21 Jun 2023, 19:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Kemanakah kita hendak pergi dalam perjalanan kita bagi mendepani cabaran peradaban masa depan? Begitulah persoalan yang dilontarkan oleh mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (1994 – 2004), Dato’ Abdul Aziz Deraman (Dato’ A. Aziz Deraman) yang juga merupakan Presiden Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN) pada awal bicara semasa berlangsungnya “Wacana Mendepani Cabaran Peradaban Masa Depan” yang diadakan pada petang ini bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun DBP Ke-67.

Dalam sesi tersebut, beliau menyatakan bahawa DBP memerlukan keberanian baharu jika mahu terus kekal relevan sebagai gedung ilmu yang mempunyai sejarahnya yang tersendiri dalam bidang bahasa, sastera, persuratan, kebudayaan dan peradaban Melayu. Menurut beliau, DBP harus berkongsi misi dan visinya dalam bentuk idea baharu dan tidak boleh berada di persimpangan dalam usaha memartabatkan bahasa kebangsaan di negara ini.

“Persuratan Melayu itu sendiri membawa rakyat untuk membina fikrah dan jati diri dalam tradisi keilmuan dalam tamadun Melayu” demikian tegas beliau. Tambah beliau, bahasa Melayu tidak terhad pada soal linguistik sahaja kerana sesuatu bahasa itu perlu terus maju ke hadapan agar mampu menjadi bahasa yang berimpak tinggi kerana zaman kini telah berubah.

Dalam wacana tersebut juga, beliau menyifatkan setiap orang mempunyai ruang dan peluang untuk mengangkat diri mereka sebagai pemikir atau dalam konteks Islam sering disebut sebagai berilmu dan beramal. “Keperluan untuk kita menyatukan satu bahasa di negara ini sebagai bahasa yang standard mampu mengisi kelompangan sedia ada,” Oleh itu, beliau menyarankan karyawan DBP supaya mengumpulkan dan mengutip segala pengalaman ketika bertugas dengan menjunjung amanah agar negara mampu berdiri teguh sebagai negara bangsa yang kekal utuh biarpun negara ini dihuni oleh pelbagai kaum.

“Yang paling penting, citra atau cabang yang membentuk peradaban manusia ialah bahasa dan sastera,” jelas beliau.

Demikianlah antara inti pati penting yang dilontarkan oleh Dato’ A. Aziz Deraman, sepanjang sesi wacana itu berlangsung. Beliau turut menyarankan agar karyawan DBP terus berkarya walaupun memiliki tahap pendidikan yang tinggi. Beliau menyeru agar karyawan DBP terus membudayakan amalan menulis walau dalam apa-apa jua keadaan kerana menulis akan mengukuhkan kedudukan seseorang itu dan menjadikan mereka lebih berilmu dan disegani.

Sementara itu, beliau turut menyifatkan bahasa sebagai nilai wahana yang tidak ternilai dan mampu berkembang untuk memenuhi tuntutan peradaban manusia.

Dato’ A. Aziz Deraman berucap ketika berlangsungnya sesi wacana.

Wacana anjuran Bahagian Promosi dan Pengiktirafan ini dipengerusikan oleh Encik Rusdi Abd. Rahman. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah YBhg. Puan Fauzilahyatun Mustafa, Pengarah Penerbitan DBP; YBrs. Dr. Rosmani Omar, Ketua Editor Bahagian Majalah; ketua-ketua bahagian serta karyawan DBP.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.