23 Jun 2023, 17:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arau – Penjawat awam perlu menerapkan konsep “The G.R.E.A.T. Civil Service” dalam amalan pekerjaan seharian bagi meningkatkan imej dan tahap perkhidmatan awam di Malaysia.

Akronim G.R.E.A.T. ini diketengahkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali yang bermaksud tadbir urus baik (Good governance); bertanggungjawab (Responsible); ihsan (Empathy); kebertanggungjawaban (Accountable); dan fokus pada maklumat (Tenacity of purpose).

Kecekapan penjawat awam bukan sahaja penting dalam pentadbiran sesebuah negeri atau negara, malah menjadi tulang belakang dan kayu pengukur dalam keberkesanan pengurusan terutamanya di Perlis.

Demikian titah Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menerima kunjungan sembah mengadap dan taklimat bersama-sama Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis yang baharu, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof di Galeri Diraja, Arau baru-baru ini.

Baginda juga menzahirkan keyakinan bahawa penjawat awam di Perlis telah memberikan yang terbaik dan akan terus berusaha keras dalam melunaskan tanggungjawab serta amanah yang diberikan dengan sebaiknya.

Turut hadir, Timbalan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah (R504AW), Leftenan Kolonel Lasahi Laiji; Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Datuk Johari Mohd Darus; dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang menyampaikan taklimat tentang fungsi organisasi, peranan dan hala tuju organisasi masing-masing.

Pemangku Raja Perlis, DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (tengah) bersama-sama Datuk Yusran Shah Mohd Yusof (kiri) dan Leftenan Kolonel Lasahi Laiji (kanan).

Tuanku Pemangku Raja Perlis yang juga merupakan Komander R504AW, Pengerusi YTSP Perlis dan Yang Dipertua MAIPs turut berkenan mengurniakan watikah pelantikan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis yang dilantik sebagai Ahli Lembaga YTSP Perlis dan juga Ahli Majlis MAIPs. Beliau juga bakal menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah (JAKPAW) Negeri.

Sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Yusran Shah mampu membantu untuk memacu organisasi terbabit dalam mengurus tadbir kebajikan dan pembangunan negeri ini dengan lebih mampan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.