Oleh Rashid Ating
15 Jun 2023, 13:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tokoh badminton negara, Datuk Wira Lee Chong Wei terus meletakkan Malaysia pada peta dunia apabila nama beliau dimasukkan dalam senarai Dewan Kemasyhuran atau “Hall of Fame” oleh Persekutuan Badminton Dunia, bersama-sama seteru utamanya, Lin Dan. Pada 3 Mei 2023, beliau telah diraikan dalam satu majlis yang diadakan di Kuala Lumpur. Dewan Kemasyhuran Persekutuan Badminton Dunia yang beribu pejabat di Kuala Lumpur, Malaysia merupakan sebuah badan yang tidak berasaskan keuntungan, tetapi mempunyai matlamat untuk menjaga, meraikan dan memberikan inspirasi kepada sukan badminton di segenap pelosok dunia. Badan ini juga bertujuan untuk memberikan penghargaan kepada para pemain dan penyumbang dalam sukan badminton.

Menjadi satu penghormatan yang tinggi kepada pemain badminton apabila namanya dimasukkan dalam senarai Dewan Kemasyhuran Persekutuan Badminton Dunia. Perkara ini boleh disifatkan sebagai kemuncak pencapaian dalam kerjaya pemain tersebut, sekali gus dianggap sebagai individu yang penting dan mengubah sejarah badminton. Nama Lee Chong Wei sudah tidak asing lagi dalam arena badminton negara mahupun dunia. Beliau pernah berada di kedudukan pertama dalam senarai pemain perseorangan lelaki dunia selama 310 minggu, iaitu bersamaan dengan enam tahun. Lee Chong Wei mencapai kedudukan sebagai pemain perseorangan lelaki nombor satu dunia pada 1 Jun 2017. Namun begitu, pada 19 Jun 2015, kedudukan beliau telah jatuh ke tangga 180, iaitu selepas beliau disahkan positif kes doping dan digantung daripada menyertai apa-apa pertandingan selama lapan bulan. Walau bagaimanapun, hal itu tidak mematahkan semangat beliau dalam arena badminton. Buktinya, dalam masa lima bulan, iaitu pada 27 Oktober 2015, beliau telah berjaya berada di kedudukan ke-10 dalam senarai pemain terbaik dunia. Tidak hanya berhenti di situ, pada 8 Jun 2017, beliau telah kembali menjadi pemain nombor satu dunia sehinggalah beliau mengumumkan persaraannya pada tahun 2019.

Sepanjang 19 tahun kerjaya Lee Chong Wei sebagai pemain badminton profesional, beliau telah berjaya memperoleh kemenangan sebanyak 705 kali. Pencapaian yang luar biasa ini menyebabkan banyak artikel atau keratan akhbar yang memfokuskan tentang pencapaian beliau dalam disiplin perseorangan lelaki, tetapi tidak memberikan perhatian terhadap peranan penting beliau dalam kejohanan badminton berpasukan seperti Piala Thomas dan Piala Sudirman. Peranan yang dipikul oleh Lee Chong Wei sebagai ketua pasukan, merangkap pemain pertama perseorangan negara, sudah tentu memberikan tekanan kepada beliau untuk memberikan mata kemenangan kepada pasukan negara. Artikel pendek ini akan melihat sumbangan dan prestasi Lee Chong Wei sebagai pemain perseorangan lelaki pertama negara dalam kejohanan badminton berpasukan dari tahun 2007 hingga tahun 2018.

Rajah 1: Penglibatan Lee Chong Wei Mewakili Pasukan Kebangsaan dalam Kejohanan Badminton Berpasukan dari Tahun 2007 hingga Tahun 2018.

Sumber: Persekutuan Badminton Dunia (2023). Petunjuk: *Perlawanan yang tewas.

Rajah 1 menunjukkan penglibatan Lee Chong Wei mewakili negara dalam kejohanan badminton berpasukan dari tahun 2007 hingga tahun 2018. Beliau kebiasannya akan diturunkan sebagai pemain pilihan pertama perseorangan lelaki sama ada semasa Piala Thomas, Piala Sudirman, Kelayakan Piala Thomas & Uber atau Kejohanan Badminton Berpasukan Asia. Gelaran sebagai pemain nombor satu dunia yang dimiliki oleh Lee Chong Wei merupakan aset yang digunakan secara maksimum oleh kontinjen Malaysia dalam kejohanan seperti ini. Secara keseluruhannya, daripada 53 perlawanan yang disertai oleh Lee Chong Wei, beliau telah memenangi 50 perlawanan tersebut. Terdapat satu perlawanan yang beliau terpaksa menarik diri akibat kecederaan sewaktu menentang Peter Hoeg Gade Christensen (Denmark), iaitu semasa kejohanan Piala Thomas dan Uber tahun 2014. Beliau telah tewas dua perlawanan kepada Lin Dan (China) semasa Pertandingan separuh akhir Piala Sudirman tahun 2019 dan Piala Thomas & Uber tahun 2010. Beliau tewas (0-2) dalam kedua-dua perlawanan tersebut. Umum mengetahui bahawa pada awal tahun 2000, iaitu pada tahun 2019 dan tahun 2010, China merupakan antara kuasa utama yang dominan dalam sukan badminton dunia. Pemain pasukan kebangsaan mereka menduduki kedudukan sepuluh terbaik dunia dalam semua disiplin badminton profesional.

Rajah tersebut juga menunjukkan bahawa Lee Chong Wei telah mewakili pasukan kebangsaan dalam satu edisi Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (2018); dua edisi kelayakan Zon Asia Piala Thomas dan Uber (2008, dan 2012); serta masing-masing enam edisi Piala Thomas dan Uber (2018, 2016, 2014, 2012, 2010, dan 2008); dan Piala Sudirman (2017, 2015, 2013, 2011, 2009, dan 2007). Jika dilihat statistik perlawanan yang disertai oleh Lee Chong Wei, beliau tidak pernah gagal untuk menghadiahkan mata pertama bagi pasukan negara bagi kejohanan besar seperti ini. Beliau akan menamatkan perlawanan dalam purata masa 0.37353/36 minit atau kurang daripada satu jam untuk memenangi perlawanan dengan straight set (2-0), kecuali sewaktu menentang Ajay Jayaram (India) semasa Kelayakan Piala Thomas dan Uber Edisi 2012 dan sewaktu menentang Jan O Jorgensen (Denmark) semasa Piala Thomas dan Uber tahun 2014. Perlawanan ini berlanjutan sehingga ke set ketiga (penentuan), dengan Lee Chong Wei muncul sebagai pemenang bagi kedua-dua perlawanan tersebut. Perlawanan dengan Jan O Jorgensen (Denmark) merupakan perlawanan yang paling lama pernah dimainkan oleh beliau, iaitu mengambil masa selama satu jam dua minit. Manakala, perlawanan yang paling cepat pernah dimainkan oleh Lee Chong Wei ialah semasa Kelayakan Zon Asia Piala Thomas & Uber tahun 2010 menentang Ian Mendez (Filipina), iaitu dalam masa 17 minit.

Peranan beliau sebagai pemain pertama perseorangan negara sememangnya penting dalam menaikkan moral dan motivasi kem Malaysia. Kemenangan yang diberikan kepada kem badminton negara akan memberikan semangat kepada rakan sepasukan yang lain untuk turut mencapai kemenangan dalam perlawanan yang disertai oleh mereka. Sebagai ketua pasukan dan pemain senior dalam skuad kebangsaan, beliau perlu menunjukkan contoh yang boleh diikuti oleh rakan sepasukan yang lain. Selepas menggantung raket, beliau menjalani kehidupan sebagai seorang ayah kepada dua orang anak, iaitu Kingston, enam tahun dan Terence, empat tahun, serta suami kepada Datin Wong Mew Choo yang juga merupakan bekas pemain perseorangan utama wanita negara.

Baru-baru ini, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) telah melantik Lee Chong Wei sebagai pengurus pasukan untuk mempersiapkan pemain negara menjelang kejohanan Olimpik di Perancis pada tahun 2024, melalui program “Road to Gold”. Mungkin Lee Chong Wei bukanlah satu-satunya pemain terbaik dunia, apatah lagi sebagai pemain yang sempurna (sepertimana juga penulis artikel ini), hal ini demikian kerana beliau mungkin boleh dikategorikan sebagai pemain yang “kurang bernasib baik” kerana tidak pernah menaiki podium untuk mendapat Tempat Pertama dalam Kejohanan Dunia dan Pingat Emas dalam Sukan Olimpik. Dalam kejohanan utama tersebut, Lee Chong Wei sekadar mendapat Tempat Kedua pada Kejohanan Dunia (edisi 2011, 2013, dan 2015) serta mendapat Pingat Perak dalam Sukan Olimpik (edisi 2008, 2012, dan 2016). Walau bagaimanapun, Lee Chong Wei tetap menunjukkan prestasi yang konsisten dalam kejohanan berpasukan seperti ini.

Semoga Lee Chong Wei akan terus memberikan inspirasi kepada pemain muda negara agar mengikut jejak langkah beliau dan mengispirasikan belia Malaysia yang berada di dalam mahupun di luar negara. Teruslah membanggakan Malaysia dan berusaha untuk menggapai impian walaupun perjalanan tersebut penuh ranjau dan duri.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.