21 Jun 2023, 15:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Majalah Dewan Siswa yang menjadi bahan rujukan dalam program Majalah Dalam Kelas (MDK) sejak tahun 1988 telah menjadi bahan rujukan dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) di dalam kelas yang memaparkan pelbagai cakupan ilmu dan isu semasa, sama ada dalam bidang kreatif atau bukan kreatif.

Oleh itu, bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun DBP Ke-67, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Majalah telah mengadakan program Majalah Dalam Kelas (MDK) Dewan Siswa bertempat di Balai Seminar Tun Hamdan Sheikh Tahir, Wisma DBP pada pagi tadi.

Peserta program Majalah Dalam Kelas yang dianjurkan pada pagi tadi.

Penyertaan yang melibatkan sebanyak 214 orang murid dan 25 orang guru pembimbing dari 15 buah sekolah di sekitar Kuala Lumpur tersebut telah mendapat kerjasama daripada Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWKL) dan merupakan jumlah pelibatan berskala besar yang pernah dianjurkan oleh pihak DBP.

Pengarah Jabatan Penerbitan, Puan Fauzilahyatun Mustafa.

Menurut Pengarah Jabatan Penerbitan DBP, Puan Fauzilahyatun Mustafa, majalah terbitan DBP berupaya meningkatkan kecekapan berbahasa dan ketepatan berkomunikasi dalam kalangan murid. Melalui pembacaan dan penganjuran program MDK, para guru dapat mendidik murid agar menjadikan bahasa Melayu sebagai saluran pengungkapan buah fikiran dan ilmu pengetahuan yang berkesan, betul dan indah.

Tambah beliau,

Usaha penganjuran program MDK dapat mengasah bakat dan potensi diri murid dalam bidang penulisan kreatif dan diskriptif.

Mengulas dengan lebih lanjut, Puan Fauzilahyatun Mustafa turut mengharapkan agar program MDK dan pemasyarakatan majalah dalam kalangan warga sekolah terutamanya murid, berupaya melahirkan bakat baharu yang dapat menyumbang terhadap aktiviti pengkaryaan.

“Kita turut mengharapkan agar pada suatu hari nanti akan lahir tokoh penulis prolifik tanah air yang akan mewarnai dunia pengkaryaan dan membangunkan ketamadunan bangsa,” ujar beliau.

Pada sesi MDK yang diadakan pada pagi ini, murid dan guru turut berpeluang untuk mengetahui dengan lebih lanjut berkaitan dengan peluang berkarya bersama-sama majalah Dewan Siswa seperti ruangan “Puisi Siswa, “Cerpen Siswa” dan “Minda Remaja.”

Menurut Editor Dewan Siswa, pelibatan dalam kalangan murid untuk berkarya bersama-sama Dewan Siswa amat digalakkan terutamanya perkara yang melibatkan isu semasa, namun terdapat perkara yang harus dielakkan, iaitu tidak menghasilkan karya yang mempunyai unsur perkauman, keagamaan atau isu sensitiviti yang menyentuh mana-mana pihak.

Antara aktiviti yang diadakan pada sesi kedua program Majalah Dalam Kelas pada pagi tadi.

Selain taklimat berkaitan dengan majalah Dewan Siswa, murid turut berpeluang  menyertai aktiviti dalam kumpulan yang meliputi aktiviti “Menukarkan Rencana kepada Pantun”, “Meneruskan Cerpen” dan “Kuiz Menara Belon”.

Turut hadir dalam Majlis Perasmian Program Majalah Dalam Kelas (MDK) Dewan Siswa pada pagi tadi ialah Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, Tuan Haji Razali Che Mat; Ketua Editor Bahagian Majalah, Dr. Rosmani Omar dan editor dari Dewan Bahasa dan Pustaka.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.