Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangCyberjaya – Bengkel Penulisan Makalah Popular berjaya dilaksanakan dengan jayanya di Dewan Serba Guna, Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) siang tadi.
Bengkel selama satu hari yang berakhir pada petang tadi ini dianjurkan oleh IPGM dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Sebanyak tiga orang penceramah diundang untuk mengisi slot yang direncanakan dalam bengkel ini, iaitu YBrs. Dr. Rosmani Omar, Ketua Editor Bahagian Majalah; Encik Mohd Syukri Anwar, Editor Kanan Bahagian Majalah; dan Puan Mazfarina Marzuki, Pegawai Kanan Bahagian Harta Intelek.
Tujuan bengkel ini diadakan adalah untuk memberikan pendedahan kepada peserta tentang peluang penulisan yang terdapat di DBP.
Hampir 30 orang yang terdiri daripada kakitangan IPGM dan kampus Institut Pendidikan Guru (IPG) di sekitar Lembah Klang hadir sebagai peserta.
Menerusi bengkel ini, YBrs. Dr. Rosmani Omar menerangkan tentang peluang penerbitan di DBP yang melibatkan pelbagai bahagian terutamanya di Jabatan Penerbitan di samping proses kerja yang terlibat.
Seterusnya, Encik Mohd Syukri Anwar memperincikan tentang ruangan yang terdapat dalam majalah bercetak dan majalah digital, serta jurnal terbitan DBP, selain panduan tentang penghantaran karya.
Pada sesi petang, Puan Mazfarina Marzuki memberikan pencerahan tentang hak cipta dan memberikan penekanan terhadap kepentingan pematuhan hak cipta bagi mengelakkan isu yang tidak diingini berlaku pada masa akan datang.
Bengkel berakhir dengan sesi penyerahan cenderamata dan bergambar sebagai tanda kenang-kenangan.