19 Jun 2023, 17:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Menjelang beberapa hari lagi, Pusat Latihan Penguat Kuasa Selangor (PULAPES) yang terletak di Jugra, Banting, Selangor akan mengadakan Majlis Penutupan Kursus Asas Penguat Kuasa Selangor Sesi 1/2023 pada 23 Jun 2023.

Tuan Muhamad Osman, Komandan Pusat Latihan Penguat Kuasa Selangor (PULAPES).

Menurut Komandan Pusat Latihan Penguat Kuasa Selangor (PULAPES), Tuan Muhamad Osman, terdapat pelbagai perancangan yang strategik untuk memantapkan tadbir urus berkaitan dengan anggota dan pegawai di bawah bidang penguatkuasaan, khususnya di bawah pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini. Menerusi Pengurusan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK), PULAPES ditubuhkan pada tahun 2003.

Dengan komitmen Selangor dalam usaha merealisasikan tadbir urus yang sistematik, maka ditubuhkan pusat ini atas kolaborasi idea dan strategi pucuk kepimpinan negeri dan PULAPES berjaya ditubuhkan pada Jun 2003, yang pada ketika itu pentadbirannya diterajui oleh YAB Dato’ Sri Dr. Mohamad Khir Toyo, Menteri Besar Selangor (2000 – 2008). PULAPES dibina di tanah seluas 30 ekar berdekatan dengan Bukit Jugra, Banting, Selangor.

Kompleks PULAPES terdiri daripada sembilan buah chalet, dua dewan kuliah yang boleh memuatkan peserta sebanyak 60 orang dalam satu-satu sesi, yakni memiliki bangunan pentadbiran, bilik pusat sumber, bilik kuliah, moot court (kelas prosiding mahkamah), dataran padang kawad dan dewan utama. Setiap kursus yang dianjurkan oleh PULAPES berupaya menampung sebanyak 80 orang peserta, termasuklah tenaga pengajar. Sebanyak 12 PBT di Negeri Selangor, iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Bandaraya Subang Jaya, Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Majlis Perbandaran Kajang, Majlis Perbandaran Klang, Majlis Perbandaran Selayang, Majlis Perbandaran Sepang, Majlis Perbandaran Hulu Selangor, Majlis Perbandaran Kuala Langat, Majlis Perbandaran Kuala Selangor dan Majlis Daerah Sabak Bernam, anggota-anggota bermula dari gred KP19 – KP41 menjalani kursus serta latihan mereka menerusi pusat kecemerlangan ini.

Pada dasarnya, objektif modul yang digubal oleh jawatankuasa yang dibentuk oleh SUK Selangor tertumpu kepada anggota, yakni berupaya melahirkan anggotanya yang berilmu dan sentiasa bersedia melaksanakan tanggungjawab serta amanah yang diberikan bagi mewujudkan keharmonian komuniti, khususnya pada peringkat demografi yang pesat dan canggih, seperti di kawasan bertaraf bandar raya.

Kepesatan ekonomi dalam sesebuah bandar raya mendedahkan anggota dengan pelbagai cabaran bagi menangani pelbagai isu yang wujud bagi memastikan kelancaran tadbir urus yang menyeluruh. Anggota penguat kuasa merupakan petugas barisan hadapan yang amat signifikan dengan efisiennya serta sistematik sesebuah pentadbiran PBT, khususnya dalam menyokong kecemerlangan Kumpulan Pengurusan atau Profesional bidang tadbir urus ini.

Kecemerlangan PULAPES dalam memberikan kursus dan latihan telah menarik perhatian jabatan serta agensi berkaitan untuk mengadakan jalinan kerjasama. Antara jabatan dan agensi yang turut bekerjasama dengan PULAPES, termasuklah Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS), Pejabat Daerah dan Tanah (PDT), Unit Bencana Negeri, Pejabat Keselamatan SUK, Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Jabatan Agama Islam Selangor, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Rejimen 502 Askar Wataniah untuk program Angkatan Perajurit Muda Sukarela (APMS Wataniah) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Selain itu, PULAPES turut menjadi pilihan jabatan atau agensi, seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) yang pernah melaksanakan program mereka di sini dengan memanfaatkan kemudahan dan fasiliti yang ada di pusat ini.

PULAPES turut mengadakan kerjasama dengan PBT dari seluruh negara dalam menjalankan latihan dan kursus kepada penguat kuasa. Antaranya, termasuklah Perbadanan Putrajaya, Majlis Bandaraya Seremban, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Majlis Perbandaran Nilai, Majlis Bandaraya Johor Bahru, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Majlis Bandaraya Kuantan, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Majlis Bandaraya Ipoh dan Majlis Perbandaran Alor Gajah Melaka. Anggota yang mengikuti kursus di sini akan mengikuti modul yang disediakan seperti Kursus Asas Penguat Kuasa yang merupakan kursus utama dan perlu menjalani kursus selama tiga bulan bagi pengesahan jawatan.

Di samping itu, kursus berbentuk lanjutan (advance) seperti Kursus Asas Kawad, Kursus Tempur Tanpa Senjata (TTS), Pengukuhan Perintah Am, Kursus Penataran, Kursus Jurulatih Kawad, Kursus Kawad Tongkat Pegawai, Modul Undang-undang Kecil, Kursus Tempur T-Baton, Kursus Pengendalian Senjata Api, Kursus Penyediaan Kertas Siasatan, Pemantapan Pendakwaan dan Prosiding Mahkamah serta juga Kursus Pengendalian Komunikasi Korporat, Pengurusan Tekanan dan Kursus Green Card CIDB.

Kursus komunikasi antara yang mendapat perhatian anggota yang menyertai kursus di sini kerana anggota akan diperkukuhkan dengan pemahaman serta membiasakan diri dengan bahasa arahan. Bahasa arahan dalam bidang penguatkuasaan amat penting dalam menyampaikan satu-satu maklumat berkaitan dengan pematuhan peraturan mahupun undang-undang kepada pihak umum mahupun pelanggan. Hal ini dikatakan demikian kerana anggota akan melaksanakan tugas mereka dengan memberikan penerangan dan penjelasan berkaitan dengan satu-satu undang-undang PBT kepada pelanggan.

Sekiranya ada pelanggan yang ingkar atau melanggar peraturan, anggota mempunyai kuasa untuk tegas, namun perlu menjaga adab dan bahasa serta menggunakan tutur kata yang baik. Seseorang anggota penguat kuasa perlu mengelakkan diri daripada emosi dalam melaksanakan tanggungjawab mereka atau semasa menjalankan tugas mereka. Oleh itu, seseorang anggota yang mengikuti kursus di PULAPES, pengukuhan elemen komunikasi ini amat penting dalam mereka menguasai modul lain yang dijalani di pusat ini.

Harapan Tuan Muhamad, berharap akan ada usaha yang lebih terancang bagi memastikan anggota penguat kuasa mendapat latihan serta kursus yang setaraf dengan diploma, kerana menurutnya menerusi latihan dan kursus yang sistematik akan dapat melahirkan anggota yang berilmu pengetahuan serta berwibawa dalam bidang ini. Pada masa yang sama, hala tuju kerjaya penguat kuasa juga mempunyai masa depan yang cerah sebagai kumpulan pentadbiran barisan hadapan bagi satu-satu PBT dan juga negeri.

Menurut beliau, kecanggihan serta cabaran masa ini masyarakat yang dihadapi oleh anggota penguat kuasa, perlu dipertingkatkan lagi pelbagai kursus kemahiran serta pengurusan psikologi dalam kalangan anggota. Kelak, hal tadbir urus berkaitan dengan penguatkuasaan tidak kira jabatan, agensi mahupun sektor akan dapat diperkasakan lagi dan usaha kita mewujudkan negara MADANI akan dapat direalisasikan. Anggota penguat kuasa sentiasa dalam siap siaga dan memastikan keharmonian komuniti terjamin di samping badan keselamatan yang lain.

Tuan Muhamad yang merupakan anak kelahiran Pahang Darul Makmur ini, telah memulakan kerjayanya dalam bidang tadbir urus kerajaan sejak tahun 1985 bermula di Unit Perumahan, Pejabat SUK Pahang, kemudian pada tahun 1988, beliau meneruskan khidmatnya di Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP), pada tahun 1989 beliau bertugas pula dengan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang. Bermula tahun 1991 – 2005, beliau menyertai Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan semasa di sini beliau telah menyambung pengajiannya dalam bidang keselamatan pekerjaan yang ketika itu berpusat di Universiti Kebangsaan Malaysia dengan kerjasama National Institute of Occupational Safety and Health (NIOSH). Selain itu, beliau juga mengikuti kursus profesional dalam bidang logistik dan pengangkutan menerusi Chartered Institute of Transport atau kini disebut The Chartered Institute of Logistics and Transport (CILTM).

Tidak terhenti setakat itu, beliau melanjutkan pengajian peringkat sarjana di Universiti Selangor dalam bidang pentadbiran kerajaan tempatan dan pengurusan logistik. Pada tahun 2006, beliau telah menyertai dan menabur khidmat bakti kepada Kerajaan Negeri Selangor menerusi Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor sebagai Pegawai Tadbir di Institut Latihan Pihak Berkuasa Tempatan (ILPBT), Morib dan diberi tanggungjawab lebih besar menggalas jawatan sebagai Komandan di PULAPES pada tahun 2015 hingga sekarang. Usaha beliau dalam meningkatkan taraf pengajian serta profesional dalam bidang keselamatan pekerjaan, mengaspirasikan beliau agar satu hari PULAPES akan muncul sebagai institusi profesional bagi anggota penguat kuasa di seluruh negara.

Mengakhiri wawancara, beliau mengucapkan syabas kepada semua anggota penguat kuasa yang telah bersungguh-sungguh untuk menimba ilmu di PULAPES dan terus kekal cemerlang dalam melaksanakan amanah. Peluang mengikuti latihan-latihan seterusnya yang akan disediakan oleh PULAPES hendaklah dimanfaatkan oleh seluruh anggota penguat kuasa. Kepada anggota penguat kuasa yang baharu, terus bersedia menimba ilmu dan selamat menjalankan tugas dengan penuh dedikasi sebagaimana moto PULAPES “Berilmu, Berintegriti dan Berani”.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.