20 Jun 2023, 20:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Program Pemerkasaan Bahasa Melayu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor diserikan dengan persembahan Gendang 24 Musim oleh murid SJKC Sentul di Pusat Konvensyen HGH.
YB Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan.

Sentul – Kemenjadian murid dalam penguasaan bahasa kebangsaan yang baik merupakan keutamaan bagi warga pendidik, seiring dengan hasrat Kerajaan Perpaduan, yakni “Guru Insani Pemangkin Generasi Madani”.

Faktor pemersatuan bahasa adalah kekuatan dalam pembinaan negara bangsa yang memastikan kita berada dalam peluang, platform dan ruang yang sama.

Tiada bangsa dan tiada tamadun yang mampu berdiri teguh tanpa kekuatan bahasa. Program pemerkasaan bahasa perlu diteruskan supaya elemen dimensi bahasa Melayu itu dapat dijadikan sebagai wahana perpaduan dalam masyarakat majmuk.

Demikianlah antara ucapan Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek, ketika merasmikan Program Pemerkasaan Bahasa Melayu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor di Pusat Konvensyen HGH pada petang ini.

Menurut beliau, pembangunan set minda yang mampan adalah penting bagi membolehkan mereka melaksanakan tugas sebagai pendidik dengan profesional dan berkesan.

Pembangunan set minda yang kreatif mampu mendorong dan memotivasikan guru untuk mempertingkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran bagi menyampaikan pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran bahasa Melayu dengan lebih berkesan.

Sementara itu, beliau berkongsi bahawa tahap penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan murid di SJKC dan SJKT semakin meningkat apabila keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini menunjukkan prestasi cukup cemerlang dalam penguasaan bahasa Melayu.

Mengulas lanjut, program anjuran Majlis Bahasa Cina ini merupakan hubungan kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) dan Jabatan Pendidikan Selangor (JPNS).

Program ini turut mendapat sokongan padu daripada rakan strategik yang terdiri daripada Bahgian Pembangunan Kurikulum Kementerian Pendidikan Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka serta Tamil Foundation Malaysia.

Datuk Eddie Heng, Pengerusi Majlis Bahasa Cina Malaysia (MCLC).

Menurut Pengerusi Majlis Bahasa Cina Malaysia (MCLC), Datuk Eddie Heng, program ini melibatkan sebanyak 200 orang guru daripada 57 buah sekolah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan 40 buah sekolah di dua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di Selangor (PPD Petaling Utama dan PPD Petaling Perdana).

Dalam ucapannya, MCLC bersama-sama rakan sinergi giat mempromosikan pelbagai aktiviti dan pelajaran berlandaskan bahasa Melayu, seperti bengkel dan sesi libat urus di peringkat daerah dan negeri, serta pembangunan kapasiti guru bahasa Melayu di sekolah, khususnya SJKC dan SJKT.

Mengakhiri ucapan, dengan bengkel dan sesi libat urus yang diadakan selama dua hari ini, YB Fadhlina Sidek yakin bahawa program ini dapat memberikan suntikan semangat kepada para guru untuk mempertingkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran, khususnya mata pelajaran bahasa Melayu di sekolah.

Foto: Khai DBP.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.