9 Jun 2023, 13:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Krisis atau perselisihan faham boleh terjadi dalam kalangan ahli keluarga dan saudara-mara. Antara puncanya termasuklah pergolakan rumah tangga yang melibatkan ahli keluarga suami dan isteri atau pihak ketiga, persaingan untuk merebut harta pusaka, masalah hutang yang serius dan penyalahgunaan dadah.

Perselisihan faham seperti ini menjadi parah apabila ahli keluarga yang mempunyai pendapat, naratif atau kepentingan yang berlawanan bertindak ganas dan melakukan kecederaan fizikal. Pertikaman lidah sesama ahli keluarga juga boleh menyebabkan keganasan akibat dipengaruhi emosi atau kemarahan yang terpendam sejak sekian lama.

Proses Siasatan dan Sabit Kesalahan
Jika perkelahian keluarga yang serius seperti ini tercetus, ahli keluarga yang terlibat akan berhadapan dengan tindakan undang-undang apabila insiden ini dilaporkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM). Pegawai penyiasat (IO) akan membuka Kertas Siasatan (IP) untuk menyiasat dan mengenal pasti motif pergaduhan, kesalahan, saksi dan bukti. Langkah seterusnya, IO akan memanggil semua pihak yang terlibat dengan pergaduhan tersebut untuk merakam percakapan mereka.

Sekiranya tempat insiden pergaduhan tersebut dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV), rakaman CCTV akan diteliti oleh pasukan siasatan untuk melihat apa-apa yang telah berlaku dan jika terdapat kesalahan jenayah semasa pergaduhan. Rakaman tersebut juga akan membantu IO dan pasukan siasatannya mengenal pasti sama ada insiden pergaduhan selari dengan rakaman percakapan pengadu dan lain-lain orang yang terlibat.

Jika perbalahan keluarga didapati melibatkan lima orang atau lebih, tanpa penggunaan sebarang senjata atau objek yang berbahaya, mereka yang terlibat boleh didakwa di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan (KK) kerana merusuh. Menurut seksyen ini, seseorang yang disabit kesalahan boleh dihukum penjara hingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali. Manakala jika didapati ada penggunaan senjata, mereka boleh didakwa di bawah Seksyen 148 KK dan boleh dijatuhi hukuman hingga lima tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Pun begitu, jika rusuhan tersebut mengakibatkan mana-mana orang yang terlibat mengalami kecederaan sehingga mengalami kecacatan kekal, maka orang yang menyebabkan kecacatan tanpa menggunakan senjata itu boleh didakwa di bawah Seksyen 325 KK. Sekiranya senjata telah digunakan, orang tersebut boleh didakwa di bawah Seksyen 326 KK. Untuk kesalahan di bawah Seksyen 325 KK, hukumannya ialah penjara hingga tujuh tahun dengan denda, manakala bagi Seksyen 326 KK pula, hukumannya ialah penjara maksimum 20 tahun dengan denda atau sebatan. Harus diingat, bagi membuktikan kesalahan yang melibatkan kecederaan serius, laporan perubatan daripada pihak hospital kerajaan amat kritikal untuk memastikan pelaku disabitkan kesalahan dan mendapat hukuman yang setimpal.

Gaduh Gempar
Seksyen 160 KK akan diaplikasikan jika pergaduhan keluarga hanya melibatkan kurang daripada lima orang dan mengakibatkan kecederaan ringan ataupun dalam istilah perubatan disebut sebagai “kecederaan tisu lembut”. Istilah perundangan bagi pergaduhan seperti ini ialah “gaduh gempar”.

Dalam kes gaduh gempar, pihak yang terlibat boleh dijatuhi hukuman penjara hingga enam bulan atau denda, atau kedua-duanya sekali. Oleh sebab pergaduhan seperti ini dikategorikan sebagai kesalahan tidak boleh ditangkap, mereka yang terlibat tidak boleh ditangkap oleh pihak polis tanpa waran.

Namun begitu, jika ahli keluarga yang terlibat dalam gaduh gempar enggan memberikan kerjasama dalam siasatan yang dijalankan oleh IO, maka IO boleh memohon waran tangkapan daripada majistret. Lazimnya, waran seperti ini akan digunakan jika ahli keluarga enggan ke balai polis untuk memberikan keterangan. Waran turut dikeluarkan oleh majistret sekiranya mereka gagal hadir di mahkamah sama ada untuk proses pertuduhan atau bicara.

Antara lainnya, krisis keluarga yang bertukar menjadi pergaduhan dalam kalangan ahli keluarga terdekat dikategorikan sebagai keganasan rumah tangga dan akan disiasat di bawah Akta Keganasan Rumah Tangga. Pergaduhan di bawah kategori ini disiasat oleh Unit D11 yang merupakan unit khas di bawah Bahagian Siasatan Jenayah PDRM. Jika IP dibuka terhadap seseorang di bawah akta ini, orang tersebut boleh ditangkap tanpa waran meskipun hanya melakukan kesalahan tidak boleh tangkap seperti hanya menyebabkan kecederaan ringan dengan memukul ahli keluarganya yang terdekat.

“Kerana Mulut Badan Binasa”
Pada kebanyakan masanya, rusuhan atau gaduh gempar menyaksikan pergaduhan mulut yang mengeluarkan kata-kata bersifat ugutan. Jika kata ugutan tersebut jelas dengan niat untuk menyebabkan kecederaan serius, kematian atau untuk menyebabkan kebakaran, orang yang mengeluarkan kata-kata tersebut boleh didakwa di bawah Seksyen 506 KK yang membawa hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali kerana menakutkan seseorang secara jenayah.

Seksyen yang sama juga boleh digunakan sekiranya kata-kata yang dilontarkan itu bersifat tohmahan terhadap golongan perempuan seperti melabelkan mereka sebagai “jalang”. Yang menariknya, Seksyen 506 KK juga boleh digunakan jika mana-mana ahli keluarga yang terlibat dalam pergaduhan menunjukkan gerak-geri yang menakutkan mana-mana pihak lawan dengan syarat ketakutan tersebut dapat dibuktikan.

Aspek Emosi dan Rasional dalam Kes Pergaduhan
Secara umumnya, selepas berlakunya sesuatu perbalahan keluarga, kedua-dua pihak yang terlibat bergegas ke balai polis terdekat untuk membuat laporan polis dengan harapan agar tindakan tegas terhadap pihak lawan mereka dapat diambil dengan kadar segera. Disebabkan emosi dan kemarahan yang membuak, ditambah pula dengan permusuhan yang terpendam sejak sekian lama, pihak pengadu selalunya menggesa polis untuk menangkap pihak lawan mereka dengan segera.

Namun begitu, dalam perihal siasatan, pihak PDRM tidak boleh mengambil tindakan melulu mengikut telunjuk mana-mana pihak. PDRM perlu akur kepada prosedur operasi standard (SOP) siasatan yang dirangka berdasarkan akta seperti KK, Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) dan Akta Keterangan (AK).

Jika SOP yang ditetapkan ini tidak dipatuhi, maka siasatan akan menjadi berat sebelah dan boleh mengakibatkan orang yang tidak bersalah dihukum atau orang yang bersalah terlepas daripada tindakan undang-undang. Tindakan lanjut dalam sesuatu siasatan hanya boleh diambil oleh pihak polis selepas selesainya siasatan pada peringkat awal. Siasatan pada peringkat awal seharusnya membolehkan IO dan pasukan siasatannya menilai tentang sesuatu pergaduhan keluarga berdasarkan naratif dari perspektif kedua-dua belah pihak yang terlibat. Setelah membuat penilaian yang seimbang, IO boleh mengambil tindakan susulan yang betul dan adil dari segi undang-undang.

Namun demikian, kebanyakan masa, siasatan polis terhadap pergaduhan melibatkan keluarga akan menyebabkan pelibatan aktif kedua-dua belah pihak. Penglibatan aktif ini akan mengakibatkan pihak polis untuk menangkap kedua-dua belah pihak tanpa mengira sesiapa pun yang memulakan pergaduhan terlebih dahulu. Lantaran itu, kebanyakan masa, kedua-dua pihak yang terlibat dalam pergaduhan akan memilih untuk menyelesaikan perselisihan faham sesama mereka lalu menarik balik laporan polis masing-masing tanpa paksaan daripada mana-mana pihak. Dengan cara itu, mereka mengelakkan campur tangan polis seperti tangkapan, reman dan pertuduhan di mahkamah.

Sungguhpun demikian, sekiranya mana-mana pihak yang terlibat dalam pergaduhan keluarga itu mengalami kecederaan serius atau kecacatan kekal, tangkapan dan tindakan susulan yang lain masih akan diteruskan sehingga mereka yang bersalah dihadapkan ke mahkamah untuk dijatuhi hukuman yang setimpal.

Penyelesaian Dalaman dan Peranan PDRM
Sesungguhnya memberikan nasihat untuk mengelakkan pergaduhan keluarga yang serius agar tidak melibatkan campur tangan pihak polis memang tampak mudah. Namun begitu, insiden seperti ini boleh diibaratkan sebagai bom masa yang boleh meletup pada bila-bila masa, terutamanya bagi keluarga yang mempunyai krisis terpendam sejak sekian lama.

Barangkali, antara penyelesaiannya termasuklah mengenal pasti punca krisis keluarga yang terpendam dan mengadakan perbincangan ke arah penyelesaian. Jika perbincangan tidak berhasil, maka pelibatan pihak ketiga seperti mahkamah dan peguam mungkin dapat membantu. Di samping itu, golongan tua dalam keluarga bertanggungjawab untuk mewasiatkan harta pusaka secara adil dan saksama bagi mengurangkan rasa tidak puas hati dalam kalangan keluarga.

Dalam pada itu, sikap pengorbanan dalam kalangan adik beradik bagi mengelakkan persaingan sengit dalam hal harta pusaka juga boleh mengurangkan pergaduhan keluarga yang serius secara berkesan. Namun begitu, perkara ini lebih mudah dilakukan oleh ahli keluarga yang sudah memiliki kekayaan sendiri ataupun ahli keluarga yang lebih menghiraukan kekayaan di akhirat. Walau apa-apa pun, pergaduhan dalam kalangan ahli keluarga memerlukan penyelesaian yang kreatif memandangkan setiap ahli keluarga mempunyai corak tadbir urus yang tersendiri.

Objektif utama rencana ini ditulis adalah untuk menjelaskan peranan PDRM dari aspek siasatan sekiranya sesuatu pergaduhan keluarga yang tidak dapat dikawal oleh institusi keluarga itu sendiri dilaporkan kepada PDRM. Lebih penting lagi, rencana ini juga bertujuan untuk mengurangkan perasaan kecewa, kekeliruan dan spekulasi orang awam terhadap pasukan PDRM yang sememangnya tidak boleh menjalankan siasatan mengikut kehendak pihak pengadu semata-mata. Pihak PDRM sentiasa komited untuk menjalankan penyiasatan secara adil dan saksama mengikut lunas undang-undang jenayah yang sedia ada. Seperti orang awam, PDRM juga mempunyai tujuan yang sama, iaitu mengheret pesalah yang sebenar ke muka pengadilan.

ACP Mohamad Farouk Eshak, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Selangor.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.