Oleh Lutfi Zahid
4 Jun 2023, 21:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang


Kuala Lumpur
– Penganjuran PBAKL 2023 yang berlangsung di Pusat Dagangan Kuala Lumpur melabuhkan tirainya hari ini setelah berlangsung selama 10 hari, iaitu bermula dari 26 Mei 2023 hingga 4 Jun 2023.

PBAKL yang memasuki edisi ke-40 pada tahun ini menghimpunkan 256 pempamer yang terdiri daripada penerbit buku dari dalam dan luar negara.

Pada tahun ini, PBAKL 2023 menawarkan lebih 20 ribu judul bahan bacaan pelbagai genre mengikut kesesuaian umur dan latar belakang pembaca.

Lebih menarik, jumlah pengunjung PBAKL 2023 meningkat sebanyak 30 peratus pada masa sehari yang menjadikan jumlah pengunjung melebihi 1.5 juta orang berbanding dengan 1.3 juta orang pada tahun 2022.

Dalam hal ini, golongan remaja merupakan pengunjung tertinggi berdasarkan kajian awal yang dilakukan.

YB. Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas) dalam ucapan perasmian penutupan berkata bahawa nilai dan makna di sebalik penganjuran PBAKL bukanlah diukur pada jumlah bilangan pengunjung dan jualan buku semata-mata, tetapi seharusnya dinilai dari sudut keupayaan dan kewibawaan PBAKL menjadi pencetus serta penggerak semangat keilmuan dalam kalangan masyarakat.

YB. Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas) menyampaikan ucapan perasmian penutupan PBAKL 2023.

“Kita berharap agar PBAKL ini menjadi pesta buku yang tersohor bukan sahaja di Asia Tenggara, tetapi juga di dunia. Komitmen Perdana Menteri sendiri yang menghargai budaya ilmu akan merancakkan lagi industri perbukuan negara,” kata beliau.

Tambah beliau, gerakan yang diusahakan bagi memperkukuh budaya membaca sebagai agenda penting negara harus diteruskan.

Selain itu, industri buku juga perlu diperkasakan demi menghasilkan sumber ilmu pengetahuan yang meluas dan berkualiti pada masa hadapan.

Selain jualan buku, PBAKL 2023 turut menganjurkan Pameran Hak Cipta ASEAN yang melibatkan 14 buah negara, iaitu Malaysia, Singapura, Thailand, Indonesia, Vietnam, Filipina, Perancis, China, India, Bangladesh, Amerika Syarikat, Turkiye, Korea Selatan dan Nepal. Pameran ini berjaya menghasilkan 196 sesi padanan perniagaan.

Para pemenang anugerah reruai PBAKL 2023.

Dalam majlis penutupan tersebut juga lima penerbit memenangi lima kategori anugerah reruai yang dipertandingkan sempena PBAKL 2023. Antara reruai yang memenangi anugerah tersebut ialah:

  • Reruai PTS Publication memenangi kategori Anugerah Reruai Terbaik Kreatif dan Inovatif.
  • Reruai Stesen Buku memenangi kategori Anugerah Reruai Mesra Pengunjung.
  • Reruai Karya Seni memenangi kategori Anugerah Reruai Paling Viral.
  • Reruai Pujangga memenangi kategori Anugerah Reruai Standard 3 x 3 Terbaik.
  • Reruai Telaga Biru memenangi kategori Anugerah Reruai Terbaik PBAKL 2023.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.