22 Jun 2023, 12:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Bahasa slanga yang digunakan oleh generasi muda pada hari ini janganlah dibiasakan dan perlulah sentiasa dibetulkan dengan menggunakan bahasa yang tepat agar bahasa kebangsaan terpelihara.

“Biasakan yang betul dan betulkan yang biasa dengan sentiasa merujuk kamus,” ungkap Puan Juliana Kuli, Ketua Unit Pembinaan Bahasa dan Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah.

Beliau berkata sedemikian dalam sesi ceramah Bersahabat dengan Kamus (BdK) bersama-sama murid Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Badin.

Murid dan guru pengiring SMK Badin bergambar kenangan bersama-sama pegawai dan petugas DBP semasa Program Bersahabat dengan Kamus.

Program BdK ini diadakan serentak dengan Program Majalah Dalam Kelas (MDK) dan dilaksanakan pada 19 Jun 2023 di Sudut Penulis, DBP Cawangan Sabah bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun DBP ke-67.

Sebanyak 30 orang murid dan dua orang guru dari SMK Badin serta 30 orang murid dan tiga orang guru dari Sekolah Kebangsaan (SK) Unggun Menggatal terlibat dalam program ini.

Melalui Program MDK, murid SK Unggun Menggatal bukan sahaja diberi pengetahuan tentang keseronokan membaca majalah, bahkan mereka turut diberi galakan untuk menunjukkan bakat berkarya.

Murid SK Unggun Menggatal teruja menjalani aktiviti Majalah Dalam Kelas (MDK) di DBP Cawangan Sabah bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun DBP ke-67.

Di samping itu, mereka juga dibawa mengelilingi premis DBP dan diberi penerangan tentang aktiviti kebahasaan dan kesusasteraan Melayu yang dilakukan oleh DBP sebagai pendedahan awal dalam kalangan murid sekolah rendah.

Program disempurnakan dengan sesi penyampaian cenderamata oleh Timbalan Pengarah I, Encik Rusdi Awang bagi Program MDK dan Timbalan Pengarah II, Puan Jennitah Nordin bagi Program BdK.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.