2 Jun 2023, 17:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pesta menurut Kamus Dewan Perdana seperti yang dipaparkan di laman web Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bermaksud kegiatan seperti kempen seperti promosi, pertandingan dan lain-lain secara bersiri dan kebiasaannya berlangsung secara tahunan dengan konsep dan mempunyai tujuan yang tersendiri. Ada kalanya pesta juga disebut sebagai festival.

Pesta juga merujuk kerja-kerja menjamu untuk merayakan sesuatu peristiwa dengan suasana yang senang hati dan gembira. Namun dari sudut lain, pesta sebenarnya merujuk kepada identiti bagi suatu kelompok manusia atau masyarakat. Dengan kata lain, pesta ialah satu kebudayaan yang serius dan bukan sekadar suasana yang riuh-rendah.

Contoh mudah yang dikaitkan dengan pesta ialah pesta buku yang merujuk pada kempen membudayakan masyarakat supaya mendampingi, membeli dan membaca pelbagai bahan bacaan. Di negara ini, pesta buku yang terbesar ialah Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) yang telah pun memasuki usia 40 tahun dan kini sedang berlangsung ketika artikel ini ditulis.

Disebabkan PBAKL itu sendiri merupakan satu pesta, maka acara ini dianjurkan dalam skala yang besar yang mempunyai beberapa bahagian dengan fungsi tertentu. Selain daripada ruang pameran itu sendiri yang bertujuan menyalurkan maklumat penting tentang sesuatu peristiwa, antara fungsi lain bahagian-bahagian tersebut termasuklah untuk meningkatkan pengetahuan melalui kesedaran dan kefahaman serta memeriahkan suasana dengan acara dan sambutan yang mempunyai hubung kait dengan tema penganjuran.

PBAKL 2023 yang diadakan dari 26 Mei hingga 4 Jun 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur mempunyai empat bahagian utama, iaitu, Acara Pentas Utama (APU); Acara Pentas Rehat dan Baca (APRB); Mandiri di PBAKL; dan Cosplay@PBAKL. Tapak atau reruai untuk pempamer pula terdiri daripada lapan bahagian, iaitu, Pelantaran Putra yang terletak di aras 2; Legar Putra di aras 2; Bilik Mawar di aras 2; Bilik Melaka, Pulau Pinang, Kelantan, Johor dan Kedah; Dewan Tun Hussein Onn terletak di aras 2; Dewan Tun Dr Ismail di aras 2; Dewan Tun Razak 3 di aras 3; dan Dewan Tun Razak 4 di aras 4.

Fungsi APU yang terletak di aras 2 bersebelahan dengan kaunter pendaftaran adalah untuk majlis perasmian dan majlis pelancaran buku. APU menjadi medium untuk menyorot dan menonjolkan buku-buku baharu atau buku-buku yang dianggap wajar untuk dimiliki dan ditelaah oleh orang ramai kerana pengaruh atau kesan positifnya kepada masyarakat.

Fungsi APRB pula adalah dengan menyediakan ruang aktiviti kepada para penerbit, penulis swaterbit, penulis/pelukis ilustrasi, pelukis komik, editor dan individu atau kumpulan kreatif yang bergiat dalam industri buku untuk mengadakan acara sampingan sepanjang PBAKL berlangsung. Ruang aktiviti ini bukan sahaja dapat mengetengahkan bakat atau kemahiran tetapi juga dapat mewujudkan interaksi yang positif dengan khalayak pembaca atau peminat industri. Ruang ini juga penting untuk penyaluran ilmu yang bermanfaat menerusi diskusi buku, bual bicara tentang langkah untuk menjana pendapatan dengan menjadi penulis dan sebagainya. Kadangkala terdapat juga pempamer yang bermurah hati menyediakan kemudahan percuma kepada pengunjung, misalnya dengan mengadakan pemeriksaan kesihatan yang melibatkan pemeriksaan indeks jisim tubuh (BMI), tekanan darah, pemeriksaan mata, kandungan gula dalam badan dan konsultasi kesihatan.

Mandiri yang merujuk kepada perusahaan swaterbit pula menyediakan ruang kepada para penulis persendirian yang menerbitkan buku mereka sendiri untuk mempamerkan hasil karya mereka. Antara yang tergolong dalam kategori penulis persendirian adalah seperti pembikin “zine”, pengilustrasi dan pengusaha buku foto. Sebanyak 32 pempamer mandiri terlibat dalam PBAKL edisi ke-40 ini di mana selain mempamerkan hasil karya masing-masing, mereka juga terlibat dengan acara khas seperti Bicara Mandiri, Jaringan Mandiri, Resensi Buku dan Klinik Mandiri.

Bagi edisi ke-40 ini, Cosplay@PBAKL bekerjasama dengan LOL (League of Legends) Cosplay Malaysia untuk menjayakan acara cosplay di Dewan Tun Razak. Istilah cosplay ini berasal dari kependekan gabungan perkataan Inggeris costume play (pakaian beragam). Istilah ini direka oleh Nobuyuki Takahashi dari Studio Hard Jepun ketika menghadiri Konvensyen Dunia Fiksyen Sains (Worldcon) yang diadakan di Los Angeles pada tahun 1984. Beliau tertarik dengan suasana dewan dan peminat yang berpakaian beragam lalu membuat laporan mengenainya dalam majalah fiksyen sains Jepun, My Anime.

Sejak itu, lebih banyak aktiviti dan seni persembahan yang melibatkan peserta yang memakai pakaian dan aksesori fesyen untuk mewakili watak tertentu yang kebiasaannya bersumberkan watak-watak kegemaran, khususnya yang terdapat dalam anime dan manga. Peserta ini dipanggil sebagai cosplayer. Cosplayer sering berinteraksi untuk mencipta subbudaya, dan penggunaan istilah cosplay yang lebih luas diaplikasikan untuk apa-apa jua lakonan berkostum di mana-mana sahaja tanpa terikat dengan pentas. Oleh itu, mana-mana entiti yang meminjamkan dirinya kepada tafsiran dramatik boleh diambil sebagai subjek atau dengan kata lain secara tidak langsung telah pun meletakkan dirinya sebagai cosplayer.

Cosplay yang berlangsung sempena PBAKL 2023 bermula dari 2 hingga 4 Jun 2023 melibatkan beberapa pertandingan yang menawarkan hadiah yang lumayan. Pertandingan “Doodle Story” misalnya menawarkan hadiah sebanyak RM200 dan sijil bagi pemenang tempat pertama. Dalam pertandingan “Kids Cosplay Competition”, para peserta berpeluang merebut hadiah tempat pertama yang bernilai RM500 dan sijil. “Solo Skit Competition” menawarkan hadiah tempat pertama tertinggi, iaitu sebanyak RM1000 dan sijil, serta diadakan pada hari terakhir PBAKL. Tokusatsu Cosplay Challenge juga tidak kurang menariknya kerana sudah tentu pelbagai watak daripada siri televisyen Jepun akan diperagakan bagi merebut hadiah tempat pertama yang bernilai RM500 berserta sijil.

Tokusatsu merujuk pada istilah Jepun untuk filem aksi langsung atau siri televisyen yang banyak menggunakan kesan khas praktikal. Filem sebegini dibangunkan oleh pencipta Godzilla dan Ultraman, iaitu Eiji Tsuburaya (1901–1970) yang dianggap sebagai pelopor industri kesan khas Jepun dengan memperkenalkan beberapa perkembangan teknologi dalam produksi filem. Istilah Tokusatsu digunakan apabila melibatkan filem yang menggunakan kesan khas, khususnya dalam fiksyen sains, perang, fantasi atau seram. Penggunaan kontemporarinya berasal daripada media massa Jepun sekitar tahun 1958 untuk menerangkan kesan khas dengan cara yang mudah difahami dan terus popular semasa ledakan raksasa pertama seperti Ultra-Q dan Ultraman antara tahun 1966 hingga 1968.

Oleh itu, apakah kaitan cosplay dengan buku? Dari sudut positif, cosplay membantu merancakkan industri buku kerana seseorang yang ingin menjadi cosplayer mestilah mengetahui tentang watak-watak yang hendak diperagakannya dengan cara membaca, meneliti dan menghayati setiap watak tersebut dengan mendalam. Oleh itu, cosplay bukan sekadar peragaan, malah sebenarnya berkaitan dengan potensi manusia. Menerusi cosplay, seseorang itu akan menyepadukan seberapa banyak pengetahuan yang diperoleh agar dapat memperagakan watak tersebut sebaik mungkin, kemudian merealisasikan watak tersebut di dunia nyata.

Aksi cosplay bukan sahaja boleh dianggap sebagai satu hobi yang menghiburkan, tetapi juga mempunyai peranan yang besar dalam meningkatkan tahap kesihatan mental kerana hobi tersebut memberikan manfaat kepada pemikiran seseorang yang mempunyai masalah membina keyakinan diri dan masalah dalam pergaulan. Menerusi aktiviti cosplay, seseorang itu dapat membangunkan keyakinan diri, mewujudkan sebuah komuniti dan membolehkan dirinya mengatasi kelemahan yang ada dalam dirinya dengan cara mencabar diri untuk melakukan yang terbaik. Sebagai cosplayer pula, seseorang itu akan menghargai nilai persahabatan dengan peserta-peserta lain yang berkongsi minat yang sama, menghargai hasil seni dan kreativiti dan menghargai ketepatan setiap watak yang dibawa dan kostum yang diperagakan.

Bagi memastikan kelancaran acara tersebut di PBAKL, beberapa garis panduan telah ditetapkan dan panduan tersebut perlu dipatuhi oleh semua peserta termasuk pengunjung, iaitu:

(1) tidak dibenarkan membawa senjata yang realistik kerana hal tersebut menyalahi undang-undang negara

(2) pemakaian kostum atau busana mestilah bersesuaian dengan acara awam

(3) sebarang rakaman yang hendak dilakukan mestilah mendapat kebenaran terlebih dahulu

(4) sikap dan tingkah laku mestilah dipelihara kerana perkara tersebut menjadi tanda aras ketamadunan dan kemajuan sesebuah bangsa atau masyarakat

(5) tidak menjadi penghalang pada kawasan yang telah ditetapkan sebagai laluan orang ramai misalnya dengan berkumpul, mengambil gambar dan sebagainya

(6) tidak sepatutnya berlaku gangguan seksual dan jika ada maka perkara tersebut perlu dilaporkan segera untuk tindakan

(7) menjaga peralatan dan harta benda yang berharga daripada pencuri atau penyeluk saku

(8) bersikap waras dan rasional, iaitu jangan mudah percaya kepada orang yang tidak dikenali dan tidak terlibat dengan kegiatan tidak bermoral seperti peras ugut dan sebagainya.

Natijahnya, Cosplay boleh membuka satu dimensi baru dalam industri perbukuan tempatan. Hal ini demikian kerana cosplay bukan sekadar membina watak yang boleh mendatangkan pengaruh kepada sesebuah kelompok atau segmen masyarakat, tetapi juga membentuk satu lingkungan budaya dan identiti. Buku sebagai wadah berperanan besar dalam mencorakkan hala tuju masyarakat menerusi watak-watak yang boleh membangunkan personaliti yang cerdas, cemerlang dan berwibawa, iaitu watak-watak yang boleh membangunkan jati diri, memupuk nilai-nilai murni selaras dengan acuan Melayu-Islam yang dominan di rantau ini dan bertoleransi dengan semangat muhibah berbilang bangsa. Dalam bahasa mudah, cosplay mampu menganjak tema perbukuan ke isu pemikiran yang lebih serius tanpa menghilangkan nilai santai dan hiburan yang terkandung di dalamnya.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.