USAS apabila treler yang membawa muatan jubin datang dari arah selatan menghala ke utara sedang memandu di lorong kanan disebabkan lorong kiri laluan lebuhraya ditutup bagi kerja-kerja penyelenggaraan jalan dilakukan. Treler yang membawa besi pagar tersebut tidak sempat membrek kenderaannya apabila kereta Honda yang dinaiki oleh lima orang pelajar USAS tersebut memperlahankan kenderaan. Hal ini menyebabkan kereta tersebut telah diseret oleh treler membawa besi pagar yang berada di belakang kenderaan mereka sehingga melanggar bahagian belakang treler bermuatan jubin.

Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya bergegas ke lokasi nahas apabila menerima laporan kemalangan kira-kira pukul 1.45 pagi. Pihak polis juga telah menahan seorang pemandu treler yang berusia 28 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Beliau juga memberitahu, pemandu treler yang berusia 28 tahun tersebut mempunyai 22 kes saman yang telah dijelaskan atas pelbagai kesalahan trafik dengan lapan saman membabitkan kesalahan pandu laju. Namun begitu, ujian saringan air kencing yang telah dilakukan ke atas suspek menunjukkan hasil negatif.

Kemalangan maut yang melibatkan kenderaan berat di laluan panas lebuhraya berhampiran dengan Terowong Menora ini bukanlah pertama kali berlaku dalam sejarah di laluan berkenaan. Sebaliknya, telah banyak kemalangan jalan raya yang meragut nyawa telah berlaku di lokasi yang sama. Menurut statistik oleh Kementerian Pengangkutan sepanjang tahun 2018, sebanyak 564 kes kemalangan jalan raya telah dicatatkan di Terowong Menora. Daripada jumlah tersebut, tujuh daripadanya adalah kemalangan maut yang setakat ini telah menyebabkan 11 nyawa terkorban di lokasi kejadian. Laluan tersebut yang merupakan pakej Projek Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) adalah lebuh raya sepanjang 55 kilometer yang menghubungkan Ipoh ke Changkat Jering. Lebuh raya tersebut juga merupakan lebuh raya kedua di Perak yang dikenakan bayaran tol selepas laluan antara Slim River ke Tanjung Malim.

Terowong Menora sepanjang 55 kilometer itu telah dirasmikan oleh Sultan Perak ketika itu, Almarhum Sultan Azlan Muhibuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Yusuf Izzuddin Ghafarullahu-lahu Shah pada 24 September 1987. Perasmian tersebut dilakukan semasa pembukaan lebuhraya Ipoh ke Changkat Jering. Projek lebuhraya yang telah beroperasi selama 35 tahun tersebut menelan kos perbelanjaan sebanyak RM360 juta dan pembinaannya memberikan manfaat kepada pengguna lebuh raya dengan memendekkan perjalanan dari Utara ke selatan dengan jarak sejauh 30 kilometer sahaja.

Pada tahun 2018, terdapat juga satu kemalangan maut yang berlaku di laluan Terowong Menora dan menyebabkan lima sekeluarga rentung setelah kenderaan yang dinaiki oleh mereka bertembung dengan sebuah treler. Kemalangan maut yang mengorbankan lima sekeluarga tersebut mendapat maklum balas daripada kerajaan negeri Perak apabila menegaskan bahawa mereka bakal mengkaji pelbagai cadangan penambahbaikan yang perlu dilaksanakan di laluan terowong tersebut bagi mengelakkan lagi nahas berdarah berlaku. Persoalannya adakah laluan baharu tersebut masih dikaji sehingga ke hari ini? Lima tahun telah berlalu, namun hingga kini masih berlaku kemalangan maut di lokasi yang sama. Apakah tindakan susulan yang dilakukan oleh kerajaan negeri  bagi mengurangkan risiko kemalangan maut daripada terus berlaku?

Susulan kemalangan tersebut, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan Kerjasama PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dikatakan akan menambah dan memasang empat kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) dengan had laju 70km/j berhampiran Terowong Menora dari kedua-dua arah sebagai usaha meminimumkan kadar kemalangan. Walau bagaimanapun, sehingga ke  hari ini Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak menegaskan bahawa pihak mereka masih belum dimaklumkan mengenai tarikh sebenar penguatkuasaan operasi empat kamera tersebut.

Bentuk muka bumi di banjaran Keledang yang tidak rata menyebabkan Terowong Menora mempunyai permukaan infrastruktur jalan yang berselekoh tajam dan agak curam ke bawah sehingga digelar sebagai jajaran maut. Infrastruktur jalan yang merbahaya inilah menyebabkan banyak kenderaan berat seperti lori, treler dan bas terbabas apabila brek kenderaan tiba-tiba tidak berfungsi dan hilang kawalan sebelum berlakunya kemalangan. Oleh itu, pengguna lebuhraya dinasihatkan untuk menggunakan gear rendah dan memperlahankan kenderaan mereka kerana lebuhraya tersebut curam ke bawah bagi kedua-dua arah Utara mahupun Selatan.

Bagi mengurangkan risiko kemalangan berulang di lokasi yang sama, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) perlulah mengembleng tenaga bekerjasama dengan Kerjasama PLUS Malaysia Berhad (PLUS) untuk menggiatkan pemeriksaan dan pemantauan yang lebih kerap terutamanya di kawasan panas kemalangan. Pihak lebuhraya PLUS haruslah menggiatkan rondaan bagi memastikan semua kenderaan mematuhi had laju yang ditetapkan di samping memperbanyak lagi Speed Trap Camera. Pihak JPJ haruslah menggiatkan operasi Ops Selamat dengan melakukan sekatan jalan raya bagi memeriksa kenderaan berat yang telah berusia, kenderaan berat yang tidak melebihi muatan dan pemandu bebas dadah atau alkohol.

Seterusnya, kerajaan Perak seharusnya mewajibkan kenderaan berat terutamanya treler yang mempunyai muatan penuh untuk menggunakan laluan lama ke Kuala Kangsar bagi mengurangkan kadar kemalangan yang berpunca daripada kenderaan berat. Hal ini berikutan struktur lebuh raya yang curam ke bawah menyebabkan kenderaan berat seperti treler, bas dan lori kadangkala hilang kawalan apabila menuruni bukit. Mengikut hukum fizik, Kenderaan berat mempunyai jisim besar dan memiliki momentum yang tinggi terutamanya ketika menaiki bukit. Lalu, apabila kenderaan berat ini menuruni bukit curam, kenderaan berat tersebut mempunyai inersia yang besar. Inersia merupakan kecenderungan objek untuk kekal pegun dan menentang sebarang perubahan apabila daya dikenakan di atasnya. Inersia besar yang terdapat pada kenderaan berat ini akan menyebabkan kenderaan berat tersebut lebih mudah untuk hilang kawalan dan sukar untuk berhenti dalam jangka masa yang singkat. Oleh itu, bagi meminimumkan kes kemalangan di Terowong Menora pihak berwajib sewajarnya mengenakan larangan bagi menghalang kenderaan berat menggunakan lebuh raya tersebut sebaliknya menyarankan mereka supaya menggunakan laluan lama sebagai laluan alternatif.

Dalam kes ini, langkah yang sewajarnya perlu dilakukan demi mengelakkan hal yang sama terus berulang. Jangan nanti, sudah terhantuk baru hendak tengadah. Oleh sebab itu, kerajaan negeri perlu memikirkan inisiatif baharu bagi mengurangkan kadar kemalangan maut di Terowong Menora. Pengguna lebuh raya juga dinasihatkan untuk sentiasa menguji kecekapan brek kenderaan, mematuhi had kelajuan yang telah ditetapkan, selain mengelakkan diri daripada memotong dan memecut jika tidak perlu berbuat demikian.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.