21 Jun 2023, 16:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sambutan Ulang Tahun Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Ke-67 membuka tirainya pada hari ini dengan beberapa aktiviti pengembangan kesusasteraan kanak-kanak yang berlangsung di Anjung DBP dan Atrium Wisma DBP.

Antara aktiviti yang dianjurkan termasuklah pertandingan memperagakan pakaian beragam dan melafazkan pantun, pertandingan bercerita serta pertandingan mewarna yang melibatkan penyertaan murid prasekolah, tahap satu dan tahap dua sekolah rendah.

Pertandingan Aksi dan Pantun Si Cilik melibatkan murid prasekolah yang berumur antara empat hingga enam tahun.

“Satu daripada komponen sastera ialah puisi lama, iaitu pantun. Oleh itu, pertandingan yang diadakan ini bertepatan dengan fungsi DBP yang bertanggungjawab menjaga dan melestarikan sastera kebangsaan,” ujar Encik Armin Azhari Saleh, Ketua Editor Bahagian Buku Kanak-Kanak dan Remaja DBP.

Menyentuh tentang matlamat dan falsafah DBP yang ditubuhkan sejak lebih enam dekad yang lalu, antara peranan DBP yang tercatat dalam Akta DBP (semakan tahun 1978, pindaan dan peluasan 1995) termasuklah memperkaya dan menggalakkan penggunaan bahasa Melayu serta memperkembang bakat sastera dalam bahasa kebangsaan.

Aksi seorang peserta Pertandingan Bercerita yang mempersembahkan kisah daripada buku terbitan DBP yang bertajuk Putera dengan Gergasi.

Selain bertujuan untuk memberikan pendedahan dan galakan kepada kanak-kanak untuk memperkasakan bahasa kebangsaan, program yang dianjurkan juga mengasah kemahiran berbahasa kanak-kanak.

“Kemahiran berbahasa boleh dicapai apabila kanak-kanak dapat menguasai kaedah mendengar, melihat dan bertutur, maka pertandingan yang diadakan pada hari ini menerapkan tiga elemen penting tersebut,”  ujar Puan Filzah Ibrahim dari Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak DBP.

Peserta menunjukkan bakat masing-masing dalam Pertandingan Mewarna yang diadakan di Anjung DBP bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun DBP Ke-67.

Sementara itu, Puan Julie dari Petaling Jaya, Selangor yang hadir untuk mengiringi anaknya dalam Pertandingan Mewarna pula berkata bahawa pertandingan seperti ini dapat memberikan peluang kepada kanak-kanak untuk berdaya saing dan memberikan fokus terhadap sesuatu tugasan dalam masa yang ditetapkan di samping memberikan keseronokan dalam proses pembelajaran.

“Syabas diucapkan kepada pihak DBP atas pelaksanaan program yang menyantuni kanak-kanak ini dan selamat menyambut Hari Ulang Tahun DBP yang ke-67!” ujar beliau.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.